Lompat ke kandungan

Dari kiri ke kanan, baris atas: Saudara Yuriy Geraskov, Maksim Khalturin, Vladimir Korobeynikov, dan Andrzej Oniszczuk. Baris bawah: Saudara Andrey Suvorkov, Yevgeniy Suvorkov, dan Vladimir Vasilyev

22 APRIL 2021
RUSIA

TERKINI—RAYUAN DITOLAK | Doa, Pembelajaran, dan Galakan Rohani Membantu Para Saudara Mengharungi Tahanan sebelum Perbicaraan dan Tahanan Rumah selama Berbulan-Bulan

TERKINI—RAYUAN DITOLAK | Doa, Pembelajaran, dan Galakan Rohani Membantu Para Saudara Mengharungi Tahanan sebelum Perbicaraan dan Tahanan Rumah selama Berbulan-Bulan

Pada 4 Oktober 2022, Mahkamah Wilayah Kirov menolak rayuan Saudara Maksim Khalturin, Vladimir Korobeynikov, Andrzej Oniszczuk, Andrey Suvorkov, Yevgeniy Suvorkov, dan Vladimir Vasilyev. Mereka tidak perlu dipenjarakan buat masa ini.

Pada 3 Jun 2022, Mahkamah Daerah Pervomayskiy di Kirov mensabitkan Saudara Maksim Khalturin, Vladimir Korobeynikov, Andrzej Oniszczuk, Andrey Suvorkov, Yevgeniy Suvorkov, dan Vladimir Vasilyev. Mereka dijatuhkan hukuman penjara tertangguh selama antara dua setengah tahun hingga enam setengah tahun. Mahkamah mengesahkan Saudara Yuriy Geraskov bersalah walaupun dia telah meninggal dunia sebelum perbicaraan berakhir.

Profil

Yuriy Geraskov

  • Tahun Lahir: 1956 (Azerbaijan)

  • Meninggal: 24 April 2020

  • Biografi: Dia gemar main bola sepak dan fotografi semasa membesar. Bekerja dengan orkestra filharmonik. Berhijrah ke Rusia pada 1993 kerana situasi politik di Azerbaijan. Berkahwin dengan Alevtina pada 2011. Dibaptis sebagai Saksi Yehuwa pada tahun yang sama. Pasangan ini minat keluar berjalan-jalan dan melawat kawan

Maksim Khalturin

  • Tahun Lahir: 1974 (Kirov, Wilayah Kirov)

  • Biografi: Dia memupuk kesukaan membaca semasa kecil. Mula minat tentang Bible pada 1993. Dibaptis sebagai Saksi Yehuwa pada 1995. Menjaga ibu bapanya yang lanjut usia. Mereka menghormati kepercayaan agamanya walaupun agama mereka berbeza daripadanya

Vladimir Korobeynikov

  • Tahun Lahir: 1952 (Pulau Dikson, Kawasan Krasnoyarsk)

  • Biografi: Bapanya ahli sains yang mengkaji tentang lautan kutub. Vladimir minat menghasilkan model replika semasa kanak-kanak. Bekerja sebagai tukang paip dan jurumesin. Sekarang bersara dan gemar memancing

    Dia dan isterinya, Olga, mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa pada awal tahun 1990-an. Mereka terutamanya kagum dengan nubuat-nubuat Bible. Dibaptis pada 1996. Mempunyai seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan yang dewasa. Prinsip-prinsip Bible membantu keluarga mereka untuk lebih bahagia

Andrzej Oniszczuk

  • Tahun Lahir: 1968 (Białystok, Poland)

  • Biografi: Suka main bola sepak dan angkat berat semasa muda. Dibaptis pada 1990. Berpindah ke Kirov pada 1997. Gemar kesusasteraan Rusia. Berkahwin dengan Anna pada 2002. Mereka minat meluangkan masa untuk aktiviti di luar rumah, mencari cendawan, dan bermain bola sepak

Andrey Suvorkov

  • Tahun Lahir: 1993 (Kirov, Wilayah Kirov)

  • Biografi: Ibunya mengajar dia kebenaran sejak bayi. Dia suka belajar sains, bermain sukan, terutamanya bola tampar semasa kanak-kanak. Dibaptis sebagai Saksi Yehuwa pada 2007. Bekerja di pusat rawatan penyalahgunaan dadah sebagai alternatif untuk tidak menyertai khidmat tentera. Berkahwin dengan Svetlana pada 2016. Mereka gemar bersukan

Yevgeniy Suvorkov

  • Tahun Lahir: 1978 (Kumeny, Wilayah Kirov)

  • Biografi: Minat main catur dan hoki serta mendengar muzik sewaktu kecil. Bekerja sebagai juruelektrik. Mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa ketika berusia 16 tahun. Dibaptis pada 1995. Memohon khidmat awam alternatif semasa berumur 18 tahun. Akhirnya, diberi khidmat awam selepas enam kali perbicaraan. Berkahwin dengan Svetlana pada 2000 dan membantu membesarkan anaknya, Andrey (yang disebutkan di atas)

Vladimir Vasilyev

  • Tahun Lahir: 1956 (Perm)

  • Biografi: Gemar main bola sepak semasa muda. Bekerja sebagai tukang paip dan pemandu. Kini bersara. Dia dan isterinya, Nadezhda, mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa pada awal tahun 1990-an. Dibaptis pada 1994

Sejarah Kes

Pada 9 Oktober 2018, pihak berkuasa menggeledah 14 buah rumah Saksi-Saksi Yehuwa di Kirov. Kesannya, Saudara Maksim Khalturin, Vladimir Korobeynikov, Andrzej Oniszczuk, Andrey Suvorkov, dan Yevgeniy Suvorkov telah ditahan. Kemudian, mereka ditempatkan di pusat tahanan sebelum perbicaraan. Pada bulan Januari dan Julai 2019, Saudara Vladimir Vasilyev dan Saudara Yuriy Geraskov telah didakwa.

Vladimir Korobeynikov telah ditahan sebelum perbicaraan lebih daripada dua bulan. Dia dibebaskan supaya dia dapat jaga isterinya yang sakit dan anak perempuannya dengan syarat dia ditahan di rumah. Maksim dan Andrey telah berada di pusat tahanan sebelum perbicaraan lebih daripada tiga bulan. Manakala Yevgeniy pula ditahan kira-kira lima bulan. Andrzej berada di pusat tahanan selama 327 hari. Kini, beberapa saudara ini ditahan di rumah. Walaupun mereka dibebaskan tetapi sekatan perjalanan telah dikenakan ke atas mereka.

Semasa para saudara di pusat tahanan, memang mencabar bagi mereka untuk terpisah daripada keluarga masing-masing. Tapi mereka tetap yakin bahawa Yehuwa akan menjaga orang kesayangan mereka.

Misalnya, isteri Vladimir Korobeynikov, Olga, adalah kurang upaya. Vladimir menerangkan, “Perkara yang paling susah ialah saya tidak berada di samping isteri yang tidak berdaya dan keseorangan di rumah.” Dia menyambung bahawa telefon bimbit isterinya juga dirampas semasa pihak berkuasa menyerbu rumah mereka. Hal ini membimbangkan Vladimir sehingga dia menerima sepucuk surat daripada seorang saudari di sidang. Saudari itu memberitahunya bahawa saudara saudari sedang menjaga isterinya. Kemudian, dia menerima sepucuk surat daripada Olga yang menjelaskan bahawa keadaannya baik. Surat itu melegakan hati Vladimir.

Kehidupan para saudara memang susah kerana mereka dikenakan sekatan pergerakan dan dituduh sebagai “ekstremis.” Contohnya, memang sukar bagi saudara-saudara kita untuk mencari pekerjaan yang tetap. Tambahan pula, mereka tidak dibenarkan untuk mengeluarkan wang kerana akaun bank mereka dibekukan.

Biarpun begitu, Yevgeniy berkata, “Yehuwa menyediakan keperluan kami dengan berlimpah-limpah. Seperti umat Israel di padang belantara, kami tidak kekurangan apa-apa pun. Kami merasai bagaimana penyembah Yehuwa menjaga kami dengan memberi bantuan kebendaan, sokongan emosi, serta galakan rohani.”

Saudara-saudara kita mengatakan bahawa doa, pembelajaran peribadi, dan pembacaan Bible membantu mereka tetap setia dan berani. Sebagai contoh, Vladimir Vasilyev menjelaskan, “Peristiwa yang tercatat dalam Bible membantu kami faham bahawa segala-galanya berada dalam kawalan Yehuwa. Maka, iman kami terhadap Tuhan dikukuhkan, dan sudah tentu, keyakinan kami terhadap-Nya semakin bertambah.”

Walaupun kes ini menyebabkan penderitaan kepada saudara-saudara dan keluarga mereka yang dikasihi, kita percaya mereka akan tetap yakin pada Yehuwa. Mereka akan terus bertabah mengharungi segalanya kerana mereka tahu bahawa “manusia fana” tidak dapat melakukan apa-apa yang membawa kesan buruk yang berkekalan.—Mazmur 56:4.