Lompat ke kandungan

Saudara Yevgeniy Yegorov

1 APRIL 2021| DIKEMASKINIKAN: 17 FEBRUARI 2023
RUSIA

TERKINI—SAUDARA DISABITKAN BERSALAH | Mahkamah Rusia Melanggar Kebebasan Beragama Saudara Yevgeniy Yegorov

TERKINI—SAUDARA DISABITKAN BERSALAH | Mahkamah Rusia Melanggar Kebebasan Beragama Saudara Yevgeniy Yegorov

Pada 17 Februari 2023, Mahkamah Daerah Birobidzhan di Wilayah Autonomi Yahudi mensabitkan Saudara Yevgeniy Yegorov. Dia dijatuhkan hukuman penjara tertangguh selama dua tahun setengah. Dia tidak perlu dipenjarakan buat masa ini.

Pada 3 Oktober 2022, Mahkamah di Wilayah Autonomi Yahudi membatalkan keputusan bersalah terhadap Yevgeniy. Ini adalah kerana Mahkamah Kasasi Bidang Kuasa Am yang Kesembilan telah membuat keputusan untuk mengembalikan kes Yevgeniy kepada mahkamah tersebut untuk dibicarakan sebagai rayuan kedua. Oleh sebab keputusan bersalah telah dibatalkan, kes itu akan dibicarakan semula oleh Mahkamah Daerah Birobidzhan di Wilayah Autonomi Yahudi.

Pada 25 November 2021, Mahkamah di Wilayah Autonomi Yahudi menolak rayuan Yevgeniy. Hukuman asalnya masih berkuat kuasa. Dia tidak perlu dipenjarakan buat masa ini.

Pada 21 Jun 2021, Mahkamah Daerah Birobidzhan di Wilayah Autonomi Yahudi menjatuhkan hukuman penjara tertangguh selama dua tahun setengah ke atasnya.

Profil

Yevgeniy Yegorov

  • Tahun Lahir: 1991 (Birobidzhan)

  • Biografi: Dibesarkan oleh ibu dan neneknya. Mempelajari kejuruteraan elektrik. Bekerja sebagai tukang kunci dan melakukan kerja pembaikan. Sangat gemar membaca dan menulis. Pernah menerbitkan novel dan koleksi puisi. Dibaptis sebagai Saksi Yehuwa pada 2005. Berkahwin dengan Kseniya pada September 2019. Mereka mempunyai seorang bayi lelaki pada Ogos 2020

Sejarah Kes

Pada Mei 2018, para pegawai Agensi Keselamatan Persekutuan (FSB) mengadakan serbuan rumah secara besar-besaran di Birobidzhan. Tidak lama sebelum Yevgeniy berkahwin, dia dituduh melakukan “jenayah” kerana mengamalkan kepercayaannya dan membaca Bible. Dia dikenakan sekatan perjalanan. Sejurus selepas Yevgeniy berkahwin, ibunya, Larisa Artamonova, juga dituduh. Pada Disember 2019, perbicaraan Yevgeniy bermula di Mahkamah Daerah Birobidzhan.

Yevgeniy menjelaskan bahawa dia kini berasa lebih dekat dengan Yehuwa. Dia berkata, “Sepanjang masa yang sukar itu, Yehuwa menenangkan hati saya dan memberi saya ‘kuasa luar biasa.’”—2 Korintus 4:7.

Selain daripada bergantung pada Yehuwa, Yevgeniy tahu bahawa dia perlu mempersiapkan fikiran, hati, dan kerohaniannya untuk menghadapi apa yang bakal berlaku. Dia menyambung, “Bagi saya, yang paling penting ialah terus memperkuat persahabatan saya dengan Yehuwa dalam apa jua situasi.”

Kita yakin bahawa walaupun Yevgeniy, Kseniya, dan kebanyakan saudara saudari kita di Rusia dianiaya, mereka pasti dikuatkan dengan kata-kata di Mazmur 10:17 yang berbunyi, “Ya Yehuwa, Engkau akan mendengarkan rayuan orang yang rendah hati. Engkau akan mempedulikan seruan mereka dan meneguhkan hati mereka.”