Lompat ke kandungan

Dari kiri ke kanan: Saudara Ilkham Karimov, Konstantin Matrashov, Vladimir Myakushin, dan Aydar Yulmetyev

19 MEI 2021
RUSIA

TERKINI | Para Saudara di Tatarstan Menghargai Sokongan Yehuwa yang Pengasih semasa Ditahan

TERKINI | Para Saudara di Tatarstan Menghargai Sokongan Yehuwa yang Pengasih semasa Ditahan

Pada 2 September 2022, Mahkamah Agung di Republik Tatarstan menolak rayuan Saudara Ilkham Karimov, Konstantin Matrashov, Vladimir Myakushin, dan Aydar Yulmetyev. Mereka tidak perlu dipenjarakan buat masa ini.

Pada 16 Disember 2021, Mahkamah Bandar Naberezhnye Chelny di Republik Tatarstan menyatakan Ilkham, Konstantin, Vladimir, dan Aydar bersalah. Ilkham dan Konstantin masing-masing dijatuhkan hukuman penjara tertangguh selama 30 bulan. Vladimir dan Aydar pula masing-masing dikenakan hukuman penjara tertangguh selama 37 bulan dan 33 bulan.

Profil

Ilkham Karimov

  • Tahun Lahir: 1981 (Jomboy, Uzbekistan)

  • Biografi: Belajar menjadi peniup kaca. Membuat beberapa kerja untuk menampung keluarga di Uzbekistan. Berhijrah ke Rusia pada 2000. Pada suatu hari, tahun 2001, dia berdoa memohon bantuan Tuhan. Keesokan hari, dia berjumpa dengan Saksi-Saksi Yehuwa dan mula belajar Alkitab. Dibaptis pada 2004. Berkahwin dengan Yulia pada 2012

Konstantin Matrashov

  • Tahun Lahir: 1988 (Prokopyevsk)

  • Biografi: Semasa muda, ayahnya meninggal. Bekerja sebagai mekanik dan menyokong maknya. Semasa dia berumur lapan tahun, maknya menjadi Saksi Yehuwa. Tertarik dengan mesej harapan dalam Bible. Dibaptis pada 2018

Vladimir Myakushin

  • Tahun Lahir: 1987 (Nizhnekamsk)

  • Biografi: Lulusan sekolah teknikal dan akademi kejuruteraan. Bekerja sebagai ketua jurutera dalam pembuatan alat-alat elektrik untuk kenderaan. Menghargai ajaran Bible yang jelas, masuk akal, dan bijaksana. Berkahwin dengan Svetlana pada 2017

Aydar Yulmetyev

  • Tahun Lahir: 1993 (Nizhnekamsk)

  • Biografi: Belajar muzik dan kejuruteraan kenderaan bermotor. Bekerja sebagai peniaga dan mekanik. Mula belajar Bible selepas melihat bagaimana prinsip Bible membantu ibu bapanya. Dibaptis pada 2012. Berkahwin dengan Albina pada 2013. Menolak khidmat tentera atas dasar hati nuraninya yang dilatih oleh prinsip Bible. Sebaliknya, dia melakukan khidmat awam alternatif

Sejarah Kes

Pada 27 Mei 2018, para pegawai keselamatan di Tatarstan menyerbu 10 buah rumah Saksi-Saksi Yehuwa. Saudara Ilkham, Konstantin, Vladimir, dan Aydar ditahan sebelum perbicaraan. Mereka ditahan lebih daripada 160 hari dan selepas itu, ditahan di rumah.

Walaupun kini mereka tidak lagi ditahan di rumah, mahkamah mengenakan sekatan perjalanan terhadap mereka. Nama mereka ditambah dalam senarai “ekstremis” kerajaan persekutuan Rusia. Akibatnya, mereka tidak dapat mengeluarkan wang dari bank dan menghadapi kesukaran mencari kerja.

Aydar mengenang kembali tahanan sebelum perbicaraannya dan berkata, “Saya ingat banyak sekali ayat Alkitab. . . . Yehuwa bantu saya ingat begitu banyak hal yang saya tak mungkin dapat ingat dengan sendiri.”

Semasa Konstantin mula-mula masuk ke pusat tahanan, dia rasa gementar. Tapi dia segera cari kesempatan untuk mengongsi kepercayaannya dengan pegawai mahkamah, pengawal, banduan yang lain, pegawai polis, dan warden. Dia menjelaskan, “Saya dapat memberi lebih banyak kesaksian semasa ditahan berbanding semasa saya bebas. Pengalaman ini seperti apa yang Rasul Paulus tulis pada abad pertama di Filipi 1:12, 13: ‘Saudara-saudara, aku mahu kamu tahu bahawa keadaanku sebenarnya telah menyebabkan kerja penyebaran berita baik menjadi semakin maju. Para Pengawal Maharaja dan semua orang yang lain tahu bahawa aku dibelenggu di dalam penjara demi Kristus.’”

Vladimir menghargai bantuan praktikal daripada saudara saudari. Dia berkata, “Isteri saya beritahu bahawa saudara saudari sering memberinya wang supaya dia dapat beli dan hantar barang keperluan kepada saya. Pusat tahanan mengehad berapa banyak barang saya dapat terima setiap bulan, dan saya sering kali capai had maksimum.”

Ilkham memberitahu bagaimana ikatan persahabatannya dengan Yehuwa semakin kukuh. Dia menjelaskan, “Saya rasa semakin dekat dengan Bapa saya yang di syurga. Saya lebih yakin dan bergantung sepenuhnya kepada Yehuwa. Doa saya semakin panjang, menjadi lebih bermakna, dan lebih bersungguh-sungguh.”

Kita yakin bahawa saudara-saudara kita serta keluarga mereka akan diberkati kerana “mengabdikan diri kepada Tuhan dengan sepenuhnya, dan melakukan segala sesuatu dengan bersungguh-sungguh” semasa menghadapi dugaan ini.—1 Timotius 2:2.