Lompat ke kandungan

Kiri ke kanan: Saudara Alam Aliyev, Valeriy Kriger, Sergey Shulyarenko, Dmitriy Zagulin

18 MAC 2021 | DIKEMASKINIKAN: 20 DISEMBER 2022
RUSIA

TERKINI—SAUDARA DISABITKAN BERSALAH | Empat Saudara dari Birobidzhan Mungkin Dijatuhkan Hukuman Penjara

TERKINI—SAUDARA DISABITKAN BERSALAH | Empat Saudara dari Birobidzhan Mungkin Dijatuhkan Hukuman Penjara

Mahkamah Daerah Birobidzhan di Wilayah Autonomi Yahudi mensabitkan Saudara Alam Aliyev, Valeriy Kriger, Sergey Shulyarenko, dan Dmitriy Zagulin. Saudara Aliyev dijatuhkan hukuman penjara selama enam setengah tahun dan Saudara Zagulin dijatuhkan hukuman penjara selama tiga setengah tahun. Saudara Kriger dan Shulyarenko dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun. Keempat-empat saudara ini ditahan semasa perbicaraan mahkamah.

Profil

Alam Aliyev

  • Tahun Lahir: 1963 (Kampung Lyaki, Azerbaijan)

  • Biografi: Pernah berkhidmat dalam tentera Kesatuan Soviet di Jerman. Kemudian bekerja dalam bot nelayan. Pada 1989, berpindah ke Khabarovsk, Rusia. Kini bekerja sebagai pengendali mesin di sebuah kilang

    Mula belajar Bible tidak lama selepas pindah ke Rusia. Dibaptis pada 1991. Berkahwin dengan Svetlana pada 2015. Mereka gemar melakukan kegiatan di luar rumah

Valeriy Kriger

  • Tahun Lahir: 1968 (Wilayah Autonomi Yahudi)

  • Biografi: Dibesarkan dalam keluarga yang tidak beragama. Semasa kecil, dia minat akrobat. Belajar terapi urut dan sekarang memiliki perniagaan sendiri. Dibaptis pada 1994. Berkahwin dengan Natalya pada 2017. Mereka suka bersiar-siar dan main bola tampar

Sergey Shulyarenko

  • Tahun Lahir: 1984 (Khabarovsk)

  • Biografi: Tinggal di Turkmenistan semasa kecil kerana ayahnya berkhidmat sebagai tentera di sana. Menjadi pembantu pengendali mesin. Minat melukis potret dan belajar bahasa asing. Ibunya mengajar dia tentang Yehuwa. Dibaptis pada1997 ketika berumur 13 tahun

Dmitriy Zagulin

  • Tahun Lahir: 1973 (Khabarovsk)

  • Biografi: Bercita-cita untuk menjadi askar sewaktu kecil. Belajar seni mempertahankan diri dan menjalani latihan payung terjun. Kini bekerja di sebuah syarikat kereta api. Mula belajar Bible pada 1991. Dibaptis pada 1992. Berkahwin dengan Tatyana pada 2012

Sejarah Kes

Pada 17 Mei 2018, 150 pegawai penguat kuasa di Birobidzhan menjalankan suatu operasi yang dikenali sebagai “Hari Penghakiman.” Saudara Alam Aliyev dituduh dan ditempatkan di pusat penahanan sebelum perbicaraan selama lapan hari kerana “mengatur kegiatan sebuah organisasi yang ekstremis.” Saudara Valeriy Kriger, Sergey Shulyarenko, dan Dmitriy Zagulin juga menghadapi tuduhan. Mereka berempat dilarang untuk keluar dari tempat mereka. Selain itu, isteri Alam, Valeriy, dan Dmitriy juga didakwa dalam kes yang berasingan.

Sebelum Alam ditahan, dia membuat penyelidikan tentang cara menghadapi penganiayaan. Dia mengongsi hasil kajiannya dengan saudara saudari di sidang. Dia berkata, “Saya menggalakkan saudara saudari agar tidak takut semasa dianiaya. Hal ini tepat pada masanya kerana seminggu selepas itu, rumah 21 keluarga di sidang kami digeledah.”

Valeriy dan isterinya, Natalya, tidak dapat menghadiri konvensyen Saksi-Saksi Yehuwa di Seoul, Korea Selatan, kerana sekatan perjalanan yang dikenakan. Mereka juga tidak dibenarkan untuk melawat ibu bapa Valeriy yang tinggal di Israel. Sedih sekali, bapa Valeriy meninggal pada Februari 2019. Beberapa bulan kemudian, ibunya menjalani pembedahan tulang belakang dan memerlukan penjagaan sepenuh masa. Valeriy yakin bahawa Yehuwa telah menyokongnya. Ibu bapa Valeriy bukan Saksi-Saksi Yehuwa, tapi saudara saudari di Israel yang membantu menjaga ibunya. Dia menjelaskan, “Kami berdoa kepada Yehuwa tentang situasi ibu saya dan Yehuwa menjawab doa kami. Rakan seiman kami di Israel menggalakkan dan melegakan hati ibu saya. Mereka melawatnya, berbual dengannya, dan menjemputnya ke perjumpaan. Walaupun kami tidak dapat berada di sisi ibu, kami merasai bagaimana Yehuwa membantu kami melalui saudara saudari di serata dunia.”

Bagi Dmitriy pula, penganiayaan ini mengukuhkan sesuatu yang telah diketahuinya. Dia menjelaskan, “Semasa keadaan baik-baik saja dalam hidup dan ibadat kita tidak dilarang, kita boleh memandang remeh kurniaan rohani ini dan mula mengabaikannya. Tapi apabila kebebasan ibadat kita disekat oleh pemerintah, kita sedar betapa pentingnya memanfaatkan apa yang kita miliki sekarang dan bersedia menghadapi penganiayaan. Jadi, adalah bijak untuk menggunakan kebebasan yang masih ada sekarang agar kita ‘mengumpulkan harta di syurga.’ Dengan demikian, kita boleh bertahan sampai akhir dan iman kita tetap kuat.”—Matius 6:20.

Tidak dapat dinafikan bahawa Yehuwa sedang memberi saudara saudari kita di Rusia “kuasa luar biasa” sehingga mereka dapat bertabah.—2 Korintus 4:7.