27 MEI 2020
SEPANYOL
Saksi-Saksi Yehuwa di Sepanyol Terima Surat Penghargaan daripada Jururawat
Ketika pandemik COVID-19 sedang melanda dunia ini, banyak saudara saudari berusaha untuk melegakan orang lain dengan menulis surat. Saudara Josué Laporta dan isterinya Vanesa, telah menulis surat untuk melegakan ahli perubatan dan pesakit COVID-19 di sebuah hospital di Barcelona, Sepanyol. Surat mereka telah dibalas oleh salah seorang jururawat. Jururawat itu membenarkan suratnya disunting dan dibaca orang lain. Berikut merupakan suratnya: a
Nama saya ialah . . . , dan saya seorang jururawat. Saya menulis surat ini bagi pihak [nama telah dikeluarkan], seorang nenek yang berusia 97 tahun. Kami membacakan surat kamu kepadanya pagi ini. Surat-surat kamu telah diedarkan kepada pesakit-pesakit lain, tapi saya yakin surat yang diterima nenek ini bukanlah suatu kebetulan. Surat ini telah beri saya dan [pesakit ini] . . . harapan. [Pesakit ini] sakit tenat, dan dia kata bahawa dia tidak mahu mati selagi belum menanya kamu, Josué, soalan ini: “Walaupun saya sudah berumur 97 tahun, adakah saya masih dapat menikmati janji dalam Bible?”
Pagi ini, saya dapat luangkan 10 minit bersamanya dan membacakan sedikit maklumat daripada laman web yang kamu sebutkan. Sebelum ini dia sering berasa muram, namun maklumat itu telah menyentuh hatinya dan membuatnya berasa tenang dan gembira. Selepas itu, kami menonton video “Mengapakah Yesus Mati?”
Saya juga baca majalah [“Sedarlah!”] tentang menghadapi stres. Situasi sekarang memang mencabar, tapi majalah itu bantu saya tetap tabah hadapi kesusahan.
Di sini tiada ahli psikologi yang dapat bantu ahli perubatan seperti kami. Tapi maklumat yang kamu berikan tersedia 24 jam setiap hari. Jadi kami dapat merenungkannya. Bila pandemik ini berakhir, saya harap kamu dapat ajar saya dan yakinkan saya bahawa pada masa depan, dunia akan jadi lebih baik. Saya bersyukur kepada Tuhan kerana surat kamu tiba pada masa saya sedang bekerja dan saya dapat menghantarnya ke bilik [pesakit ini].
Saya harap kamu sekeluarga sentiasa sihat, dan saya yakin bahawa harapan Bible telah bantu kamu hadapi situasi sekarang dengan baik. Terima kasih banyak kerana kamu sudi luangkan masa untuk legakan orang seperti saya dan [pesakit ini]. Sepanjang enam minggu ini, kami sangat sedih. Walaupun kita tidak saling mengenali, kamu telah mengukir senyuman di wajah kami.
Terima kasih banyak.
Ungkapan penghargaan seperti ini tentu menggalakkan kita untuk giat menginjil pada masa yang mencabar ini. Kita berdoa agar kata-kata yang kita gunakan semasa menginjil dapat membawa kelegaan kepada orang lain.—Amsal 15:23.
a Surat yang asal ditulis dalam bahasa Sepanyol.