19 APRIL 2022
RUSIA
Tetap Berani dan Tidak Dikalahkan meskipun Diharamkan selama Lima Tahun di Rusia
Pada 20 April 2022, aktiviti Saksi-Saksi Yehuwa sudah diharamkan di Rusia selama lima tahun. a Sejak tahun 2017, pihak berkuasa Rusia melipatgandakan usaha mereka untuk menganiaya saudara saudari kita dan bahkan menyeksa mereka. Namun, seperti yang ditunjukkan menerusi laporan di jw.org, saudara saudari kita telah menghadapinya dengan tabah dan berani.
Saudara Dennis Christensen, yang telah dipenjarakan untuk hampir lima tahun, merupakan teladan yang terpuji. Sejurus selepas dia kalah dalam rayuannya pada Mei 2019, dia bercakap kepada semua saudara saudari yang datang untuk menyokongnya. Dengan tenang dan yakin, dia berkata, “Saya sudah cuba menyembah Yehuwa dengan sebaik-baiknya. Saya akan berbuat demikian untuk selama-lamanya.”
Saudara Igor Turik juga mempunyai tekad yang sama. Dia pernah berjumpa dengan Saudara Nikolay Kalibaba yang dianiaya semasa zaman Soviet. Nikolay mengajar Igor bahawa melalui cubaan, umat Yehuwa dapat melihat bagaimana Tuhan membantu mereka. Igor berkata, “Bagi saya, menderita demi iman kepada Tuhan ialah suatu penghormatan.” Igor dijatuhkan hukuman penjara tertangguh selama tujuh tahun, tetapi dia tetap bertabah.
Saudara Yevgeniy Fedin berkata dengan yakin, “Sekarang bukanlah masanya untuk berjuang bagi keadilan peribadi. Kita perlu memberikan kesaksian, dan Yehuwalah yang akan menegakkan keadilan bagi kita. Kita berjuang untuk mendapatkan berkat Yehuwa . . . Dengan memikirkan hal ini, saya dibantu untuk mempunyai pandangan yang betul terhadap cubaan saya, tidak kira apa kesudahannya. Setiap cubaan merupakan peluang untuk memuliakan Yehuwa dan memberikan kesaksian.”
Saudari Tatyana Zhuk berkata, “Semasa kami memikirkan apa yang sudah kami atasi, kami lebih bersedia untuk terus menghadapi cubaan dengan tabah. Itu bukti bahawa Yehuwa menyertai kami. Tanpa bantuan Bapa kami yang di syurga, mustahil kami dapat bersukacita semasa dianiaya.”
Yevgeniy, yang disebut tadi, berkata, “Kami ialah juara! Kami masuk ke pusat tahanan dan keluar sebagai juara. Kami masuk ke mahkamah dan keluar sebagai juara. Kami masuk ke penjara dan keluar sebagai juara.”
Pada tahun 2017, sejurus sebelum kerajaan Rusia mengumumkan bahawa aktiviti kita diharamkan, seorang sejarawan dan pakar mengenai Saksi-Saksi Yehuwa di Kesatuan Soviet, iaitu Dr. Emily Baran, menulis, “Melihat apa yang berlaku dalam sejarah, hampir mustahil Rusia dapat melenyapkan Saksi-Saksi Yehuwa.”
Jelaslah, nubuat di Yesaya 54:17 terbukti benar bagi saudara saudari kita di Rusia dan Crimea: ‘Semua senjata yang dihasilkan untuk melawan mereka akan menjadi tidak berguna.’
a Semasa perbicaraan di Mahkamah Agung, kerajaan Rusia mendakwa bahawa walaupun badan berdaftar Saksi-Saksi Yehuwa akan dibubarkan, Saksi-Saksi masih bebas untuk menganuti kepercayaan mereka. Namun, tindakan kerajaan Rusia bercanggah dengan dakwaan mereka.