10 MEI 2018
RUSIA
Mahkamah Oryol Mendengar Keterangan Saksi dalam Perbicaraan Dennis Christensen
Pada 23 April 2018, perbicaraan Dennis Christensen disambung semula di Mahkamah Zheleznodorozhniy Daerah Oryol. Saudara Christensen merupakan warganegara Denmark dan dia ialah seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Dia ditangkap semasa menghadiri perjumpaan ibadat pada Mei 2017. Sejak itu, dia ditahan oleh pihak berkuasa.
Encik Fomin dari pihak pendakwa menyatakan bahawa Saudara Christensen “terlibat dalam pengaturan aktiviti sebuah organisasi ekstremis,” iaitu Organisasi Keagamaan Tempatan (LRO) Saksi-Saksi Yehuwa di Oryol yang telah dibubarkan pada Jun 2016 atas dakwaan kegiatan ekstremis. Para peguam Saudara Christensen menolak dakwaan itu kerana sidang Saksi-Saksi Yehuwa di Oryol bukanlah perbadanan yang sah tetapi ialah sekumpulan orang yang berjumpa untuk mempelajari Bible dan tidak mengganggu ketenteraman awam. Peguamnya menegaskan bahawa Rusia tidak melarang kegiatan agama Saksi-Saksi Yehuwa dan bahawa undang-undang Rusia menjamin hak rakyat untuk mengamalkan kepercayaan sendiri. * Maka, semasa Saudara Christensen menghadiri perjumpaan ibadat, dia sekadar mengamalkan kepercayaannya.
Keterangan saksi telah bermula pada 24 April 2018. Pihak pendakwa telah mendapatkan keterangan daripada seorang ejen Agensi Keselamatan Persekutuan. Ejen itu mengaku bahawa dia telah mengawasi Dewan Perjumpaan di Oryol sejak 2017 menerusi rakaman video. Tetapi, dia gagal memberikan penjelasan mengenai kegiatan dalam dewan itu kerana rakamannya hanya menunjukkan Saudara Christensen yang sedang menyapa para tetamu. Pihak pendakwa kemudiannya memanggil seorang wanita tempatan yang pernah menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa di Oryol. Namun, wanita itu tidak dapat memberikan keterangan mengenai kegiatan Saudara Christensen kerana dia hanya menghadiri perjumpaan sebelum LRO di Oryol dibubarkan.
Pada hari yang berikutnya, pihak pendakwa memanggil seorang wanita yang berusia 78 tahun dan merupakan seorang Saksi-Saksi Yehuwa untuk memberikan keterangan. Setelah disoal oleh pihak pendakwa selama dua setengah jam untuk mencari bukti kesalahan Dennis Christensen, wanita itu sekadar menyatakan bahawa para Saksi tidak mempunyai pengarah atau ketua semasa perjumpaan diadakan, dan mereka juga tidak menggunakan bahan bacaan agama yang dilarang di Rusia.
Perbicaraan akan diadakan semula pada 14 Mei 2018 dan dijangka akan berterusan selama beberapa hari sepanjang bulan itu. Jika disabit kesalahan, Saudara Christensen akan dijatuhi hukuman penjara selama enam hingga sepuluh tahun. Saksi-Saksi Yehuwa di seluas dunia telah mengetahui mengenai hal ini dan sangat prihatin terhadap Saudara Christensen dan isterinya, Irina.
^ Berkenaan keputusan untuk melarang kegiatan LRO Saksi-Saksi Yehuwa di Oryol, Mahkamah Agung menyatakan, “Hak ahli agama ini untuk mengamalkan ibadat mereka tidak akan disekat memandangkan mereka diizinkan untuk beribadat asalkan tidak mengedarkan bahan-bahan agama yang mengandungi unsur ekstremis.”