Lompat ke kandungan

23 NOVEMBER 2018
RUSIA

Penangkapan dan Penahanan Beramai-ramai Masih Berterusan di Rusia

Penangkapan dan Penahanan Beramai-ramai Masih Berterusan di Rusia

Sepanjang bulan Oktober 2018, pihak polis telah menyerbu lebih daripada 30 buah rumah di sekitar barat Rusia. Enam saudara dan dua saudari telah ditangkap dan ditahan sebelum perbicaraan, atas alasan melakukan kegiatan ekstremis. Kini terdapat 25 saudara saudari yang telah dipenjarakan secara tidak adil, dan 18 orang lagi ditahan di rumah.

7 Oktober, Sychyovka, Daerah Smolensk—Polis tempatan dan pasukan gerak khas bertopeng menggeladah empat buah rumah dan menahan dua saudari, Nataliya Sorokina, 43 tahun, dan Mariya Troshina, 41 tahun. Dua hari selepas mereka ditangkap, Mahkamah Daerah Leninsky membuat keputusan untuk menahan mereka sehingga 19 November 2018 tanpa perbicaraan. Namun, pada 16 November 2018, Mahkamah Daerah Leninsky melanjutkan penahanan itu untuk tiga bulan lagi, iaitu sehingga 19 Februari 2019.

9 Oktober, Kirov, Daerah Kirov—Sekurang-kurangnya 19 buah rumah telah diserbu. Lima orang penatua sidang telah ditangkap dan kemudiannya ditahan tanpa perbicaraan. Empat daripada saudara itu (Maksim Khalturin, Vladimir Korobeynikov, Andrey Suvorkov, dan Evgeniy Suvorkov) merupakan warga Rusia, dan seorang lagi, Andrzej Oniszczuk, ialah warga Poland. Saudara Oniszczuk merupakan warga asing yang kedua, selepas Dennis Christensen dari Denmark, yang ditahan secara tidak adil di Rusia kerana berpaut pada kepercayaan Kristian.

18 Oktober, Dyurtyuli, Republik Bashkortostan—Polis menyerbu sekurang-kurangnya 11 buah rumah dan merampas wang, kad bank, foto, surat peribadi, komputer, kad SIM, dan telefon bimbit. Anton Lemeshev, seorang penatua, telah ditahan tanpa perbicaraan selama dua bulan. Pada 31 Oktober 2018, dia telah dibebaskan dari penjara, tetapi ditahan di rumah sehingga kini.

Biarpun masih berdepan dengan ancaman serbuan dan rampasan hak milik secara tidak sah, saudara saudari tempatan tetap berdoa bagi mereka yang dipenjarakan dan menghulurkan bantuan praktikal kepada mereka dan keluarga mereka. Selagi situasi ini belum selesai, seluruh persaudaraan antarabangsa kita akan merayu kepada Yehuwa bagi pihak penyembah setia di Rusia, termasuk menyebut sesetengah daripada nama mereka.—Efesus 6:18.