Lompat ke kandungan

Saudara Jovidon Bobojonov

18 NOVEMBER 2020
TAJIKISTAN

Saudara Jovidon Bobojonov Menerima Pengampunan daripada Presiden Tajikistan dan Dibebaskan dari Penjara

Saudara Jovidon Bobojonov Menerima Pengampunan daripada Presiden Tajikistan dan Dibebaskan dari Penjara

“Yehuwa membantu saya tetap memelihara iman saya,” ujar Saudara Jovidon Bobojonov setelah dibebaskan dari penjara pada 1 November 2020. Sehari sebelum itu, Presiden Tajikistan memberikan pengampunan kepada Jovidon dan 377 orang banduan yang lain. Jovidon telah dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun kerana enggan menyertai khidmat tentera atas dasar hati nuraninya. Tetapi dia dibebaskan setelah sembilan bulan.

Pada 4 Oktober 2019, sewaktu Jovidon berusia 19 tahun, para pegawai tentera pergi ke rumahnya lalu mengheretnya ke pejabat pendaftaran khidmat tentera dan menahannya. Beberapa bulan seterusnya, dia dipindahkan ke unit tentera yang berbeza-beza. Setiap kali dia tiba di pusat tahanan sementara yang baharu, dia perlu menjelaskan mengapa dia enggan menyertai khidmat tentera. Dia berkata, “Banyak komander dan askar asyik menanya saya soalan-soalan yang tidak masuk akal supaya saya naik marah. Mereka mahu saya berhenti menjadi Saksi. Kadangkala mereka mengejutkan saya pada waktu malam dan menanya saya soalan-soalan yang sama dan mahu saya menjelaskan mengapa saya enggan menyertai khidmat tentera.

“Doa banyak membantu saya. Setiap hari, tidak kira siang atau malam, saya menangis sambil berdoa kepada Yehuwa. Saya merayu agar Dia membantu saya bertabah, tidak mengecewakan-Nya, dan tidak naik marah sewaktu dianiaya.

“Saya rasa Yehuwa memegang tangan saya dengan erat . . . Kadangkala saya sedih kerana saya kesunyian. Tetapi Yehuwa menguatkan saya menerusi ciptaan-Nya. Setiap pagi, saya dapat mendengar bunyi kicauan burung. Pada malam hari pula, saya dapat melihat bulan dan bintang. Semua ini ialah kurniaan daripada Yehuwa yang menguatkan dan menggembirakan hati saya.”

Jovidon disabitkan bersalah pada 2 April 2020, dan dipindahkan dari pusat tahanan sementara ke penjara. Dia tidak dibenarkan untuk menerima surat. Tetapi saudara saudari tempatan boleh menghantar makanan kepadanya, dan mereka menulis ayat harian pada beg makanan itu. Jovidon berkata, “Hal ini membantu saya tidak berasa sunyi. Mereka memang kawan-kawan yang pengasih.”

Jovidon juga bersyukur kerana dapat mengingat ayat-ayat Bible yang menggalakkan, seperti Roma 8:37-39. Dia berkata, “Semasa di penjara, saya sedar betapa benarnya ayat Bible ini. Tiada apa-apa cubaan yang dapat memisahkan saya daripada kasih Yehuwa. Yehuwa telah membantu saya untuk tetap beriman kepada-Nya.”

Pengalaman Jovidon menggalakkan ibu bapanya. Bapanya Abdujamol berkata, “Doa dan teladan baik anak kami telah menguatkan iman kami. Saudara saudari Kristian di seluas dunia memberi kami banyak sokongan. Kami sangat menghargai doa mereka. Kami sangat bersyukur kepada Yehuwa kerana Dia mengurniakan sahabat yang begitu pengasih kepada kami.”

Pada hari-hari terakhir, kita pasti akan mengalami “cubaan yang bagaikan api.” (1 Petrus 4:12) Maka Jovidon berkata, “Sekarang saya sudah bebas, dan saya mahu menggunakan kebebasan ini untuk lebih mengenal Yehuwa dan bersedia untuk cabaran yang bakal tiba. Jika anda belum mengalami cubaan yang besar, anda perlu menggunakan kebebasan anda untuk membaca Bible dan bahan bacaan Bible supaya anda dapat lebih mengenal Yehuwa.”