Lompat ke kandungan

Saudara Vitaliy Ilinykh

10 MEI 2021
RUSIA

TERKINI | Saudara Vitaliy Ilinykh Digalakkan oleh Teladan Orang Lain

TERKINI | Saudara Vitaliy Ilinykh Digalakkan oleh Teladan Orang Lain

Pada 28 Julai 2022, Mahkamah Daerah di Kawasan Primorye menolak rayuan Saudara Vitaliy Ilinykh. Dia tidak perlu dipenjarakan buat masa ini.

Pada 15 April 2022, Mahkamah Daerah Ussuriyskiy di Kawasan Primorye mensabitkan Vitaliy dan mengenakan hukuman penjara tertangguh selama dua tahun.

Profil

Vitaliy Ilinykh

  • Tahun Lahir: 1974 (Ussuriysk, Kawasan Primorye)

  • Biografi: Lulusan akademi polis dan bekerja di jabatan hal ehwal dalaman. Sering berfikir tentang mengapa orang mati dan apa yang berlaku selepas kematian. Mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa sekitar tahun 1995. Dibaptis pada 1999. Kini bekerja sebagai tukang cuci jalan. Berkahwin dengan Irina pada 2006

Sejarah Kes

Pada bulan Februari 2019, rumah Saudara Vitaliy Ilinykh digeledah. Tindakan ini merupakan sebahagian daripada siasatan kes jenayah terhadap rakan seiman di bandar Spassk-Dalniy. Pada 18 September 2019, pihak berkuasa Rusia memulakan penyiasatan terhadap Vitaliy. Pada 23 Oktober 2019, para pegawai menggeledah rumahnya sekali lagi. Kali ini, mereka menangkap Vitaliy dan menahannya selama dua hari. Ketika dalam tahanan, Vitaliy berdoa kepada Yehuwa. Dia mengenang kembali, “Semasa saya berdoa, rasa ketidakpastian saya diganti dengan ketenangan dan kedamaian.”

Selepas dibebaskan, dia berada di bawah sekatan tertentu dan pergerakannya dihadkan. Ibunya, Saudari Olga Opaleva, juga dibicarakan dalam kes mahkamah yang berasingan.

Vitaliy telah belajar banyak daripada pengalamannya. “Sebelum ditahan, saya memang tahu Yehuwa tidak biarkan kita menghadapi cabaran yang kita tidak dapat tanggung. Kini, saya mengalami kebenaran kata-kata itu. Semakin susah kehidupan kita, semakin rapat hubungan kita dengan Yehuwa,” jelas Vitaliy. “Yehuwa ialah Tukang Tembikar. Jadi, jika Dia benarkan cabaran yang bagaikan api berlaku dalam hidup saya, Dia pasti bantu saya tabah mengharunginya. Dia dapat gunakan cabaran itu untuk melatih saya. Kalau saya nampaknya tidak dapat menanggung beban itu, maksudnya saya perlu mohon Yehuwa untuk beri saya ‘kuasa luar biasa.’”—2 Korintus 4:7.

Vitaliy biasanya seorang yang bersikap takut-takut dan kurang yakin. Tapi dia dapat galakan dengan merenungkan ayat di 1 Petrus 5:9. Dia juga dapat dorongan daripada ramai saudara saudari di Rusia yang berjaya mengharungi penganiayaan dengan tabah. Vitaliy berkata dengan penuh keyakinan, “Tidak kira apa keputusan yang Yehuwa benarkan mahkamah tentukan bagi kes saya, . . . memang suatu penghormatan untuk memberi kesaksian kepada pihak berkuasa pada hari-hari terakhir.”

Seperti Vitaliy, kita digalakkan oleh begitu banyak contoh umat Tuhan yang beriman dan berani. Semoga kita tetap bersyukur kepada Yehuwa kerana melengkapi kita “dengan segala perkara baik yang diperlukan untuk melakukan kehendak-Nya.”—Ibrani 13:20, 21.