20 DISEMBER 2021
SLOVENIA
Bible Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu yang Dikemaskinikan Dikeluarkan dalam Bahasa Slovenia
Pada 18 Disember 2021, Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu yang dikemaskinikan telah dikeluarkan dalam bahasa Slovenia. Saudara Gerrit Lösch seorang ahli Badan Pimpinan mengumumkan pengeluaran Bible itu dalam sebuah program yang telah dirakamkan. Program itu disiarkan kepada sekitar 2,000 hadirin. Bible itu dikeluarkan dalam format digital dan salinan bercetak akan tersedia pada tahun 2022.
Terjemahan Bible Slovenia telah tersedia sejak tahun 1584. Pada tahun itu, Bible lengkap yang pertama dalam bahasa Slovenia, iaitu Bible Dalmatin, telah dikeluarkan. Hari ini, hanya terdapat 80 salinan Bible Dalmatin yang diketahui, dan salah satunya terdapat di muzium Bible di Ibu Pejabat Sedunia Saksi-Saksi Yehuwa di Warwick, New York, A.S.
Pada tahun 1925, Saudara Franz Brand, seorang Pelajar Bible Antarabangsa, mula menginjil di tempat kerjanya, iaitu kedai gunting rambut yang terletak di Maribor, Slovenia. Pada tahun itu juga, sekumpulan kecil orang mula berkumpul secara tetap untuk membincangkan ayat Bible. Pada 1930, Pelajar Bible di Slovenia telah menyediakan pejabat untuk menyokong kerja pendidikan Bible di negara itu. Saudara saudari kita telah merasai detik yang istimewa pada tahun 2009, iaitu apabila Saudara Samuel Herd yang merupakan ahli Badan Pimpinan, mengumumkan pengeluaran Bible Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu semasa konvensyen distrik di Ljubljana, Slovenia.
Semasa Perang Dunia Kedua dan beberapa tahun selepas itu, Saksi-Saksi Yehuwa di Slovenia mengalami penganiayaan yang teruk, mula-mula daripada Nazi dan kemudian daripada pihak berkuasa tempatan. Pada masa itu, ada rakan seiman kita telah dipenjarakan dan sesetengah pula telah dihukum bunuh. Pada tahun 1953, keadaan bertambah baik apabila pihak berkuasa membatalkan larangan terhadap Saksi-Saksi Yehuwa dan memberi mereka kebebasan beribadat. Hari ini, terdapat 1,757 orang penyiar di Slovenia.
Kita yakin bahawa rakan seiman di Slovenia pasti berusaha menerapkan nasihat Saudara Lösch semasa program itu. Dia kata, “Belajarlah untuk menggunakan Bible baru ini dengan mahir, dan rasailah kuasa mesej Bible! . . . Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu [yang dikemaskinikan] dalam bahasa Slovenia pasti membantu anda untuk berpegang teguh pada ‘firman yang dapat dipercayai’!”—Titus 1:9.