Lompat ke kandungan

Dari kiri ke kanan: Saudara dan Saudari Sergey dan Anna Melnik, Valeriy dan Marina Rogozin, serta Igor dan Yevgeniya Yegozaryan

26 FEBRUARI 2021
RUSIA

TERKINI | Tiga Orang Saudara Menantikan Keputusan selepas Ditahan selama Tujuh Bulan

TERKINI | Tiga Orang Saudara Menantikan Keputusan selepas Ditahan selama Tujuh Bulan

Pada 18 Mac 2022, Mahkamah Wilayah Volgograd menolak rayuan Saudara Sergey Melnik, Valeriy Rogozin, dan Igor Yegozaryan. Mereka tetap dipenjarakan.

Pada 23 September 2021, Mahkamah Daerah Volgograd Traktorozavodsky mensabitkan ketiga-tiga saudara. Saudara Yegozaryan dan Saudara Melnik dijatuhkan hukuman penjara enam tahun. Saudara Rogozin pula dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan lima bulan.

Profil

Sergey Melnik

  • Tahun Lahir: 1972 (Volgograd, Wilayah Volgograd)

  • Biografi: Lulusan sekolah teknikal vokasional dalam jurusan auto mekanik. Kini bekerja sebagai pemasang bumbung. Berkahwin dengan Anna pada 1993. Mereka membesarkan tiga anak lelaki. Keluarganya suka mengembara dan menikmati alam semula jadi

    Anna mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Apabila Sergey melihat Anna berubah menjadi lebih baik, dia pun mula belajar dan dibaptis pada 1999

Valeriy Rogozin

  • Tahun Lahir: 1962 (Krasnokamsk, Wilayah Perm)

  • Biografi: Berkhidmat selama dua belas tahun sebagai juruterbang tentera sebelum bersara dan bekerja sebagai jurutera pereka. Berkahwin dengan Marina pada 1984. Mereka mempunyai dua anak lelaki

    Dia mula belajar Bible pada awal 1990-an. Dibaptis pada 1998

Igor Yegozaryan

  • Tahun Lahir: 1965 (Volgograd, Wilayah Volgograd)

  • Biografi: Bekerja sebagai pembuat kasut dan juruelektrik. Sejak kecil minat dengan muzik. Main gitar. Berkahwin dengan Yevgeniya pada 2002. Mereka mempunyai seorang anak lelaki

    Ibunya yang mula-mula memberitahunya tentang berita baik Kerajaan Tuhan. Kagum dengan kebenaran Bible yang masuk akal dan jelas. Dibaptis pada 1992

Sejarah Kes

Pada 16 Mei 2019, para polis dan pegawai Agensi Keselamatan Persekutuan (FSB) menyerbu tujuh buah rumah di Wilayah Volgograd, Rusia. Dua hari kemudian, hakim mahkamah daerah pusat mengarahkan Saudara Melnik, Saudara Rogozin, dan Saudara Yegozaryan ditahan sebelum perbicaraan. Mereka ditahan selama tujuh bulan.

Walaupun mereka sudah bersatu semula dengan keluarga, mereka menghadapi pelbagai cabaran semasa menunggu keputusan mahkamah. Misalnya, nama Valeriy disenaraikan dalam Perkhidmatan Pemantauan Kewangan Persekutuan Rusia. Dia berkata, “Mereka menyekat semua akaun bank saya dan melarang saya untuk menggunakan telefon atau Internet. Saya hilang kerja kerana saya perlu guna kedua-dua kemudahan itu untuk bekerja.” Dia dan isterinya terpaksa guna wang pencen untuk menjaga keperluan harian. Mereka perlu lebih menyederhanakan kehidupan mereka.

Sergey dan Igor juga dikenakan sekatan mahkamah yang menyebabkan mereka susah mencari kerja. Sesi perbicaraan mahkamah yang sering kali berlaku menjejaskan waktu kerja Sergey. Dia menerangkan, “Saya bekerja sebagai pemasang bumbung. Jadi, saya hanya dapat buat projek kecil yang dapat diselesaikan pada selang masa sesi perbicaraan mahkamah.”

Igor pula sakit dan perlu kerap mendapat rawatan perubatan. Dia menjelaskan, “Mustahil bagi saya mendapat kerja kerana tuduhan terhadap saya.” Semasa bergelut dengan masalah kesihatan dan kewangan, dia menyambung, “Yehuwa memberi kami kurniaan, iaitu keluarga rohani yang besar. Mereka tidak pernah meninggalkan kami pada saat yang susah.”

Jelaslah, saudara saudari kita serta keluarga mereka sedang mengalami kekurangan dari segi kebendaan yang serius akibat sekatan yang dikenakan terhadap mereka. Kita yakin bahawa semua saudara saudari di Rusia akan tetap berdiri teguh semasa menghadapi ujian, dan percaya bahawa Yehuwa akan terus menyediakan keperluan mereka.—Matius 6:33.