3 FEBRUARI 2021
RUSIA
TERKINI—SAUDARI DISABITKAN BERSALAH | Saudari Svetlana Monis Bersikap Positif walaupun Menghadapi Tuduhan Jenayah kerana Imannya
Pada 31 Oktober 2022, Mahkamah Daerah Birobidzhan di Wilayah Autonomi Yahudi menyatakan Saudari Svetlana Monis bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara tertangguh dua tahun setengah. Dia tidak perlu dipenjarakan buat masa ini.
Pada 9 Mac 2022, Mahkamah Wilayah Autonomi Yahudi membatalkan keputusan yang mensabitkan Svetlana. Kesnya akan dibicarakan semula di Mahkamah Daerah Birobidzhansky di Wilayah Autonomi Yahudi.
Pada 15 Februari 2021, Mahkamah Daerah Birobidzhan di Wilayah Autonomi Yahudi mendapati Svetlana bersalah kerana mengambil bahagian dalam kegiatan sebuah organisasi yang diharamkan. Mahkamah memutuskan untuk mendendanya 10,000 ruble (RM549).
Profil
Svetlana Monis
Tahun Lahir: 1977 (Lesozavodsk)
Biografi: Menghidap penyakit mata yang semakin teruk. Suka belajar bahasa baharu. Sudah pun belajar bahasa Cina, Inggeris, dan Jerman. Membesarkan seorang anak lelaki dengan kebanyakan usahanya sendiri. Menyara keluarga dengan membuka restoran Cina yang kecil
Berasa kecewa dengan ketidakadilan di dunia. Maka dia mula belajar Bible. Dibaptis pada 2005. Berkahwin dengan suaminya, Alam Aliyev, pada 2015. Suaminya juga menghadapi dakwaan jenayah dalam kes yang berlainan
Sejarah Kes
Pada 26 September 2019, Leftenan D. Yankin, seorang penyiasat senior Agensi Keselamatan Persekutuan (FSB), memfailkan kes jenayah terhadap Saudari Svetlana Monis. Mahkamah melarang dia memandu keretanya untuk hampir dua bulan, walaupun dia perlu guna kereta untuk bantu neneknya yang berumur 91 tahun.
Siasatan awal tamat pada Disember 2019. Kemudian, kes jenayah itu dirujuk kepada Mahkamah Daerah Birobidzhan.
Svetlana mengingati tentang penganiayaan yang dialaminya dan berkata, “Saya bertindak dengan tenang sewaktu operasi geledah. Pada masa itulah, saya benar-benar faham maksud ayat, ‘Berbahagialah orang yang dianiaya kerana melakukan apa yang benar.’”—Matius 5:10.
Berikutan operasi geladah itu, Alam, suami Svetlana, diberkas dan ditempatkan di pusat tahanan sementara selama lapan hari. Svetlana mengenang kembali, “Yang paling susah adalah untuk menghentikan rasa khuatir yang keterlaluan terhadap Alam. Saya risau kerana penyakit saraf tunjangnya sudah bertambah teruk. Dia dapat rawatan pesakit luar di hospital . . . baru seminggu saja sebelum operasi geledah itu. Saya tidak dapat berhubung dengan Alam; tidak tahu keadaannya baik atau tidak. Saya meluahkan isi hati kepada Yehuwa dan serahkan segala kekhuatiran kepada-Nya. Saya yakin Yehuwa dapat menjaga Alam dengan sebaik-baiknya.”
Svetlana tidak pernah meragui bahawa Yehuwa menyertainya. Dia berkata, “Saya dapat lihat dan merasai sokongan Yehuwa. Saya sedar sekarang bukan masanya untuk menekan butang panik . . . atau berfokus kepada kepentingan diri. Tapi untuk berfikir tentang caranya saya dapat tetap setia kepada Yehuwa.”
Svetlana dan Alam berusaha untuk menguatkan iman supaya dapat mengekalkan sikap positif. Svetlana menjelaskan, “Setiap hari, saya dan suami baca dan bincang ayat harian, dan satu bab dalam Bible. Terutamanya kami fokus kepada ayat-ayat yang menggalakkan kami untuk bergantung pada Yehuwa dan mendapat kelegaan hati daripada-Nya.” Ayat tahunan 2019 di Yesaya 41:10 yang berbunyi, “Janganlah risau kerana Akulah Tuhanmu,” mengingatkan dan meyakinkan Svetlana dan Alam akan kasih Yehuwa. Svetlana berkata, “Kami pun mencetak dan membingkaikan ayat itu.”
Ketabahan Svetlana memberi kesan positif kepada saudara-maranya yang bukan Saksi. Svetlana menerangkan, “Saya dapat beri kesaksian yang baik kepada ibu. Dia sangat menentang pada suatu ketika tetapi sekarang dia menghormati pendirian kami. Dia sentiasa menyokong dan bersimpati dengan kami.” Svetlana juga menambah, “Nenek saya, yang berumur 91 tahun dan beragama Ortodoks, selalu mengambil berat terhadap kami. Dia sudah mula berminat tentang Bible.”
Semoga kita terus memikirkan Svetlana dan Alam. Kita yakin mereka akan tetap positif seraya Yehuwa “meneguhkan hati mereka.”—Mazmur 10:17.