2 JUN 2023
SLOVAKIA
Buku Matius Dikeluarkan dalam Bahasa Romany (Slovakia Timur)
Pada 27 Mei 2023, Saudara Jaroslav Sekela, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Czech-Slovak, mengumumkan pengeluaran Bible—Berita Baik Menurut Matius dalam bahasa Romany (Slovakia Timur). Pengeluaran itu dibuat semasa acara istimewa yang diadakan di Michalovce, Slovakia. Para hadirin telah menerima salinan Bible masing-masing, dan pengeluaran ini juga tersedia dalam bentuk digital.
Bahasa Romany mempunyai kaitan dengan bahasa lain seperti bahasa Benggali, Hindi, dan Punjabi. Orang Roma tinggal di pelbagai tempat dan mereka mengambil perkataan daripada bahasa tempatan untuk digunakan dalam bahasa Romany. Hasilnya, terdapat pelbagai variasi dalam kosa kata bahasa Romany yang dituturkan di bahagian timur Slovakia. Maka, kumpulan penterjemah Bible ini telah mengambil kira faktor-faktor tersebut.
Terdapat satu lagi terjemahan Bible dalam bahasa Romany (Slovakia Timur). Tapi terjemahan ini menggantikan nama Tuhan, iaitu Yehuwa, dengan ungkapan seperti o Raj dan o Del, yang bermaksud “Tuan” dan “Tuhan.” Selain itu, sesetengah ayat Bible diubah dan diterjemahkan secara parafrasa. Hal ini menyebabkan pembaca susah untuk memahami maksud yang sebenar. Pengeluaran buku Matius yang baharu ini pula mengandungi nama Yehuwa dan mudah difahami.
Seorang penterjemah yang terlibat dalam projek ini kata, “Dalam kerja penterjemahan Bible, adalah sangat penting agar terjemahan itu menyampaikan mesej Tuhan dengan tepat. Hasilnya, orang dapat mengenali Tuhan dan mengasihi-Nya.”
Seorang lagi penterjemah kata, “Memandangkan orang Roma sering diperlakukan dengan tidak adil dan menghadapi diskriminasi, ayat di Matius 10:31 sangat melegakan hati mereka. Ayat itu mengingatkan kita bahawa Yehuwa memerhatikan apa yang berlaku kepada burung pipit, burung yang kecil nilainya pada zaman Bible. Yehuwa meyakinkan kita bahawa kita lebih berharga daripada banyak burung pipit.”
Kita yakin bahawa terjemahan Bible ini akan bantu orang untuk belajar tentang kasih & keprihatinan Yehuwa terhadap mereka.—1 Petrus 5:7.