Lompat ke kandungan

Saudara saudari menunggu pengangkutan di tepi jalan untuk membawa mereka ke tempat yang selamat

2 JANUARI 2024
SUDAN

Saudara Saudari di Sudan Terpaksa Melarikan Diri Sekali Lagi

Saudara Saudari di Sudan Terpaksa Melarikan Diri Sekali Lagi

Para saudara mengangkat seorang rakan seiman yang sakit. Mereka sedang melarikan diri dari Wad Madani

Pada 15 Disember 2023, pertempuran antara dua pasukan yang bersenjata telah merebak dari Khartoum ke Wad Madani, iaitu bandar kedua terbesar di Sudan. Seperti yang dilaporkan di jw.org, konflik ini bermula di Khartoum pada April 2023. Maka, ramai saudara saudari telah melarikan diri ke Wad Madani yang terletak kira-kira 170 kilometer dari Khartoum. Kini, lebih daripada 150 saudara saudari ini terpaksa melarikan diri sekali lagi.

Kesan terhadap Saudara Saudari

  • Tiada saudara saudari yang tercedera atau terkorban

  • Sekurang-kurangnya 158 saudara saudari terpaksa berpindah. Sesetengah daripada mereka telah melarikan diri ke bandar atau negara berdekatan

  • 10 saudara saudari dan sanak saudara mereka yang bukan Saksi masih berada di Wad Madani

Bantuan yang Dihulurkan

  • Para penyelia litar dan penatua tempatan sedang memberikan sokongan rohani kepada mereka yang terjejas

  • Beberapa Jawatankuasa Bantuan Bencana di Sudan dan negara yang berdekatan mengaturkan kerja bantuan bencana dan memberikan sokongan praktikal seperti makanan, ubat, dan tempat tinggal

Tujuh orang dibaptis semasa konvensyen di Wad Madani beberapa hari sebelum pertempuran bermula

Seminggu sebelum pertempuran bermula di Wad Madani, cawangan Afrika Timur telah menyiarkan rakaman program Konvensyen Serantau 2023 “Teruslah Bersabar!” dalam bahasa Arab. Hampir 200 orang telah menghadirinya, dan sebanyak 145 orang daripada jumlah itu merupakan mereka yang melarikan diri dari Khartoum. Ramai saudara saudari telah meluahkan penghargaan untuk makanan rohani itu yang disediakan tepat pada masanya. Mereka sangat digalakkan terutamanya dengan tayangan filem Bible yang bertajuk, “Serahkanlah Hidupmu kepada Yehuwa.” Mereka rasa bahawa situasi mereka sangat mirip dengan apa yang ditunjukkan dalam video itu. Selain itu, tujuh orang telah dibaptis semasa konvensyen itu.

Kita berdoa agar saudara saudari kita di Sudan dapat terus bertabah pada masa yang susah ini. Kita menantikan masanya Yehuwa akan “menghentikan peperangan di seluruh dunia.”—Mazmur 46:9.