3 FEBRUARI 2022
TAJIKISTAN
Jawatankuasa PBB: Hak Saudara Tierri Amedzro Dicabul di Tajikistan
Pada 14 Disember 2021, Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memutuskan bahawa kerajaan Tajikistan telah melanggar hak asasi Saudara Tierri Amedzro semasa dia ditangkap dan dibuang negeri ke Kazakhstan.
Jawatankuasa tersebut membuat penghakiman bahawa tangkapan itu dilakukan dengan “sewenang-wenangnya” dan melanggar Perjanjian Antarabangsa PBB mengenai Hak Sivil dan Politik. Jawatankuasa itu juga menyatakan bahawa kerajaan Tajikistan tidak boleh halang Tierri untuk pulang ke Tajikistan jika dia ingin berbuat demikian. Maka, pihak berkuasa Tajikistan kini “mesti melakukan apa yang diperlukan agar pelanggaran hak sebegini tidak berulang lagi.”
Pada 4 Oktober 2018, pihak berkuasa Tajikistan menyerbu perjumpaan di sebuah rumah Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka menangkap Tierri dan menyoal siasatnya di ibu pejabat Jawatankuasa Keselamatan Negara Tajikistan. Tierri dituduh kononnya berhijrah tanpa kebenaran yang sah. Pada 16 Oktober 2018, seorang hakim mensabitkan dia. Tierri ialah warganegara Rusia yang telah bekerja di Tajikistan.
Hakim itu mengenakan denda ke atas Tierri dan mengarahkan dia dibuang negeri ke Kazakhstan.
Tierri kata, “Saya harap keputusan jawatankuasa PBB ini akan memperbaik kebebasan beragama di Tajikistan. Semoga saudara saudari kita akan dapat sembah Yehuwa dengan minda yang damai.”
Setakat ini, terdapat seorang saudara yang dipenjarakan di Tajikistan kerana imannya.
Kita yakin bahawa Yehuwa akan memberi kedamaian yang berkekalan kepada para saudara kita yang tabah hadapi tentangan.—Yesaya 26:3.