Lompat ke kandungan

29 NOVEMBER 2018
RUSIA

Dennis Christensen Menerima Sokongan Antarabangsa

Dennis Christensen Menerima Sokongan Antarabangsa

Saudara Dennis Christensen telah berada di dalam penjara lebih daripada 525 hari dan menghadap mahkamah kira-kira 50 kali kerana mengamalkan kepercayaannya. Mahkamah Daerah Zheleznodorozhniy di Oryol, Rusia, yang mempertimbangkan kes Dennis, telah menjadualkan perbicaraannya untuk berterusan sehingga pertengahan bulan Disember. Walaupun penahanannya telah berlanjutan selama lebih daripada 18 bulan, Dennis masih mengekalkan sikap yang positif. Sudah tentu, hal ini membuktikan bahawa Yehuwa sedang menguatkannya, selaras dengan doa yang diucapkan oleh jutaan saudara saudari di seluruh dunia.

Dennis telah menerima ratusan kad dan lukisan yang mengungkapkan sokongan dan kasih daripada rakan-rakan seiman di Rusia dan negara-negara lain. Semasa kes mahkamahnya berlangsung pada 30 Oktober, Dennis yang berada di dalam kandang tertuduh yang berkaca, menunjukkan beberapa kad dan gambar yang dihantar oleh kanak-kanak kepadanya, supaya semua orang yang datang untuk menyokongnya juga mendapat galakan.

Pada 30 Oktober 2018, semasa waktu rehat perbicaraannya di mahkamah, Dennis Christensen yang berada di dalam kandang tertuduh yang berkaca, menunjukkan beberapa surat yang telah menggalakkannya.

Selain daripada persaudaraan Kristian sedunia, pihak komuniti antarabangsa juga memberi perhatian yang istimewa terhadap kes Dennis. Pada 21 Julai 2017, Dennis diberikan status sebagai tahanan politik oleh Pusat Hak Asasi Manusia Memorial di Moscow. Pada 20 Jun 2018, Majlis Hak Asasi Manusia Rusia telah memohon agar Pejabat Ketua Pendakwa Raya menyiasat sama ada tindakan untuk memenjarakan Saksi-Saksi Yehuwa kerana kepercayaan mereka adalah sah di sisi undang-undang atau tidak. Pada 26 September 2018, Suruhanjaya Amerika Syarikat bagi Kebebasan Beragama Antarabangsa telah menyenaraikan Dennis secara sah sebagai “tahanan kerana pegangan agama dan hati nurani.”

Kerajaan Rusia menjamin di hadapan mahkamah secara terbuka bahawa sekatan yang dikenakan ke atas perbadanan sah Saksi-Saksi Yehuwa tidak akan mempengaruhi hak Saksi-Saksi Yehuwa secara individu untuk mengamalkan ibadat mereka. Namun, pihak polis dan pegawai kerajaan yang lain tidak mengendahkan jaminan itu dan telah menyalahgunakan undang-undang untuk menangkap Dennis serta saudara saudari lain dan menuduh mereka melakukan aktiviti “ekstremis.” Pada tahun ini, banyak serbuan telah dilakukan di seluruh Persekutuan Rusia. Setakat ini, 25 saudara saudari berada dalam penjara, 18 orang ditahan di rumah, dan lebih daripada 40 orang dikenakan pelbagai sekatan. Oleh itu, keputusan makamah bagi kes Dennis akan menentukan apa yang akan terjadi kepada lebih daripada 90 Saksi-Saksi Yehuwa yang lain, dari kira-kira 30 daerah Rusia, yang sedang menunggu keputusan daripada siasatan kes mereka.

Kami yakin bahawa seluruh persaudaraan Kristian sedunia akan tetap berdoa kepada Yehuwa untuk terus menguatkan dan menggalakkan saudara saudari kita yang berdepan dengan tuduhan jenayah kerana kepercayaan mereka. Kami tidak sabar-sabar menantikan saatnya ketika Yehuwa akan “menegakkan keadilan” bagi pihak mereka.—Lukas 18:7.