2 SEPTEMBER 2019
RWANDA
Saksi-Saksi Yehuwa Mengadakan Konvensyen Serantau yang Pertama dalam Bahasa Isyarat Rwanda
Dari 16 hingga 18 Ogos 2019, konvensyen serantau yang pertama dalam Bahasa Isyarat Rwanda (RWS) telah diadakan di Kigali, Rwanda. Bilangan tertinggi hadirin ialah 620 orang dan 8 orang yang pekak telah dibaptis.
Dua orang pegawai awam turut menghadiri konvensyen itu pada hari Ahad, iaitu Encik Jean Damascène Bizimana, seorang ahli lembaga pengarah Persatuan Kebangsaan bagi Orang Pekak Rwanda, dan Encik Emmanuel Ndayisaba, setiausaha eksekutif Majlis Kebangsaan bagi Orang Kurang Upaya. Selain itu, surat khabar Ukwezi telah menulis rencana tentang program konvensyen pada hari Ahad dan memberikan komen yang positif tentang peristiwa itu dalam Internet.
Encik Bizimana berkata, “Konvensyen ini memang hebat! Kami amat bersyukur kerana dapat melihat orang pekak dari pelbagai tempat di Rwanda berkumpul bersama dengan bersatu padu. Terima kasih kepada Saksi-Saksi Yehuwa kerana berusaha membantu masyarakat orang pekak. Pihak kerajaan patut datang untuk menyaksikan sendiri perpaduan yang wujud supaya dapat menganjurkan acara yang serupa.”
Sepanjang dua tahun yang lalu, terdapat dua lagi peristiwa bersejarah yang telah berlaku. Pada September 2017, pejabat cawangan Rwanda mengadakan Sekolah Latihan Perintis yang pertama dalam RWS. Setahun kemudian, pada September 2018, pejabat cawangan telah memulakan kerja penterjemahan dalam RWS secara rasmi.
Saudara Jean d’Amour Habiyaremye, yang berkhidmat sebagai wakil pejabat cawangan bagi konvensyen RWS berkata, “Kami sangat gembira menyaksikan perkembangan bagi RWS, termasuk konvensyen serantau ‘Kasih Itu Abadi!’ yang diadakan baru-baru ini. Selaras dengan tema konvensyen itu, Saksi-Saksi Yehuwa menunjukkan kasih kepada semua orang, termasuk orang yang pekak.”
Kemajuan dalam kawasan penyebaran RWS membuktikan bahawa Yehuwa terus mencurahkan berkat yang melimpah ke atas saudara saudari kita!—Mazmur 67:1.