Lompat ke kandungan

14 OKTOBER 2019
RUSIA

Transkrip Ucapan Penutupan Saudara Valeriy Moskalenko

Transkrip Ucapan Penutupan Saudara Valeriy Moskalenko

Pada Jumaat, 30 Ogos 2019, Saudara Valeriy Moskalenko menyampaikan ucapan penutupannya kepada mahkamah. Berikut merupakan sebahagian daripada kata-katanya, yang diterjemahkan daripada bahasa Rusia:

Yang Arif Tuan Hakim dan hadirin yang dihormati, saya berumur 52 tahun, dan telah dipenjarakan selama setahun. Sebenarnya, saya telah dipenjarakan selama lebih daripada setahun.

Untuk ucapan terakhir di sesi mahkamah ini, saya ingin cerita sedikit tentang diri saya, pandangan saya tentang tuduhan jenayah yang dilontarkan, dan pandangan saya tentang kehidupan. Saya amat berharap agar Yang Arif akan memahami sebabnya saya tidak akan menyangkal iman saya kepada Tuhan dan melihat bahawa iman kepada Tuhan bukannya suatu jenayah.

Dulu, saya bukan Saksi-Saksi Yehuwa. Ibu bapa saya prihatin dan mendidik saya dengan baik. Tapi sejak kecil, saya tertanya-tanya mengapa begitu banyak kejahatan di merata tempat. Saya fikir, “Hal ini tidak adil! Mengapa orang jahat dan penipu hidup senang sedangkan orang jujur dan baik hati menderita?”

Semasa berumur 24 tahun, saya berpeluang untuk belajar Bible selama beberapa bulan. Akhirnya, semua pertanyaan saya terjawab.

Sejak itu, saya berusaha mengutamakan perasaan Tuhan dan hukum serta prinsip-Nya [dalam Bible] sebelum membuat keputusan. Saya juga belajar daripada teladan [umat Tuhan] pada zaman dahulu.

Saya tinggal serumah dengan ibu saya. Dia sudah tua dan memerlukan jagaan saya. Pada 1 Ogos 2018, semasa ibu saya seorang diri di rumah, penyiasat Agensi Keselamatan Persekutuan (FSB) mengarahkan Pasukan Gerak Khas menggergaji engsel pintu rumah kami. Itulah cara yang mereka guna untuk masuk dan menggeladah rumah kami.

Ibu saya sangat takut. Selepas Pasukan Gerak Khas yang bertopeng menyerbu masuk, ibu saya mengalami serangan jantung dan ambulans perlu dihubungi. Setelah mengetahui apa yang berlaku, saya bergegas pulang dan sampai di rumah 30 minit kemudian. Apabila saya nampak keadaan ibu, tekanan darah saya terus naik. Namun, saya berusaha untuk tetap tenang dan tidak marah. Sebagai orang Kristian, saya terus berusaha menunjukkan kebaikan hati. Itulah yang diajarkan oleh Yehuwa, Tuhan saya, dan saya tidak ingin menyakiti hati-Nya.

Yang Arif, saya minta maaf. Biasanya, saya tidak banyak bercakap tentang diri sendiri. Tapi sekarang saya harus berbuat demikian.

Saya sudah menjadi Saksi-Saksi Yehuwa selama 25 tahun. Itu memang masa yang panjang. Selama ini, saya tidak pernah dianggap sebagai ekstremis. Sebaliknya, saya dikenali sebagai jiran yang baik, pekerja yang rajin, dan anak yang penyayang.

Tiba-tiba, sejak 20 April 2017, saya dituduh sebagai ekstremis. Apa buktinya? Adakah saya berubah menjadi jahat? Tidak. Adakah saya menjadi ganas atau membuat orang lain menderita? Tidak. Adakah saya kehilangan hak yang dijamin dalam Perkara 28, Perlembagaan Persekutuan Rusia? Tidak juga. Nama saya tidak tersenarai dalam keputusan Mahkamah Agung. Saya masih mempunyai hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan Rusia, khasnya Perkara 28. Jadi, mengapakah saya didakwa dan terpaksa membela diri di sini?

Semasa disoal siasat, saya sedar bahawa saya ditangkap dan ditahan kerana saya percaya kepada Tuhan Yang Maha Tinggi, iaitu Yehuwa, dan menggunakan nama-Nya semasa berdoa dan bercakap dengan orang lain. Tapi itu bukan jenayah. Tuhan sendiri yang memilih nama-Nya dan memastikan nama-Nya tercatat dalam Bible.

Saya pernah mengatakan hal ini dan ingin mengatakannya lagi: Saya tidak akan melawan kehendak Tuhan yang jelas dinyatakan dalam Bible. Tidak kira seberapa teruk saya ditekan atau dipaksa, bahkan dijatuhkan hukuman mati, saya tidak akan meninggalkan Pencipta alam semesta yang maha kuasa, Tuhan Yehuwa.

Yang Arif, Saksi-Saksi Yehuwa di serata dunia dikenali sebagai orang yang ramah dan suka akan kedamaian. Hak mereka untuk menyembah Tuhan dengan bebas dijunjung di kebanyakan negara di seluruh dunia. Saya berharap agar hak kebebasan beragama dihormati di Rusia juga, termasuk hak saya untuk menyembah Tuhan dengan bebas.

Tuduhan ke atas saya sama sekali tidak benar dan saya mohon agar mahkamah menyatakan bahawa saya tidak bersalah!

Terima kasih!