Lompat ke kandungan

Saudara Roman Baranovskiy dan ibunya, Saudari Valentina Baranovskaya

29 JANUARI 2021
RUSIA

TERKINI | Saudara Roman Baranovskiy dan Ibunya, Saudari Valentina Baranovskaya, Dijatuhkan Hukuman di Rusia

TERKINI | Saudara Roman Baranovskiy dan Ibunya, Saudari Valentina Baranovskaya, Dijatuhkan Hukuman di Rusia

Pada 4 Mei 2022, sebuah mahkamah rayuan di Khakassia memutuskan untuk membebaskan Saudari Valentina Baranovskaya yang berumur 71 tahun dari penjara. Mahkamah telah menolak tuduhan pendakwa yang berusaha untuk menggagalkan keputusan tersebut. Valentina telah dipenjarakan selama lebih daripada setahun. Anaknya, Roman, masih dipenjarakan atas imannya.

Pada 4 Mac 2022, pejabat pendakwa raya membuat rayuan atas keputusan Mahkamah Daerah Ust-Abakan untuk membebaskan dan memberi parol kepada Valentina. Pihak pendakwa menyatakan bahawa Valentina tidak patut dibebaskan lebih awal daripada hukumannya kerana dia “masih belum bertaubat daripada jenayahnya.” Valentina akan tetap dipenjarakan sekurang-kurangnya sehingga rayuan pendakwa didengar.

Pada 24 Mei 2021, Mahkamah Agung Republik Khakassia di Rusia, menolak rayuan Saudara Roman Baranovskiy dan ibunya, Valentina, yang berumur 70 tahun. Mereka tetap dipenjarakan. Mahkamah juga mengesahkan bahawa sekatan tambahan akan dikenakan ke atas mereka selepas mereka dibebaskan dari penjara pada masa depan.

Pada 24 Februari 2021, Mahkamah Bandar Abakan di Republik Khakassia menjatuhkan hukuman penjara enam tahun ke atas Roman. Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas ibu Roman, iaitu Valentina. Inilah kali pertama salah seorang saudari kita di Rusia yang dijatuhkan hukuman penjara kerana mengamalkan kepercayaan agamanya. Valentina akan berumur 70 tahun pada April 2021. Dia juga alami serangan strok pada Julai 2020. Selepas keputusan diumumkan, mereka terus ditahan.

Profil

Roman Baranovskiy

  • Tahun Lahir: 1974 (Balakovo, Wilayah Saratov)

  • Biografi: Menyara hidupnya dan ibu dengan membuat kerja mengubah suai rumah. Suka bermain gitar, catur, dan bola

    Ketika remaja, dia berfikir tentang maksud tujuan hidup. Dia mengenang, “Kadangkala, saya mohon Tuhan untuk tunjuk jalan benar kepada saya.” Pada 1993, dia mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Dibaptis pada 1997

Valentina Baranovskaya

  • Tahun Lahir: 1951 (Vannovka, Kazakhstan)

  • Biografi: Bekerja sebagai akauntan dan perancang kewangan sehingga bersara pada 2006. Suka memasak serta menggubah lagu dan puisi

    Pada 1995, dia belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa bersama anak lelakinya. Kebenaran bahawa Tuhan tidak boleh berdusta sangat menyentuh hatinya. Dibaptis pada 1996

Sejarah Kes

Pada malam 10 April 2019, pegawai penguat kuasa bersenjata di Abakan, menyerbu empat buah rumah, termasuk rumah Saudara Roman Baranovskiy dan ibunya, Valentina. Pegawai merampas Bible, alat elektronik, dan rekod peribadi mereka. Kemudian, pegawai membuka kes jenayah terhadap Roman dan Valentina.

Roman teringat, “Semasa serbuan, kami sedang mengadakan perjumpaan pertengahan minggu, dan baru membincangkan ayat 1 Korintus 10:13. Kami belajar isi penting ini, iaitu Yehuwa tidak menentukan cubaan mana yang kita akan alami . . . Tuhan tidak berkata, ‘Kamu kuat, jadi kamu terima cubaan ini. Tapi kamu pula lemah, jadi kamu dapat cubaan yang lebih ringan.’ Kalau Yehuwa buat begitu, ertinya cubaan bergantung pada kekuatan kita sendiri. Sebaliknya, pelbagai cubaan boleh menimpa kita. Jika kita bergantung pada kekuatan Yehuwa, kita dapat bertabah menghadapi semuanya.”

Pada Julai 2020, Valentina diserang strok. Dia mengingat kembali, “Apabila keadaan saya semakin teruk, saya dapat rasa Yehuwa semakin dekat kepada saya. Ini kerana saya tidak henti-henti berdoa dan Yehuwa seolah-olah mendakap saya. Ketenangan minda dan hati yang saya alami itu tidak dapat diungkapkan sepenuhnya.”

Setelah melalui semua pengalaman itu, Valentina membuat kesimpulan yang penting. Dia berkata, “Saya bertekad untuk berkhidmat kepada Yehuwa buat selama-lamanya dan tetap setia kepada-Nya dalam apa jua situasi yang berlaku.”

Roman berkata bahawa contoh orang yang bertabah dalam Bible dan zaman moden telah menguatkan imannya. Sewaktu merenungkan contoh-contoh itu, Roman berfikir, “Apakah situasi yang dihadapi mereka, dan kenapa? Apakah yang bantu mereka tetap setia? Bagaimanakah Tuhan bantu mereka dengan kuasa suci-Nya?” Jawapan kepada soalan-soalan itu meyakinkan Roman bahawa tidak kira apa cubaan yang dihadapi, “Yehuwa dapat mengurniakan kita dengan kuasa luar biasa, jika perlu.”

Kami berdoa agar Roman, Valentina, dan semua saudara saudari yang dikasihi di Rusia, akan terus berharap kepada Yehuwa sebagai naungan dan kekuatan mereka.—Mazmur 46:1.