Lompat ke kandungan

20 MEI 2024
THAILAND

Bantuan Bible bagi Kesihatan Mental Ditonjolkan di Pesta Buku Antarabangsa Bangkok

Bantuan Bible bagi Kesihatan Mental Ditonjolkan di Pesta Buku Antarabangsa Bangkok

Pesta Buku Antarabangsa Bangkok yang ke-22 telah diadakan di Bangkok, Thailand, pada 28 Mac hingga 8 April 2024. Acara ini diadakan di Queen Sirikit National Convention Center dan sekitar dua juta orang telah mengunjunginya. Pameran yang disediakan para saudara menonjolkan nasihat Bible yang praktikal bagi kesihatan mental dan cara untuk menangani stres. Saudara saudari yang bantu secara sukarela dapat memulakan banyak perbualan yang baik dan terima sebanyak 34 permohonan pembelajaran Bible.

Seorang lelaki kata bahawa anak perempuannya sedang menderita akibat masalah kemurungan yang teruk. Jadi, para saudara kita kongsi beberapa ayat Bible yang terdapat dalam majalah Menara Pengawal No. 1 2023, “Kesihatan Mental—Bible Dapat Membantu Anda.” Mereka juga bantu dia untuk cari maklumat dalam jw.org tentang topik kebahagiaan keluarga. Dia sangat bersyukur untuk nasihat praktikal daripada Bible dan dia kata dia akan kongsi kepada anak perempuannya dengan serta-merta.

Seorang pegawai kerajaan berpangkat tinggi menghampiri pameran kita dan berbual untuk masa yang lama dengan saudara kita. Selepas menonton beberapa video daripada jw.org, pegawai itu tanya soalan tentang Saksi-Saksi Yehuwa dan kerja pendidikan Bible kita. Kemudian, dia perhatikan bahawa kita menawarkan kursus pembelajaran Bible yang percuma. Maka dia pun tanya, “Apakah caranya untuk belajar Bible?” Saudara kita tunjuk brosur Nikmati Hidup Selama-Lamanya! dan cara pembelajaran Bible diadakan. Dia juga buat aturan untuk teruskan perbincangan Bible pada masa lain.

Seorang saudari menjelaskan kepada seorang wanita tentang laman web dan kerja menginjil kita. Selepas itu, wanita itu tanya, “Apa aktiviti lain yang kamu lakukan?” Saudari kita pun memainkan video Apakah yang Berlaku di Dewan Perjumpaan? Wanita itu menonton video dengan penuh perhatian dan kata, “Nampaknya semua orang yang menghadiri perjumpaan kamu sangat baik hati dan mesra! Saya mahu menghadirinya.” Pada minggu seterusnya, wanita itu telah membuat perjalanan hampir dua jam untuk menghadiri perjumpaan.

Kita menghargai usaha yang dicurahkan oleh saudara saudari di Bangkok untuk bantu orang lain merasai “kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia.”—Filipi 4:7.