Lompat ke kandungan

Dari kiri ke kanan: Saudara Aleksandr Akopov, Konstantin Samsonov, Shamil Sultanov

2 JUN 2021
RUSIA

TERKINI | Saudara Akopov, Samsonov, dan Sultanov Bergantung pada Yehuwa semasa Dianiaya

TERKINI | Saudara Akopov, Samsonov, dan Sultanov Bergantung pada Yehuwa semasa Dianiaya

Pada 5 Ogos 2022, Mahkamah Kawasan Stavropol mengumumkan keputusan kes rayuan Saudara Aleksandr Akopov, Konstantin Samsonov, dan Shamil Sultanov. Denda yang dikenakan ke atas Aleksandr dan Shamil diubah menjadi 250,000 ruble (RM 18,183), yang kini perlu dibayar. Manakala hukuman penjara Konstantin diganti dengan denda sebanyak 400,000 ruble (RM 29,097). Pembebasannya berkuatkuasa dengan serta-merta.

Pada 19 April 2022, Mahkamah Daerah Neftekumsky di Kawasan Stavropol menyatakan Aleksandr, Konstantin, dan Shamil bersalah. Aleksandr dan Shamil masing-masing dikenakan denda sebanyak 500,000 ruble (RM 26,345). Namun, mereka tidak perlu bayar denda itu kerana telah menghabiskan masa dalam tahanan sebelum perbicaraan. Konstantin pula dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun setengah. Dia terus dibawa ke penjara.

Profil

Aleksandr Akopov

  • Tahun Lahir: 1992 (Neftekumsk)

  • Biografi: Bekerja dalam bidang pembinaan bersama bapanya dan abangnya. Suka bermain bola sepak, bola keranjang, dan tenis. Juga gemar menikmati keindahan alam dan memasak

    Pada 2007, dibaptis sebagai seorang Saksi Yehuwa ketika berumur 14 tahun

Konstantin Samsonov

  • Tahun Lahir: 1977 (Neftekumsk)

  • Biografi: Semasa muda, minat permainan catur dan teknologi komputer. Kini bekerja sebagai jurutera sistem di hospital. Dia dan isterinya, Svetlana, mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa pada 1998. Mereka dibaptis pada 2000. Mereka mempunyai seorang anak lelaki

Shamil Sultanov

  • Tahun Lahir: 1977 (Mahmud-Mekteb, Kawasan Stavropol)

  • Biografi: Membaiki dan menyelenggara bangunan. Belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa sekitar tahun 2000. Dibaptis pada 2003. Berkahwin dengan Elena pada 2004. Dia membantu membesarkan anak lelaki Elena, iaitu anak tirinya

Sejarah Kes

Pada Sabtu, 26 Ogos 2017, pegawai polis bersenjata mengepung 18 Saksi Yehuwa yang sedang berkelah di tepi tasik berdekatan Neftekumsk. Mereka semua, termasuk kanak-kanak dan orang tua, dibawa ke balai dalam bas dan disoal siasat selama tiga jam. Selepas itu, ramai saudara saudari di Neftekumsk diawasi dan rumah mereka digeledah. Kemudian, Aleksandr, Konstantin, dan Shamil diberkas dan ditahan sebelum perbicaraan selama hampir setahun.

Aleksandr mengaku bahawa dia takut dipenjarakan kerana mempunyai masalah kebimbangan dan kesihatan. Dia berdoa merayu kepada Yehuwa untuk memohon kekuatan emosi dan minda supaya dapat bertabah semasa dipenjarakan. Aleksandr mengingat kembali, “Saya sering beritahu Yehuwa bahawa saya tidak dapat bertahan lagi. Tapi, saya tak sangka saya dapat mengharungi masa hampir setahun dalam pusat tahanan.” Yehuwa menjawab doa Aleksandr dengan membantunya mengingat semula ayat-ayat Bible walaupun semasa dia tiada Bible. Dia menulis setiap ayat yang dapat diingatinya, merenungkan satu ayat setiap pagi, dan fikirkan cara ayat itu membantunya menghadapi situasinya. Maka, dia dapat memupuk pandangan Yehuwa terhadap penahanannya.

Surat-surat daripada isteri Konstantin telah membantunya untuk jadi lebih berani. Dia mengenang bahawa dalam salah satu surat itu, isterinya mencadangkan agar dia memandang cubaannya sebagai pengembaraan. Konstantin berkata, “Idea itu menghiburkan hati saya dan memang betul, perasaan saya bertambah baik pada kemudian hari.”

Shamil menjelaskan bahawa beberapa bulan yang pertama di pusat tahanan adalah yang paling susah. Dia berkata, “Keadaan semakin baik seraya masa berlalu. Ini membuktikan bahawa Yehuwa tidak meninggalkan saya.” Sepanjang masa itu, Shamil belajar untuk percaya kepada Yehuwa dengan tidak terlalu khuatir tentang cabaran masa depan.

Ketiga-tiga saudara ini masih dikenakan sekatan perjalanan dan dilarang menggunakan telefon atau Internet. Sekatan sedemikian menyukarkan Aleksandr untuk mendapatkan rawatan perubatan. Konstantin pula tidak dapat melakukan kerjanya sebagai pengaturcara komputer. Meskipun berdepan dengan pelbagai kesusahan, mereka bertekad untuk tetap setia kepada Yehuwa.

Kita pasti Yehuwa akan memberkati ketiga-tiga saudara tersebut yang tetap bergantung pada-Nya.—Mazmur 20:7.