4 MAC 2021
TAJIKISTAN
Suruhanjaya Amerika Syarikat bagi Kebebasan Beragama Antarabangsa Membela Saudara Shamil Khakimov yang Dipenjarakan di Tajikistan
Pada 24 Februari 2021, Pesuruhjaya Nury Turkel untuk USCIRF a mengumumkan bahawa dia akan membela Saudara Shamil Khakimov yang berumur 70 tahun. Usaha ini merupakan sebahagian daripada Projek Kebebasan Beragama USCIRF bagi Tahanan Hati Nurani. Semasa membuat pengumuman, Pesuruhjaya Turkel menjelaskan, “Sejak 2019, lelaki yang sakit dan tua ini sedang melarat dan menderita dalam penjara yang usang dan penuh sesak dengan tahanan. Dia dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun setengah semata-mata kerana tuduhan palsu. Hukuman ini boleh menyebabkan kematian seorang lelaki yang tidak patut dipenjarakan kerana mengamalkan kepercayaan agamanya dengan damai sebagai seorang Saksi Yehuwa.”
Saudara Khakimov, seorang duda, merupakan salah seorang daripada 24 Saksi Yehuwa di bahagian utara Tajikistan yang disoal siasat oleh pegawai Jabatan Kawalan Jenayah Terancang (DOCC) pada bulan Januari dan Februari 2019. Pegawai DOCC menangkap Saudara Khakimov dan menyoalnya tentang organisasi Saksi-Saksi Yehuwa dan bagaimana dia menjadi seorang Saksi.
Saudara Khakimov ditahan selama lapan jam dan tidak diberikan penjagaan kesihatan yang diperlukan walaupun dia baru menjalani pembedahan. Dia juga mempunyai tekanan darah tinggi. Kemudian, semasa polis membawa dia pulang, mereka merampas alat elektronik, Bible, bahan-bahan bacaan Bible, dan pasportnya. Tanpa pasportnya, Saudara Khakimov tidak dapat mengeluarkan duit pencen untuk teruskan rawatan perubatan pascabedah.
Pada 28 Februari 2019, hakim Mahkamah Bandar Khujand membuat keputusan untuk menahan Saudara Khakimov sebelum perbicaraan. Masa tahanan sebelum perbicaraannya dilanjutkan sebanyak tiga kali. Dia tetap dalam tahanan sepanjang masa penyiasatan dan perbicaraan.
Pada 10 September 2019, dia disabitkan dan dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun setengah. Namun, pada 4 Julai 2020, pihak pengurusan penjara memberitahu Saudara Khakimov bahawa hukuman penjaranya dikurangkan selama dua tahun, tiga bulan, dan sepuluh hari kerana undang-undang amnesti Tajikistan. Dia dijadualkan untuk dibebaskan dari penjara pada 16 Mei 2024.
Kita yakin bahawa Yehuwa akan terus membantu saudara saudari kita untuk tetap bersabar dan bersukacita semasa mengharungi cabaran.—Mazmur 20:2.
a Suruhanjaya Amerika Syarikat bagi Kebebasan Beragama Antarabangsa