Lompat ke kandungan

Saudara Rustamjon Norov (kedua dari kiri) bersama ibunya Fariza, adik lelakinya Ravshan, dan bapanya Batyr semasa melawat pejabat cawangan Kyrgyzstan pada tahun 2016

27 OKTOBER 2020
TAJIKISTAN

Saudara Muda yang Bernama Rustamjon Norov Mungkin Dipenjarakan selama Lima Tahun

Saudara Muda yang Bernama Rustamjon Norov Mungkin Dipenjarakan selama Lima Tahun

Keputusan Mahkamah

Tidak lama lagi, a sebuah mahkamah tentera Tajik akan mengumumkan keputusan kes Saudara Rustamjon Norov. Dia mungkin dipenjarakan untuk tempoh dua hingga lima tahun kerana menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Dia telah ditahan sejak 1 Oktober 2020.

Profil

Rustamjon Norov

  • Tahun Lahir: 1998 (Dushanbe)

  • Biografi: Mengubah suai apartmen dan membaiki perabot untuk menyara hidup sendiri dan keluarganya. Suka bermain bola sepak

  • Dibaptis pada tahun 2016 semasa berusia 17 tahun. Dua tahun kemudian, dia berpindah dari sidang bahasa Rusia ke sidang bahasa Tajik untuk membantu orang yang berbahasa Tajik

Sejarah Kes

Pada tahun 2016, Saudara Rustamjon Norov melaporkan diri ke pejabat pengerahan tentera secara sukarela. Dia menjelaskan pendirian neutralnya dan meminta agar dapat melakukan khidmat awam alternatif. Dia mengulangi proses ini pada tahun yang berikutnya. Timbalan komander di pejabat pengerahan tentera menghormati pendirian Saudara Norov dan kagum dengan penjelasannya. Untuk tiga tahun yang berikutnya, Saudara Norov dikecualikan daripada khidmat tentera.

Tetapi pada 24 September 2020, Saudara Norov dipanggil ke pejabat daerah pengerahan tentera. Para pegawai di situ menyoalnya selama tiga jam dan memutuskan bahawa dia mampu menjalankan khidmat tentera. Selepas itu, mereka memaksanya untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Bapa Saudara Norov nampak apa yang sedang berlaku dan memohon agar para pegawai itu memindahkan kes anaknya ke pejabat pendakwa raya.

Saudara Norov dan bapanya melaporkan diri ke pejabat pendakwa raya pada 1 Oktober. Pendakwa raya menugaskan seorang pegawai polis daerah untuk mengiringi mereka ke pejabat daerah pengerahan tentera. Sewaktu mereka tiba di situ, bapa Saudara Norov tidak dibenarkan masuk. Saudara Norov pula ditahan selama dua hari. Dia belum dibicarakan dan tiada tuduhan rasmi dibuat ke atasnya. Sewaktu dia berada dalam tahanan, dia tidak dibenarkan untuk menghubungi peguamnya.

Pada 3 Oktober, Saudara Norov dipindahkan ke unit tentera di bandar Khujand, yang terletak kira-kira 300 kilometer dari keluarganya di Dushanbe. Selama dua hari yang berikutnya, dia dipindahkan ke beberapa unit tentera di Khujand.

Pada 6 Oktober, Saudara Norov dibenarkan untuk menelefon keluarganya dan berjumpa dengan peguamnya. Tetapi pada 17 Oktober, sebuah mahkamah tentera Tajik mengarahkan agar dia ditahan sebelum perbicaraan. Dia akan terus ditahan sementara pendakwa raya melakukan siasatan dan sehingga mahkamah membuat keputusan tentang kesnya. Saudara Norov dituduh memalsukan rekod kesihatannya untuk menghindari khidmat tentera.

Meskipun ditahan, Saudara Norov tidak tawar hati dan terus percaya kepada Yehuwa. Dia bersyukur kerana Yehuwa membantunya memupuk iman dan keberanian untuk menghadapi perbicaraannya. Dia juga bersyukur kerana dia pernah mengalami ujian yang tidak dijangka pada tahun 2013. Pada waktu itu, pihak berkuasa tempatan pergi ke sekolah Saudara Norov dan adik lelakinya Ravshan, lalu membawa mereka secara paksa ke pejabat pengerahan tentera untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Rustamjon ialah penyiar yang belum dibaptis dan hanya berusia 15 tahun pada masa itu. Dia terlalu muda untuk menjalankan khidmat tentera. Selepas kejadian ini, bapanya Batyr, meluangkan lebih banyak masa sewaktu penyembahan keluarga untuk mengajar dia dan adiknya cara mempertahankan pendirian neutral mereka. Kadangkala Batyr akan berlakon sebagai pegawai pengerahan tentera dan mereka akan berlatih cara mempertahankan iman mereka.

Rustamjon berkata, “Sebelum sesi latihan ini, saya fikir saya sudah bersedia untuk mempertahankan iman saya. Tetapi, semasa latihan itu, barulah saya sedar saya sangat takut dan gementar. Saya juga sedar saya perlu berdoa dan belajar lebih banyak tentang kepercayaan saya dan pendirian neutral Kristian. Rasa takut saya beransur-ansur hilang. Pada awal tahun 2016, saya membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis.”

Rustamjon juga mendapat galakan semasa bergaul dengan saudara tua dan matang, yang pernah dipenjarakan kerana iman mereka. Dia berkata, “Saya faham bahawa jika saya berpendirian neutral, saya akan menghadapi banyak cabaran. Jika saya dipenjarakan, saya berbesar hati kerana berpeluang untuk memuliakan nama Yehuwa di kawasan ‘penyebaran yang baharu.’”

Bapa Rustamjon berkata, “Kami sekeluarga bersyukur kepada Yehuwa kerana kami diberi penghormatan untuk melakukan kehendak-Nya dan dapat berkhidmat kepada Tuhan yang pengasih. Kepada keluarga rohani kami, kami ingin berkata, ‘kami menghargai kasih, doa, dan sokongan kamu. Semua ini membantu kami untuk tetap bertenang dan kuat secara rohani.’ Kami tidak risau atau cemas. Kesejahteraan daripada Tuhan menjaga hati kami, seperti yang dijanjikan-Nya dalam Bible!”—Filipi 4:6, 7.

a Tarikh keputusan mahkamah belum diumumkan