31 DISEMBER 2021
THAILAND
Ulang Tahun ke-75 Penerbitan Majalah Menara Pengawal dalam Bahasa Thai
“Berimanlah kepada Yehuwa dan Terus Bekerja dengan Rajin. Kamu Akan Dapat Cari Penterjemah”
Tanggal 1 Januari 2022 menandakan ulang tahun ke-75 penerbitan majalah Menara Pengawal dalam bahasa Thai.
Pada tahun 1931, berita baik mula disebarkan di Thailand. Semasa kerja penyebaran mula dijalankan, para saudara telah menawarkan ribuan bahan bacaan dalam bahasa Cina, Inggeris, dan Jepun. Pada masa itu, hanya buku kecil berjudul Protection diterjemahkan ke dalam bahasa Thai.
Tiga orang saudara asing yang merintis di negara itu sedar bahawa mereka memerlukan lebih banyak bahan bacaan dalam bahasa Thai supaya dapat mencapai hati orang. Saudara Willi Unglaube menulis surat kepada Saudara Rutherford untuk meminta bantuan. Saudara Rutherford membalas: “Berimanlah kepada Yehuwa dan terus bekerja dengan rajin. Kamu akan dapat cari penterjemah.”
Pada bulan Disember 1939, Saudara Kurt Gruber dan Willi Unglaube menginjil di bahagian utara Thailand. Chomchai Inthaphan telah menerima bahan bacaan Inggeris dan sedar bahawa dia sudah menemui kebenaran. Chomchai merupakan seorang guru besar bagi Sekolah Perempuan Presbyterian di Chiang Mai. Dia mahir menuturkan bahasa Inggeris dan Thai.
Tidak lama kemudian, Chomchai meletak jawatan daripada sekolah dan gerejanya meskipun dia menghadapi banyak tentangan dan diberikan tawaran besar daripada pihak sekolah. Dia kemudiannya dibaptis sebagai seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Dia menerima tugasan pertama untuk menterjemahkan buku Salvation. Kemudian, dia menjadi ahli Bethel di Bangkok. Selama bertahun-tahun, dia berkhidmat di sana sebagai satu-satunya penterjemah bahasa Thai. Belakangan, beberapa orang wanita tempatan menerima kebenaran dan layak untuk membantu dalam kerja penterjemahan.
Semasa Perang Dunia Kedua, kerja penterjemahan bahasa Thai tergendala. Namun sejurus selepas perang berakhir, kerja segera dimulakan. Majalah Menara Pengawal terbitan Januari 1947 telah diterjemahkan ke dalam bahasa Thai. Kemudian, sebanyak 200 salinan dihasilkan dengan menggunakan mesin cetak mimeograf di rumah mubaligh. Cara pencetakan ini diteruskan sehingga tahun 1952. Sebanyak 500 salinan majalah dikeluarkan setiap bulan. Para saudara kemudiannya mula menggunakan syarikat swasta untuk membuat pencetakan majalah. Pada bulan September 1993, pejabat cawangan Jepun mula mencetak majalah Menara Pengawal dan Sedarlah! dalam bahasa Thai untuk ditawarkan di serata dunia.
Hari ini, kira-kira 80 orang saudara dan saudari membantu dalam kerja penterjemahan di pejabat cawangan Thailand dan di dua buah pejabat penterjemahan. Selain daripada bahasa Thai, majalah Menara Pengawal juga diterjemahkan ke dalam bahasa Akha, Lahu, Lao, dan Bahasa Isyarat Thai.
Lebih daripada 5,000 orang penyiar di kawasan pejabat cawangan Thailand berterima kasih kepada Yehuwa kerana menyediakan majalah Menara Pengawal dalam bahasa mereka.—Amsal 10:22.