Lompat ke kandungan

Kiri ke kanan: Saudara Eldor dan abangnya, Sanjarbek Saburov

7 OGOS 2020
TURKMENISTAN

Mahkamah Turkmen Menjatuhkan Hukuman Penjara Dua Tahun Ke Atas Dua Orang Adik-Beradik

Mahkamah Turkmen Menjatuhkan Hukuman Penjara Dua Tahun Ke Atas Dua Orang Adik-Beradik

Pada 6 Ogos 2020, Saudara Eldor Saburov (21 tahun) dan Sanjarbek Saburov (25 tahun) telah dijatuhkan hukuman penjara dua tahun kerana menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Mahkamah Turkmen tidak membenarkan mereka membuat rayuan bagi keputusan ini. Ini ialah kali kedua mereka disabitkan bersalah kerana pendirian neutral mereka.

Pada tahun 2016, Saudara Sanjarbek Saburov telah disabitkan bersalah kerana tidak mahu menyertai khidmat tentera. Dia dijatuhkan hukuman pengawasan bagi tempoh dua tahun.

Pada tahun 2017, adiknya, Eldor, juga enggan menyertai khidmat tentera. Dia dijatuhkan hukuman pemulihan selama dua tahun. Hal ini merangkumi pekerjaan yang ditentukan pihak berkuasa dan 20 peratus daripada upahnya akan diambil oleh kerajaan.

Pada April 2020, adik-beradik itu telah diminta menyertai khidmat tentera sekali lagi. Menurut undang-undang Turkmen, rakyat yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani boleh didakwa atas tuduhan yang sama buat kali kedua. Memandangkan mereka telah menolak khidmat tentera lagi, mereka telah didakwa melakukan jenayah, disabitkan bersalah, lalu dipenjarakan.

Keputusan mahkamah telah membawa banyak penderitaan dari segi emosi kepada ibu bapa Eldor dan Sanjarbek. Selain itu, mereka juga mengalami masalah dari segi kewangan. Selama ini, ibu bapa mereka bergantung pada mereka untuk menyara keluarga. Memandangkan mereka telah dipenjarakan, bapa mereka yang mengalami masalah tulang belakang yang serius harus menyara keluarga dan menjaga keperluan mereka di penjara.

Negara Turkmenistan tidak menawarkan khidmat awam alternatif. Maka, saudara-saudara kita yang enggan berkhidmat sebagai tentera atas dasar hati nurani mungkin dijatuhkan hukuman penjara satu hingga empat tahun. Selain adik-beradik ini, terdapat 8 orang saudara muda yang dipenjarakan di Turkmenistan kerana pendirian neutral.

Kita yakin bahawa Yehuwa akan memberkati saudara-saudara muda ini di Turkmenistan kerana pendirian mereka yang teguh. Semoga kata-kata Yehuwa yang berikut kepada Raja Asa menguatkan mereka: “Hendaklah kamu berani dan janganlah tawar hati kerana kamu akan mendapat ganjaran atas segala usahamu.”—2 Tawarikh 15:7.