27 APRIL 2021
RUSIA
Tiga Saudara dari Lipetsk Dibicarakan kerana Iman Mereka selepas Ditahan selama 331 Hari
TERKINI | Mahkamah Rusia Menolak Rayuan Tiga Orang Saudara
Pada 20 Januari 2022, Mahkamah Wilayah Lipetsk menolak rayuan Saudara Viktor Bachurin, Aleksandr Kostrov, dan Artur Netreba. Mereka perlu membayar denda yang dikenakan.
Pada 24 November 2021, Mahkamah Daerah Sovetskiy di Lipetsk mensabitkan Viktor, Aleksandr, dan Artur. Mereka masing-masing didenda sebanyak 500,000 ruble (sekitar RM27,000). Tapi mereka hanya perlu bayar 300,000 ruble (sekitar RM17,000) kerana mahkamah mengambil kira masa mereka telah dipenjarakan sebelum kes mereka dibicarakan. Mereka tidak perlu dipenjarakan.
Profil
Viktor Bachurin
Tahun Lahir: 1962 (Pavlovsky Posad, Wilayah Moscow)
Biografi: Berkahwin, mempunyai dua orang anak dan seorang cucu perempuan. Mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa pada awal 1990-an dan dibaptis pada 1992. Buat masa ini, dia merupakan satu-satunya Saksi Yehuwa dalam keluarganya
Aleksandr Kostrov
Tahun Lahir: 1961 (Sortavala, Republik Karelia)
Biografi: Pernah bekerja sebagai juruterbang, tukang kimpal gas dan elektrik, serta juruelektrik. Berkahwin dengan Larisa pada 1997. Mereka mempunyai dua orang anak. Kini bersara dan minat memancing. Dibaptis pada 2002 selepas menyedari bahawa hidup mengikut ajaran Bible adalah yang terbaik
Artur Netreba
Tahun Lahir: 1978 (Glodeni, Moldova)
Biografi: Berkahwin dengan Svetlana pada 1995 dan mempunyai seorang anak perempuan. Mereka berpindah ke Lipetsk untuk mencari kerja. Bekerja sebagai pengurus jualan. Selepas yakin bahawa mengikut prinsip Bible membawa kehidupan yang bermakna, dia dibaptis pada 2000
Sejarah Kes
Pada 2 Disember 2019, pihak berkuasa di Wilayah Lipetsk menyerbu tujuh buah rumah. Saudara Viktor Bachurin, Aleksandr Kostrov, dan Artur Netreba ditangkap. Agensi Keselamatan Persekutuan (FSB) menuduh mereka melakukan “jenayah serius yang melanggar undang-undang” hanya kerana menghadiri perjumpaan sidang dan melakukan kegiatan lain yang berkaitan dengan ibadat mereka. Jadi, saudara-saudara kita ditahan selama 331 hari sambil menunggu perbicaraan kes mereka.
Aleksandr menceritakan bahawa hubungannya dengan Yehuwa semakin erat semasa berada dalam tahanan. Dia menjelaskan, “Semasa menghadapi tentangan sedemikian, kita sedar bahawa Yehuwa ialah sumber bantuan kita yang paling utama.”
Artur berkata, “Saya bertekad untuk tidak kehilangan sukacita dan tetap bersikap positif. Saya selalu ingatkan diri bahawa semua ini hanyalah sementara. Bapa saya yang di syurga akan sembuhkan luka-luka saya dan melegakan hati saya. Di mana-mana pun, saya masih ada kesempatan untuk bercakap tentang Yehuwa, Tuhan kita yang suci.”
Viktor mengenang, “Yehuwa terbukti sebagai Sahabat sejati saya semasa saya melalui situasi yang unik ini. Saya selalu merasakan kasih sayang-Nya.”
Viktor amat bersyukur kerana semasa dia berada dalam tahanan, saudara saudari datang untuk membantu isterinya yang bukan Saksi. Viktor berkata, “Isteri saya gembira kerana beberapa saudari menunjukkan keprihatinan terhadapnya. Saya yakin keluarga saya dapat kesaksian yang sangat baik tentang kasih yang wujud dalam kalangan umat Yehuwa.”
Kita tahu bahawa Yehuwa akan terus melegakan hati saudara saudari kita yang sedang dianiaya di Rusia dan di negara-negara lain.—Yesaya 51:12.