Lompat ke kandungan

Mahkamah Daerah Oryol

11 JUN 2019
RUSIA

Transkrip Ucapan Saudara Dennis Christensen di Mahkamah pada 16 Mei

Transkrip Ucapan Saudara Dennis Christensen di Mahkamah pada 16 Mei

Semasa rayuannya pada hari Khamis, 16 Mei 2019, Saudara Dennis telah menyampaikan ucapan pembelaannya yang panjangnya hampir 60 minit. Berikut merupakan transkrip ucapannya yang diterjemahkan daripada bahasa Rusia:

Bertahun-tahun yang lalu, seorang lelaki yang jahat berkata, “Jika suatu dusta diucapkan berulang kali, dusta itu akan dianggap benar.” Dalam erti kata lain, dusta yang diucapkan seribu kali akan dianggap kebenaran. Banyak orang telah mempercayai dusta yang diucapkan oleh lelaki jahat itu dan hal itu telah menyebabkan banyak orang yang tidak bersalah menderita.

Hal ini berlaku pada zaman dahulu, dan kita berharap bahawa orang yang berpendidikan pada abad ke-21 ini mengambil iktibar daripada sejarah.

Sedihnya, seperti yang berlaku pada zaman dahulu, dusta diucapkan berkali-kali mengenai saya dan Saksi-Saksi Yehuwa yang lain di Rusia. Sekali lagi, hal itu telah menyebabkan banyak orang yang tidak bersalah menderita.

Dalam kes saya, mereka berdusta bahawa saya telah meneruskan aktiviti Organisasi Keagamaan Tempatan (LRO) Saksi-Saksi Yehuwa di Oryol yang dianggap ekstremis dan telah diharamkan. Mereka juga menyatakan bahawa saya menjalankan kegiatan yang diharamkan itu secara rahsia.

Sepanjang perbicaraan saya, tuduhan yang sama dilontarkan berkali-kali tanpa sebarang bukti. Mereka mahu dusta mereka diterima orang sebagai kebenaran.

Hakikatnya ialah saya tidak pernah mempunyai apa-apa kaitan dengan LRO Saksi-Saksi Yehuwa di Oryol.

Saya memang salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Saya dan kawan-kawan saya menghadiri perjumpaan agama yang tiada kaitan dengan LRO Saksi-Saksi Yehuwa di Oryol. Tindakan saya tidak melanggar undang-undang Rusia dan selaras dengan Perkara 28 dalam Perlembagaan Persekutuan Rusia.

Saya tidak melakukan apa-apa untuk meneruskan kegiatan LRO Saksi-Saksi Yehuwa di Oryol yang diharamkan dan saya tidak melanggar undang-undang Rusia. Saya tidak pernah terlibat dalam apa-apa kegiatan yang dianggap ekstremis.

Banyak orang tanya saya, “Mengapakah Saksi-Saksi Yehuwa yang suka akan kedamaian dianggap ekstremis, dan apakah kegiatan ‘ekstremis’ yang dijalankan oleh mereka?” Jawapan saya, “Saya tidak tahu!”

Saksi-Saksi Yehuwa mengasihi orang lain seperti diri mereka sendiri. Mereka berusaha untuk melakukan apa yang baik dan yang membawa manfaat kepada masyarakat setempat. Mereka jujur, mematuhi undang-undang kerajaan, dan membayar cukai. Apakah kegiatan ekstremis yang dijalankan oleh mereka? Saya betul-betul tidak tahu, dan sepanjang perbicaraan yang diadakan, jawapan kepada soalan itu masih tidak terjawab.

Saya dituduh meneruskan kegiatan suatu badan berkanun kecil yang mempunyai sekitar 10 orang ahli. Mahkamah menyatakan bahawa badan berkanun itu terlibat dalam kegiatan ekstremis. Bila dan bagaimana saya meneruskan kegiatan ekstremis badan berkanun itu? Apakah kegiatan ekstremis yang saya jalankan?

Sepanjang perbicaraan kes saya, soalan-soalan itu langsung tidak dijawab. Kamu tahu mengapa? Kerana mereka mahu dusta menjadi kebenaran dengan mengulangi dusta itu berkali-kali!

Di Rusia, sesetengah orang mahu orang lain percaya bahawa Saksi-Saksi Yehuwa ialah golongan ekstremis, tetapi tuduhan itu tidak adil dan langsung tidak berasas. Saksi-Saksi Yehuwa bukanlah golongan ekstremis. Kamu tahu mengapa?

Sebab pertama, Saksi-Saksi Yehuwa tidak menyertai khidmat tentera dan mereka tidak menyertai perang. Semasa Perang Dunia Kedua di Jerman, mereka enggan menjadi askar dan sanggup mengorbankan nyawa mereka demi pendirian mereka. Mereka tidak pergi ke Barisan Timur dan tidak membunuh askar Soviet.

Di USSR, Saksi-Saksi Yehuwa dianiaya dengan teruk dan dipanggil antikomunis. Tetapi para Saksi tidak membenci orang yang menganiaya mereka.

Dewasa ini, biarpun Saksi-Saksi Yehuwa datang dari pelbagai negara dan bangsa, mereka hidup dengan damai dan harmoni. Hal ini membuktikan bahawa umat manusia yang kini berpecah belah dapat hidup bersatu.

Kedua, hanya di Rusia, Saksi-Saksi Yehuwa dituduh menjalankan kegiatan ekstremis. Saksi-Saksi Yehuwa terdapat di lebih daripada 200 negara dan mereka dikenali sebagai orang yang suka akan kedamaian dan langsung tidak ada kena-mengena dengan kegiatan ekstremis.

Mereka semua disatukan oleh kepercayaan yang sama yang berdasarkan Bible. Mereka digalakkan untuk memperlihatkan sifat-sifat yang baik seperti kasih, sukacita, kedamaian, kesabaran, kebaikan hati, kebaikan, iman, [kelemahlembutan], dan kawalan diri.

Dalam Bible, sifat-sifat ini dipanggil “buah kuasa suci Tuhan.” Orang yang memiliki sifat-sifat ini tidak akan menimbulkan masalah dalam masyarakat. Sifat-sifat ini membawa manfaat kepada semua orang dan tidak ada kaitan dengan ekstremisme.

Ketiga, penggunaan Undang-Undang untuk Melawan Kegiatan Ekstremis terhadap Saksi-Saksi Yehuwa di Rusia dikutuk oleh pakar hak asasi Rusia. Ramai dalam kalangan mereka menyatakan bahawa undang-undang itu membawa nama yang buruk kepada Rusia sebagai kerajaan demokratik. Sudah pasti para pakar itu tidak akan mengutuk cara undang-undang Rusia dikuatkuasakan jika Saksi-Saksi Yehuwa mempunyai reputasi sebagai golongan ekstremis.

Keempat, masyarakat antarabangsa juga mengutuk penggunaan Undang-Undang untuk Melawan Kegiatan Ekstremis terhadap Saksi-Saksi Yehuwa di Rusia. Perhimpunan Parlimen Majlis Eropah menggesa pihak berkuasa di Rusia agar berhenti menggunakan undang-undang itu terhadap Saksi-Saksi Yehuwa. Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB telah berulang kali menyatakan bahawa pihak berkuasa Rusia tidak patut menggunakan undang-undang itu terhadap Saksi-Saksi Yehuwa untuk menganiaya mereka kerana mereka ialah orang yang suka akan kedamaian dan mereka tidak bersalah.

Yesus Kristus pernah memberitahu para pengikutnya, “Jika mereka telah menganiaya aku, mereka akan menganiaya kamu juga.” (Yohanes 15:20) a Yesus sendiri akhirnya dijatuhkan hukuman mati kerana dituduh sebagai ekstremis. Hal itu sememangnya tidak adil dan merupakan dusta.

Tetapi kita bukannya hidup pada abad pertama atau pada Zaman Pertengahan. Kita hidup pada abad ke-21, dan manusia sepatutnya memiliki hak asasi dan kebebasan beragama. Hak-hak itu sepatutnya dimiliki oleh semua orang.

Wajarkah seseorang dilarang daripada mempercayai Tuhan lalu dipenjarakan kerana kepercayaannya? Saya yakin hal itu salah. Hal itu hanya berlaku di negara totalitarian, bukannya di negara demokratik seperti Rusia.

Semasa perbicaraan saya, saya mendengar bahawa sesetengah orang di Rusia menganggap seseorang yang percaya bahawa dia menganuti satu-satunya agama yang benar dan memberitahu orang lain tentang agamanya secara terbuka ialah ekstremis. Hal ini langsung tidak masuk akal kerana semua orang yang mempunyai agama sendiri pasti percaya bahawa agama mereka agama yang benar. Jika tidak, buat apa mereka terus menganuti agama itu?

Jika alasan ini digunakan untuk menyatakan bahawa seseorang itu ialah ekstremis, secara tidak langsung mereka juga menganggap Yesus Kristus sebagai ekstremis. Yesus memberitahu Pontius Pilatus, “Aku harus memberikan kesaksian tentang kebenaran, kerana untuk tujuan inilah aku dilahirkan dan datang ke dunia. Setiap orang yang berpihak pada kebenaran mendengarkan suaraku.”—Yohanes 18:37.

Hal ini bermaksud bahawa kebenaran [Bible] memang wujud. Yesus menginjil tentang kebenaran dan mengajarkannya kepada murid-muridnya. Yesus bukan merujuk kepada kebenaran secara umum. Sebaliknya, dia bercakap tentang kebenaran tentang tujuan Tuhan. Secara asas, kehendak Tuhan ialah agar Yesus, “anak Daud” (iaitu keturunannya), berkhidmat sebagai Imam Agung dan Raja Kerajaan Tuhan.

Yesus menjelaskan bahawa tujuan utama dia turun ke bumi adalah untuk menginjil tentang kebenaran Kerajaan Tuhan. Adakah orang hari ini menganggap Yesus sebagai ekstremis semata-mata kerana dia menginjil tentang kebenaran?

Saksi-Saksi Yehuwa mengikut teladannya dan menginjil tentang kebenaran yang tertulis dalam Bible, iaitu bahawa Kerajaan Tuhan ialah satu-satunya penyelesaian kepada semua masalah manusia. Mereka mengongsi apa yang tertulis dalam Firman Tuhan dengan semua orang.

Pernah sekali, Yesus berdoa kepada Tuhan, “Sucikanlah mereka dengan kebenaran. Firman-Mu ialah kebenaran.” (Yohanes 17:17) Maka, adalah sangat penting bagi semua orang untuk mempelajari kebenaran dalam Bible. Hal itu sangat bermanfaat dan langsung tidak ada kaitan dengan ekstremisme.

Bukan Saksi-Saksi Yehuwa sahaja yang menghargai Bible. Seorang ahli sains berbangsa Rusia yang bernama Mikhail Lomonosov berkata, “Pencipta telah memberi manusia dua buah buku. Dalam buku yang pertama, Dia menyingkapkan kemuliaan-Nya, dan dalam buku yang kedua, Dia menyingkapkan kehendak-Nya. Buku pertama merujuk kepada dunia nyata yang diciptakan oleh-Nya . . . Buku yang kedua pula merujuk kepada Kitab Suci.”

Sudah pasti, Lomonosov telah mempelajari Kitab Suci dengan teliti dan pemerhatiannya memang betul. Banyak yang dapat kita pelajari tentang Tuhan dengan mengamati ciptaan-Nya, dan lebih banyak lagi yang dapat kita belajar tentang-Nya jika kita membaca, mengkaji, dan menyelidiki Firman-Nya.

Bible menyatakan, “Segenap Ayat-Ayat Suci diilhami oleh Tuhan dan berguna untuk mengajar, . . . dan mendidik orang untuk melakukan apa yang benar, agar hamba Tuhan menjadi cekap dan dilengkapi dengan sepenuhnya untuk melakukan setiap perbuatan yang baik.” (2 Timotius 3:16, 17) Ya, dilengkapi untuk melakukan setiap perbuatan yang baik!

Di perjumpaan Kristian yang saya hadiri, yang langsung tiada hubung kait dengan badan berkanun LRO Saksi-Saksi Yehuwa di Oryol, kami selalu berbincang tentang cara kami dapat melakukan hal-hal yang baik demi manfaat orang lain.

Terdapat dua rakaman video perjumpaan kami yang diadakan pada 19 dan 26 Februari 2017 yang ditonton di mahkamah. Dalam kedua-dua video itu, tiada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa ialah ekstremis. Kami berbincang tentang ajaran Bible yang dapat membawa manfaat kepada semua orang. Keadaan di perjumpaan itu aman dan damai, dan semua orang bersukacita. Begitulah keadaan setiap perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa.

Ajaran Bible yang dibincangkan dalam perjumpaan kami tidak mengajar orang untuk membuat hal yang jahat. Sebenarnya, ajaran Bible dapat membantu orang hidup dengan bahagia dan membawa kelegaan kepada mereka. Bagi orang yang kehilangan orang kesayangan, janji Bible yang berikut pasti melegakan hati mereka: “Musuh terakhir yang akan dilenyapkan ialah kematian.”—1 Korintus 15:26.

Kematian ialah musuh yang ditakuti semua orang tetapi Tuhan tidak takut akan kematian. Yesaya 25:8 menyatakan, “Dia akan melenyapkan kematian buat selama-lamanya. Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, akan menghapuskan air mata daripada setiap wajah.”

Bayangkanlah hal itu! Pada masa depan, kuburan tidak akan ada lagi dan tiada orang yang akan mengadakan upacara pengebumian. Tangisan dukacita akan digantikan dengan tangisan sukacita semasa Tuhan membangkitkan orang yang telah mati. Akhirnya semua kesan buruk yang dibawa oleh kematian akan tiada lagi.

Harapan ini melegakan hati saya kerana kematian telah meragut nyawa banyak orang yang saya kasihi. Semasa saya ditahan, nenek saya yang amat saya kasihi, iaitu Helga Margrethe Christensen, telah meninggal.

Nenek saya ialah orang pertama dalam keluarga saya yang mempelajari Bible dan menjadi salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Dia telah mengajarkan kebenaran Bible kepada bapa saya dan kemudiannya kepada saya. Semua orang yang mengenali nenek saya, termasuk jiran, rakan sekerjanya, dan ahli keluarga kami, mengasihi dan menghormati nenek saya.

Dia mengasihi dan menghormati semua orang, tidak kira apa agama, latar belakang, dan bangsa mereka. Dia berusaha untuk membantu semua orang dan dia juga melakukan hal-hal yang baik bagi jiran-jirannya. Sedihnya, sesetengah orang mungkin mengatakan bahawa dia seorang ekstremis. Tetapi kebanyakan orang yang berakal pasti tidak akan bersetuju dengan mereka.

Saya menantikan masanya apabila Tuhan akan membangkitkan nenek saya dan saya dapat bertemu dengannya lagi. Malangnya, saya tidak dapat menghadiri pengebumiannya kerana pada waktu itu, saya ditahan atas tuduhan ekstremisme yang langsung tidak berasas ini. Saya tidak dapat berada bersama keluarga saya pada masa yang susah itu dan membantu melegakan hati mereka.

Harapan Bible tentang kematian meyakinkan saya bahawa saya tidak kehilangan nenek saya buat selama-lamanya. Kami akan bertemu lagi di bumi semasa Kerajaan Tuhan memerintah bumi ini. Jika harapan ini telah membantu melegakan hati saya, saya berasa yakin bahawa harapan ini juga dapat membantu melegakan hati orang lain.

Satu lagi ajaran Bible yang dibincangkan dalam perjumpaan kami ialah bahawa bumi akan menjadi sebuah firdaus pada masa hadapan. Pada waktu itu, semua orang akan hidup damai, mempunyai makanan yang mencukupi, dan mempunyai kesihatan yang sempurna. Seperti yang dinyatakan di Yesaya 33:24, “Tiada sesiapa pun di negeri itu yang akan berkata, ‘Aku sakit.’ Dosa penduduk negeri itu sudah diampunkan.”

Adakah janji Bible yang disebarkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa memudaratkan orang lain? Sebenarnya, janji-janji ini dapat memberikan harapan kepada orang lain dan membantu mereka hidup bahagia. Yesus sendiri berkata, “Berbahagialah orang yang mendengar firman Tuhan dan menurutinya!”—Lukas 11:28.

Sama ada seseorang mahu mempercayai ajaran Bible atau tidak ialah pilihan mereka sendiri. Tuhan tidak memaksa sesiapa pun untuk menyembah-Nya. Yeremia 29:11 menyatakan, “‘Aku sendiri tahu apa yang akan Aku lakukan untuk kamu,’ firman Yehuwa, ‘Aku akan memberi kamu kedamaian, bukannya malapetaka. Ya, Aku akan memberi kamu harapan dan masa depan yang baik.’”

Tuhan mengajarkan haluan hidup yang terbaik. Dia mahu kita mempunyai hubungan yang rapat dengan-Nya. Saksi-Saksi Yehuwa menjemput orang untuk memilih haluan hidup yang terbaik ini agar mereka berpeluang untuk menjadi sahabat Tuhan dan hidup untuk selama-lamanya. Semua hal ini tiada kaitan dengan ekstremisme. Jadi apakah “kegiatan ekstremis” yang telah saya lakukan, dan mengapakah mereka mahu saya dipenjarakan selama enam tahun?

Saya bukan penjenayah atau ekstremis. Jiran-jiran, polis tempatan, dan pegawai pusat tahanan memuji kelakuan saya. Jadi sekali lagi, saya ingin tanya, “Apakah ‘kegiatan ekstremis’ yang telah saya lakukan, dan mengapakah mereka mahu saya dipenjarakan selama enam tahun?”

Saya sangat bingung, dan saya sangat keliru selama dua tahun ini. Mungkin Mahkamah Rayuan dapat memberikan jawapan yang spesifik kepada soalan saya, kerana setakat ini, mahkamah perbicaraan tidak dapat menjawab soalan-soalan yang telah saya ajukan.

Seperti yang telah saya katakan tadi, kita hidup pada abad ke-21, bukannya Zaman Pertengahan. Dewasa ini, orang lebih berpendidikan daripada orang dahulu. Tetapi sedihnya, orang di Rusia masih dianiaya kerana iman mereka, dan mereka diseksa kerana kepercayaan mereka.

Pada 15 Februari 2019, tujuh orang Saksi-Saksi Yehuwa disoal siasat oleh Jawatankuasa Siasatan Surgut. Jawatankuasa itu telah menganiaya para Saksi dengan kejam untuk mendapatkan jawapan yang diingini mereka. Menurut Perkara 51 dalam Perlembagaan Persekutuan Rusia, semua orang di Rusia, termasuk Saksi-Saksi Yehuwa, mempunyai hak untuk tidak memberi keterangan yang dapat menjejaskan diri sendiri atau orang yang dikasihi. Walaupun bagaimanapun, hak Saksi-Saksi telah dicabuli dalam kes itu.

Para Saksi dipaksa berlutut sambil mengangkat kedua-dua belah tangan mereka. Kepala dan badan mereka dipukul, dan mereka dimalukan kerana agama mereka dan bangsa mereka. Kepala mereka ditutup dengan sebuah beg yang dilekatkan dengan pita pelekat pada bahagian leher sehingga mereka susah bernafas. Tangan mereka diikat di belakang mereka dan kaki mereka juga diikat. Mereka dimaki dan dipaksa untuk membuat pernyataan tertentu. Sesetengah Saksi itu hampir mati dan ada yang pengsan kerana tidak dapat bernafas. Kemudian, mereka disiram dengan air lalu dikenakan renjatan elektrik dengan pistol pegun.

Segala-gala yang telah berlaku didokumentasikan oleh pakar, tetapi Jawatankuasa Siasatan itu tidak didakwa melakukan jenayah. Pihak berkuasa tidak peduli tentang apa yang berlaku kepada para Saksi dan ada yang bahkan menuduh bahawa mereka telah mencederakan diri sendiri. Tetapi hal itu tidak masuk akal! Hal itu suatu dusta yang kejam!

Semua ini membawa aib kepada Rusia, dan saya berharap agar mereka yang terlibat dalam semua kejadian yang buruk ini akan didakwa dan dihukum. Mengapakah mereka diizinkan untuk melayan manusia lain dengan begitu buruk? Mengapakah mereka diizinkan untuk menggunakan kaedah sadis seperti yang digunakan oleh Hitler dan Stalin? Saya berharap mereka dilarang daripada terus berbuat demikian. Saya harap semua ini hanyalah suatu kesilapan yang akan dibetulkan tidak lama lagi!

Keputusan mahkamah perbicaraan menyatakan, “Jika seseorang terus menjalankan kegiatan persatuan keagamaan yang telah dibubarkan oleh mahkamah kerana terlibat dalam kegiatan ekstremis, dia telah melakukan suatu jenayah dan harus dihukum.” Hal ini memang masuk akal. Tetapi apakah kaitan hal itu dengan saya?

Saya tidak pernah terlibat dalam kegiatan LRO Saksi-Saksi Yehuwa di Oryol. Saya juga tidak melakukan apa-apa untuk meneruskan kegiatan LRO itu yang telah diharamkan.

Semua kegiatan Kristian saya tiada hubung kait dengan badan berkanun LRO Saksi-Saksi Yehuwa di Oryol. Semua perbuatan saya tidak bercanggah dengan Perkara 28 dalam Perlembagaan Persekutuan Rusia.

Semua kegiatan Kristian saya tiada hubung kait dengan badan berkanun LRO Saksi-Saksi Yehuwa di Oryol yang diharamkan. Dalam perbualan telefon saya, yang juga dimainkan di mahkamah, saya berkata kepada kawan saya, “Kita satu kumpulan agama. Kita tidak ada hubung kait dengan LRO atau Pusat Pentadbiran Saksi-Saksi Yehuwa di Rusia.”

Mahkamah perbicaraan tidak mempedulikan fakta ini. Sebaliknya, mahkamah menerima keterangan palsu seorang saksi rahsia yang bernama A. P. Yermolov, iaitu seorang ejen FSB. Mahkamah rayuan dapat mengesahkan bahawa nama sebenar A. P. Yermolov ialah Oleg Gennadyevich Kurdyumov.

Mula-mula, dalam keterangan Oleg Kurdyumov, dia berkata bahawa dia tidak tahu apa-apa, dan berdasarkan Perkara 51 dalam Perlembagaan Rusia, dia enggan memberikan keterangan yang dapat menjejaskan dirinya. Pada hari yang berikutnya, dia memberikan keterangan yang berbeza dengan menggunakan nama yang lain, iaitu A. P. Yermolov. Selepas itu, dia memberikan lebih banyak keterangan dengan menggunakan nama itu.

Di mahkamah, semasa kita menonton rakaman kedua-dua video perjumpaan kami yang diadakan pada 19 dan 26 Februari 2017, dan yang tiada kaitan dengan LRO Saksi-Saksi Yehuwa di Oryol, memang jelas bahawa Oleg Kurdyumov ialah orang yang telah merakam perjumpaan itu. Kamera itu bergerak semasa dia bergerak, dan semasa orang menghampiri dia, kamu dapat mendengar dia berkata, “Hai, nama saya Oleg.”

Hal ini bermaksud bahawa pada mulanya, dia bekerja sebagai ejen FSB, dan dia merakam perjumpaan kami. Kemudian, dia muncul di mahkamah dengan nama sebenarnya dan mendakwa bahawa dia tidak tahu apa-apa. Pada keesokan harinya, dia berdusta kepada para penyiasat, dan menggunakan nama lain. Dia mengulangi dusta yang sama di mahkamah, dan ialah seorang saksi yang rahsia. Adakah hal itu adil?

Menurut undang-undang, ejen FSB tidak ada hak untuk memberikan keterangan menggunakan identiti palsunya. Tetapi pihak pendakwa, pejabat pendakwa, dan para hakim mahkamah perbicaraan menutup sebelah mata kepada hal ini dan mengizinkannya untuk memberikan keterangan palsu. Sekarang, keterangannya digunakan untuk mendakwa saya. Saya tidak dapat faham mengapa mahkamah perbicaraan mengizinkan ketidakadilan ini untuk berlaku.

Saya juga sangat bingung mengapa pejabat pendakwa mengizinkan semua ini untuk berlaku. Mereka sepatutnya menjamin bahawa perbicaraan yang diadakan selaras dengan semua undang-undang Rusia. Tetapi mereka mengizinkan ketidakadilan ini untuk berlaku dan menutup sebelah mata terhadapnya.

Saya memohon kepada mahkamah rayuan untuk cuba memahami saya. Saya tidak membenci mereka yang bekerja di mahkamah perbicaraan. Saya pasti mereka orang yang baik dan saya berharap suatu hari nanti kami dapat menjadi kawan, minum kopi bersama-sama, dan ketawa atas apa yang telah berlaku. Tetapi saya sangat kecewa dengan mutu kerja mereka kerana nampaknya mereka membuat kerja dengan sambil lewa.

Nampaknya mahkamah perbicaraan telah menggunakan saksi rahsia yang juga merupakan seorang ejen FSB kerana dia sudi berbohong dan mengatakan apa sahaja yang diperlukan supaya saya disabitkan bersalah.

Tetapi saksi sebegitu tidak dapat dipercayai dan bukan sumber maklumat yang dapat dipercayai. Memang tidak adil jika seorang yang tidak bersalah dijatuhkan hukuman penjara kerana mendengar keterangan daripada saksi yang palsu.

Sekitar dua tahun yang lalu, semasa salah satu perbicaraan tentang penahanan saya, saya telah berkata, “Berikanlah kehidupan saya kembali!” Hari ini saya juga meminta hal yang sama.

Berkenaan penahanan saya, saya berasa bahawa tujuan mereka bukanlah semata-mata untuk mengasingkan saya daripada masyarakat umum dan kemudian menjatuhkan hukuman atas saya. Sebenarnya, mereka mahu mengasingkan saya agar orang tidak sedar akan apa yang sedang berlaku dalam perbicaraan yang diadakan.

Saya rasa penahanan saya tidak sah dari segi undang-undang dan sangat tidak adil. Tujuannya adalah supaya saya tidak dapat membela diri di hadapan pihak media dan mengutarakan pendapat saya dengan bebas kepada mereka. Tetapi saya berasa yakin bahawa suatu hari nanti, saya akan berpeluang untuk melakukan hal itu!

Ya, saya mahu kamu memberikan kehidupan saya kembali agar saya dapat meneruskan kehidupan saya dengan aman dan damai dalam bandar yang cantik ini bersama isteri saya, Irina. Selama hampir dua tahun, saya tidak dapat membuat apa yang saya mahu. Saya terpaksa menjalani kehidupan yang ditentukan oleh orang lain bagi saya.

FSB telah memfitnah saya dan menodai nama baik saya. Mereka memalsukan dokumen dan kajian pakar, dan menggunakan saksi rahsia yang berbohong.

Mereka melakukan semua ini untuk membuat seseorang yang suka akan kedamaian kelihatan seperti seorang ekstremis yang bahaya dan dapat mengancam keselamatan negara. Sebenarnya, semua tuduhan terhadap saya terang-terang tidak berasas dan lucu.

Saya berasa sangat kecewa kerana mahkamah perbicaraan telah menyokong semua tuduhan palsu ini dan mengetepikan fakta-faktanya. Hakim yang Bijaksana, tolonglah hentikan ketidakadilan yang berlaku kepada saya dan tegakkanlah kebenaran. Saya meminta, “Berikanlah kehidupan saya kembali!”

Seperti yang telah saya katakan tiga bulan yang dahulu di mahkamah perbicaraan, “Satu-satunya keputusan yang akan saya terima dalam perbicaraan ini ialah jika dakwaan terhadap saya digugurkan, saya dibebaskan, saya diberikan pampasan, dan mereka yang mendakwa saya meminta maaf kepada saya. Itulah keputusan yang akan saya terima!” Sampai sekarang, itu masih pendirian saya.

Apa-apa lagi keputusan lain sudah pasti tidak adil dan saya akan membuat rayuan di Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah di Strasbourg. Di situ, saya berasa pasti kes saya akan menang.

Selepas itu, Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah dan orang dari seluruh dunia, termasuk pegawai-pegawai tinggi kerajaan Rusia, dan Presiden Rusia Vladimir Vladimirovich Putin, akan tertanya-tanya mengapa mahkamah Oryol tidak nampak bahawa perbicaraan ini tidak berasas dan dibuat berdasarkan dusta yang diucapkan secara berulang kali.

Adakah usaha dan masa yang digunakan untuk mencari keadilan berbaloi? Ya! Jika mahkamah rayuan hari ini menyatakan saya bersalah, saya akan terus berjuang demi keadilan. Saya memberitahu semua orang yang hadir di mahkamah hari ini dan semua orang yang mengikuti perkembangan perbicaraan ini, “Saya memang bersedia!”

Saya tidak akan putus asa kerana saya tahu bahawa saya tidak bersalah dan semua tuduhan ini tidak berasas dan tidak benar. Saya tidak takut untuk dipenjarakan, biarpun saya tahu bahawa keputusan itu memang tidak adil.

Saya tidak takut, dan saya tidak risau. Saya rasa tenang dan damai. Tuhan saya, Yehuwa, tidak akan meninggalkan saya, dan saya sudah melihat kata-kata berikut menjadi kenyataan:

Tuhan Yehuwa adil;

Dia ingat akan kasih aku.

Ku tak keseorangan

Kerana Dia di sisiku.

Yehuwa penjagaku

Dan pelindungku setiap waktu.

Dia Bapaku, dan Tuhanku,

Dan Kawanku.

Sekian. Terima kasih kerana mendengar luahan saya dengan sabar!

a Saudara Dennis memetik ayat-ayat Bible daripada terjemahan synod Rusia. Tetapi untuk tujuan terjemahan ini, semua ayat Bible dipetik daripada Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu.