Lompat ke kandungan

Saudara Serdar Dovletov, Jun 2019

9 DISEMBER 2019
TURKMENISTAN

Mahkamah Turkmenistan Menjatuhkan Hukuman Tiga Tahun Penjara atas Saudara Dovletov kerana Menolak Khidmat Tentera

Mahkamah Turkmenistan Menjatuhkan Hukuman Tiga Tahun Penjara atas Saudara Dovletov kerana Menolak Khidmat Tentera

Pada 12 November 2019, mahkamah di Turkmenistan menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara atas Saudara Serdar Dovletov yang berumur 26 tahun. Saudara Dovletov merupakan seorang daripada 10 saudara di negara itu yang dipenjarakan kerana menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Tujuh saudara disabitkan bersalah pada tahun 2019, manakala tiga saudara disabitkan bersalah pada tahun 2018. Mereka dijatuhkan hukuman selama satu hingga empat tahun.

Saudara Dovletov berasal dari kota Baýramaly, Daerah Mary, di bahagian tenggara Turkmenistan. Ibunya yang bernama Sonya dan isterinya yang bernama Surya merupakan Saksi-Saksi Yehuwa.

Perbicaraan Saudara Dovletov bermula pada 11 November 2019. Dia memberitahu mahkamah bahawa dia menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Tambahan lagi, tiga doktor memberikan keterangan bahawa Saudara Dovletov menghidap penyakit ulser duodenum yang kronik. Hal ini membuat Saudara Dovletov tidak dapat menyertai khidmat tentera.

Walaupun terdapat bukti yang kukuh tentang penyakit Saudara Dovletov, dia tetap dijatuhkan hukuman. Hakim menyatakan bahawa Saudara Dovletov melanggar undang-undang kerana mencuba mengelak daripada menyertai khidmat tentera. Oleh itu, dia dimasukkan ke dalam penjara tempatan. Tidak lama lagi, dia akan dipindahkan ke kem tahanan Seydi, di gurun Daerah Lebap, bersama dengan sembilan saudara yang lain. Saudara Dovletov akan membuat rayuan terhadap keputusan ini.

Seraya saudara saudari terus berdepan dengan ketidakadilan, kita akan terus berdoa bagi mereka dan yakin dengan sepenuhnya bahawa Yehuwa akan sentiasa menyokong mereka yang tetap tabah dan setia.—Mazmur 37:18, 24.