Lompat ke kandungan

Mahkamah Daerah Oryol

11 JUN 2019
RUSIA

Transkrip Ucapan Saudara Dennis Christensen di Mahkamah pada 23 Mei

Transkrip Ucapan Saudara Dennis Christensen di Mahkamah pada 23 Mei

Semasa rayuannya pada hari Khamis, 23 Mei 2019, Saudara Dennis telah menyampaikan ucapan pembelaannya yang terakhir di mahkamah. Berikut merupakan transkrip ucapannya yang diterjemahkan daripada bahasa Rusia:

Sekarang saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang telah membantu saya selama dua tahun ini.

Mula-mula, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada isteri saya, Irina. Dari awal lagi, dia telah melakukan apa yang terdaya untuk membantu saya. Dia menjaga keperluan saya dengan membawa pakaian, makanan, ubat, dan benda-benda yang lain ke pusat tahanan. Dia juga menyokong saya dari segi emosi dan rohani melalui lawatannya dan surat yang ditulisnya setiap hari.

Isteri kesayanganku, saya ingin memberitahu kamu bahawa imanmu yang kuat, kesabaranmu yang besar, ketenanganmu, sikapmu yang positif, dan kasihmu untuk saya dan untuk kebenaran, telah banyak menggalakkan saya. Saya mencintaimu dan sangat bangga denganmu!

Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada ahli keluarga saya di Denmark, terutamanya kepada bapa saya dan adik perempuan saya. Saya ingin memberitahu kamu bahawa saya mengasihi kamu dan sangat rindu akan kamu. Saya menghargai segala bantuan kamu. Sepanjang masa saya ditahan, kamu telah mengirimkan banyak surat dan membuat banyak panggilan telefon untuk menggalakkan saya. Saya yakin bahawa kamu akan terus memberikan sokongan kepada saya dan suatu hari nanti, kita dapat bersama-sama sebagai sebuah keluarga.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kawan saya dari serata dunia. Kamu menyokong saya melalui surat kamu, kata-kata yang menggalakkan, lukisan yang cantik, dan hadiah. Semua ini membantu saya untuk sedar bahawa saya tidak bersendirian dan saya mempunyai sebuah keluarga rohani antarabangsa.

Kawan-kawanku, saya ingin memberitahu kamu bahawa setiap surat kamu, tidak kira yang panjang atau yang pendek, telah menggalakkan dan menguatkan saya. Maafkan saya jika saya tidak dapat membalas surat kamu. Saya berjanji bahawa pada masa depan, saya pasti akan mencari kamu, mengucapkan terima kasih kepada kamu, dan memeluk kamu!

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Kedutaan Denmark di Moscow dan semua kakitangan yang bekerja di situ. Kamu telah menghadiri banyak perbicaraan saya dan melawat saya di pusat tahanan. Kamu telah memberi saya nasihat, bimbingan, dan galakkan yang diperlukan. Saya menghargai semua bantuan kamu.

Selain itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Mahkamah Rayuan ini kerana mengizinkan saya untuk datang ke sini untuk menghadiri perbicaraan ini. Semasa saya membela diri dalam perbicaraan lain yang diadakan melalui persidangan video, saya tidak dapat mendengar segala-gala yang diucapkan dengan jelas. Saya terpaksa meneka apa yang diucapkan dan hal itu telah menjejaskan usaha saya untuk membela diri. Lagipun semasa saya membuat pembelaan melalui persidangan video, saya masih dikurung di pusat tahanan dan kelihatan seperti binatang yang dikurung di dalam zoo. Saya berasa hal itu tidak wajar dan tidak berperikemanusiaan bagi kita yang hidup pada abad ke-21.

Setakat ini, saya telah menghabiskan hampir 2 tahun di pusat tahanan, dan kes ini telah berlangsung selama 15 bulan. Agar seseorang tidak berputus asa dan menjadi tawar hati, dia harus mempunyai kekuatan batin. Dalam Bible, Filipi bab 4, ayat 13 menyatakan, “Melalui Dia yang memberikan kuasa kepadaku, aku berdaya menghadapi segala keadaan.” a Yesaya bab 12, ayat 2 menyatakan, “Tuhan ialah Penyelamatku. Aku percaya kepada-Nya dan aku tidak akan takut. Yah ialah kekuatanku; Yehuwa ialah pelindungku. Dia telah menyelamatkan aku.”

Sepanjang masa ini, saya berasa bahawa Tuhan saya, iaitu Yehuwa sentiasa berada di sisi saya. Dia memberi saya kekuatan untuk bertabah, untuk tidak putus asa, untuk melawan perasaan tawar hati, untuk bersukacita dan terus tersenyum. Saya amat bersyukur atas sokongan-Nya dan saya berasa bangga untuk berkhidmat sebagai salah seorang saksi-Nya, iaitu sebagai salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa.

Banyak orang bertanya apa kesannya kes jenayah ini atas diri saya. Kehidupan sebagai tahanan memang tidak senang, terutamanya kerana saya terpaksa berpisah dengan isteri, sahabat, dan sanak saudara saya buat masa yang begitu lama. Sepanjang dua tahun yang lalu, saya meluangkan kebanyakan masa bersendirian. Saya masih hidup, tetapi apa yang dapat saya buat amat terhad. Saya menghabiskan 23 jam sehari dalam sel penjara saya. Panjang sel saya ialah 6 meter dan lebarnya ialah 3 meter. Selama satu jam sehari saya diizinkan untuk keluar dan berjalan-jalan di sebuah halaman kecil yang panjangnya 6 meter dan lebarnya 3 meter. Dalam masa satu jam itu, saya dapat berjumpa dengan sebilangan orang dan dapat berbual-bual dengan mereka. Kebanyakan daripada mereka juga mahu perbicaraan mereka diadakan dengan adil. Mereka berasa bahawa apa yang dikatakan oleh mereka tidak diendahkan oleh pihak berkuasa. Itulah perasaan saya selama dua tahun ini. Saya berusaha untuk menyokong dan menggalakkan mereka, kerana saya yakin bahawa jika Yesus Kristus berada di sini, dia juga akan melakukan hal yang sama.

Saya mendapat banyak kawan baharu. Ada yang menghadiri beberapa perbicaraan di mahkamah, yang lain telah menulis surat kepada saya. Ada yang dapat saya jumpa, yang lain pula tidak. Ada yang seiman, dan ada yang tidak. Tetapi mereka semua menyokong saya kerana mereka tidak tahan melihat ketidakadilan yang berlaku di Rusia. Walaupun Saksi-Saksi Yehuwa merupakan rakyat yang suka akan kedamaian dan mengasihi orang lain sepertimana mereka mengasihi diri sendiri, mereka dianggap sebagai penjenayah dan dipanggil ekstremis. Hal ini langsung tidak masuk akal. Banyak orang terkejut dengan apa yang sedang berlaku di Rusia biarpun kita semua hidup pada abad ke-21.

Ada yang tanya saya bagaimana semua hal ini telah mempengaruhi iman saya. Disebabkan kes ini, iman saya menjadi lebih kuat dan saya telah mengalami kebenaran apa yang tertulis dalam Bible. Surat Yakobus bab 1, ayat 2 hingga 4 menyatakan, “Saudara-saudaraku, bersukacitalah apabila kamu ditimpa pelbagai cubaan, kerana kamu tahu bahawa mutu iman kamu yang telah diuji akan menghasilkan ketabahan. Biarlah ketabahan kamu mencapai tujuannya, supaya kamu menjadi serba lengkap, tidak bercela dalam segala hal, dan tidak kekurangan apa-apa pun.”

Saya memang tidak sempurna dan terdapat banyak hal yang telah saya pelajari daripada pengalaman ini. Saya belajar untuk tetap bersukacita biarpun menghadapi cubaan. Yang lebih penting, saya menjadi lebih akrab dengan Tuhan saya, Yehuwa. Keinginan saya untuk memberitahu orang lain tentang-Nya dan tentang berita baik Kerajaan Tuhan semakin membara. Hal ini demikian kerana Kerajaan Tuhan ialah satu-satunya penyelesaian kepada masalah umat manusia. Saya mempunyai keinginan yang kuat untuk memberitahu orang berita baik daripada Bible tentang kehidupan abadi di bumi Firdaus yang aman damai, untuk membantu mereka menghampiri Pencipta kita, dan mempunyai iman yang kuat terhadap-Nya dan janji-janji-Nya.

Secara rasmi, ucapan ini dipanggil “ucapan pembelaan yang terakhir.” Hal ini demikian kerana ini mungkin kata-kata terakhir yang akan kamu dengar daripada saya hari ini. Barangkali ini merupakan sesi mahkamah terakhir yang akan menandakan akhir kes jenayah terhadap saya yang telah berlangsung selama dua tahun. Tetapi saya ingin mengatakan bahawa ini bukanlah kata-kata saya yang terakhir tentang kes ini dan tentang ketidakadilan yang dihadapi oleh orang yang tidak bersalah di Rusia. Ini hanya permulaan, dan ada banyak hal lagi yang mahu saya katakan di depan khalayak ramai. Saya tidak akan berdiam diri, seolah-olah saya bersalah atau ada hal untuk disembunyikan. Saya mempunyai hati nurani yang murni kerana saya tidak melanggar undang-undang Rusia dan saya tidak berasa malu.

Orang yang melayan saya dan Saksi-Saksi Yehuwa yang lain di Rusia dengan buruk harus berasa malu. Mereka melontarkan tuduhan palsu, tuduhan ekstremisme, melakukan soal siat, menangkap, menggeledah rumah, merampas hak milik, mengancam, dan menyeksa kami. Akhirnya, kebenaran akan tersingkap dan keadilan akan ditegakkan. Dalam Bible, Galatia bab 6, ayat 7 menyatakan, “Janganlah menipu diri sendiri. Tuhan tidak dapat diperbodoh. Seseorang akan menuai apa yang ditanamnya.”

Mahkamah perbicaraan telah menjatuhkan hukuman penjara selama enam tahun ke atas saya. Tetapi apakah sebabnya? Mereka langsung tiada asas untuk berbuat demikian! Mereka tidak ada bukti untuk menunjukkan bahawa saya bersalah. Saya telah bertindak selaras dengan Perkara 28 dalam Perlembagaan Persekutuan Rusia. Saya mematuhi undang-undang kerajaan Rusia, dan saya seorang yang jujur. Saya seorang Kristian, salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa, dan saya mengasihi orang Rusia. Jadi mengapakah saya dihukum? Mengapakah saya dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun? Semua ini memang tidak adil.

Saya betul-betul berharap hari ini, mahkamah rayuan akan bertindak selaras dengan undang-undang dan menegakkan keadilan. Saya berharap agar mahkamah ini akan berhenti menganiaya orang atas dasar kepercayaan mereka. Saya berharap agar mahkamah ini menunjukkan kepada seluruh dunia bahawa kerajaan Rusia menghormati hak rakyatnya untuk menjalankan ibadat mereka dengan bebas.

Pada masa depan, kata-kata berikut akan menjadi kenyataan: “Dia akan menghakimi banyak bangsa . . . Mereka akan menempa pedang menjadi bajak, dan tombak menjadi pisau pemangkas. Satu bangsa tidak akan mengangkat pedang untuk melawan bangsa yang lain, dan mereka tidak akan belajar berperang lagi. Setiap orang akan duduk di bawah pokok anggur dan di bawah pokok ara masing-masing. Tidak ada sesiapa yang akan membuat mereka berasa takut,” Mikha bab 4, ayat 3 dan 4.

Tuhan ialah hakim yang adil dan di bawah pemerintahan-Nya, pertengkaran, keganasan, atau peperangan tidak akan wujud. Manusia juga tidak akan dirundung kerisauan. Dalam erti kata lain, semua orang akan menikmati keamanan dan kebahagiaan sejati.

Yang Arif, jika tuan membuat keputusan yang betul pada hari ini, tuan akan membantu orang untuk menikmati keadilan dan keamanan supaya mereka dapat hidup dalam dunia yang bebas daripada ketakutan, dukacita, dan ketidakadilan. Saya berharap tuan akan membuat keputusan yang saksama. Terima kasih!

a Saudara Dennis memetik ayat-ayat Bible daripada terjemahan synod Rusia. Tetapi untuk tujuan terjemahan ini, semua ayat Bible dipetik daripada Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu.