Lompat ke kandungan

Bangunan mahkamah pentadbiran yang tertinggi di Sweden yang membicarakan kes para Saksi

18 DISEMBER 2019
SWEDEN

Sweden Mengiktiraf Saksi-Saksi Yehuwa sebagai Agama yang Menyumbang kepada Kesejahteraan Masyarakat

Sweden Mengiktiraf Saksi-Saksi Yehuwa sebagai Agama yang Menyumbang kepada Kesejahteraan Masyarakat

Berdasarkan Akta Sokongan bagi Komuniti Keagamaan, kerajaan Sweden telah memberikan bantuan kewangan kepada organisasi berunsur agama sejak 1 Januari 2000. Syarat untuk memberikan peruntukan itu ialah kumpulan agama haruslah “stabil dan menggalakkan masyarakat untuk memupuk nilai-nilai murni.” Selain itu, kumpulan agama harus “melakukan perkara yang bermanfaat bagi masyarakat.”

Kebanyakan kumpulan agama diiktiraf untuk mendapat bantuan ini. Namun, sejak tahun 2007, kerajaan Sweden mengkritik pendirian para Saksi yang neutral dalam hal politik dan berkali-kali enggan memberi mereka sokongan kewangan.

Jadi, saudara-saudara kita harus membawa kes ini ke mahkamah sebanyak tiga kali untuk menuntut keadilan. Bagi setiap kes itu, mahkamah pentadbiran yang tertinggi di Sweden mengisytiharkan bahawa keputusan kerajaan Sweden telah melanggar undang-undang kerana tidak memberikan bantuan kewangan kepada organisasi kita. Mereka juga menyatakan bahawa keputusan kerajaan Sweden patut diubah.

Akhirnya, pada 24 Oktober 2019, kerajaan Sweden mengubah keputusannya dan menyatakan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa “memenuhi semua syarat undang-undang” dan layak mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan.

Beberapa bulan yang lalu, isu yang sama juga dihadapi di Norway. Selama ini, kerajaan Norway mempunyai peruntukkan kewangan untuk semua agama, termasuk Saksi-Saksi Yehuwa. Namun, oleh sebab para Saksi berpendirian neutral dalam hal politik, kerajaan Norway diminta untuk menyiasat dan mempertimbangkan semula sama ada mereka layak menerima bantuan kewangan. Jadi, saudara-saudara kita memberikan maklumat yang tepat kepada pihak berkuasa Norway tentang pendirian kita. Mereka juga memberikan salinan keputusan-keputusan mahkamah pentadbiran di Sweden yang berpihak kepada kita, serta keputusan mahkamah dan badan pentadbiran di Itali dan Jerman.

Pada 18 November 2019, pihak berkuasa Norway membuat keputusan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa patut terus mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan. Mereka menyatakan, ‘Mengundi semasa pilihan raya merupakan hak asasi rakyat Norway, tetapi hal itu bukan suatu kewajipan. Tindakan Saksi-Saksi Yehuwa untuk tidak mengundi adalah sebahagian daripada kepercayaan mereka. Maka, pihak kerajaan tidak patut menggunakan hal itu sebagai alasan untuk tidak memberikan bantuan kewangan kepada mereka.’

Mengenai keputusan-keputusan tersebut, Saudara Dag-Erik Kristoffersen dari pejabat cawangan Skandinavia berkata, “Kami bersukacita kerana kerajaan mengakui bahawa kami menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. Kami berharap negara-negara lain yang mempunyai aturan bantuan kewangan yang sama akan mengambil kira keputusan ini.” Yang paling penting, kita bersyukur kepada Yehuwa, Pemberi Hukum Agung, atas keputusan-keputusan itu.—Yesaya 33:22.