Lompat ke kandungan

Saudara Maksat Jumadurdyyev

28 JANUARI 2021
TURKMENISTAN

Saudara Maksat Jumadurdyyev Dipenjarakan Sekali Lagi kerana Menolak Khidmat Tentera

Saudara Maksat Jumadurdyyev Dipenjarakan Sekali Lagi kerana Menolak Khidmat Tentera

Keputusan Mahkamah

Pada 18 Januari 2021, sebuah mahkamah Turkmen mensabitkan Saudara Maksat Jumadurdyyev. Dia dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun kerana menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani.

Profil

Maksat Jumadurdyyev

  • Tahun Lahir: 2000 (Seydi, Wilayah Lebap)

  • Biografi: Mempunyai dua adik-beradik perempuan. Seorang pelajar yang cemerlang. Suka bersukan dan mahir melukis. Dikenali dalam komuniti sebagai seorang yang rendah hati, jujur, dan rajin bekerja

    Mula belajar Bible pada 2018. Dibaptis pada 2019. Hanya dia ialah Saksi Yehuwa dalam keluarganya

Sejarah Kes

Saudara Maksat Jumadurdyyev telah pun dipenjarakan selama setahun kerana menolak khidmat tentera. Dia dibebaskan pada 17 Julai 2019. Oleh sebab pembantah ikut nurani di Turkmenistan boleh didakwa sebanyak dua kali, dia diarah untuk melaporkan diri bagi tugas khidmat tentera sekali lagi pada Mac 2020. Dia memfailkan pernyataan bertulis untuk menolak khidmat tentera, walaupun dia sedar bahawa tindakan tersebut besar kemungkinan menyebabkannya dipenjarakan buat kali kedua.

Setelah beberapa kali disoal siasat dan menjalani pemeriksaan perubatan, pada 30 Disember 2020, pihak berkuasa membuka kes jenayah sekali lagi terhadap Maksat. Pasportnya juga dirampas.

Kali pertama perbicaraan dan pemenjaraannya memang susah. Maksat berkata, “Semasa saya dipenjarakan pada 2018, perkara yang paling sukar ialah berjauhan daripada ibu bapa. . . . Kerana ibu bapa saya bukan Saksi-Saksi Yehuwa, mereka kata jika saya pilih untuk menolak khidmat tentera, mereka tidak akan menolong saya.”

Maksat menjelaskan, “Ayat di Markus 10:29, 30 membantu saya bertabah walaupun terpisah daripada keluarga dan kawan. Yesus kata bahawa jika kita menanggung kerugian deminya dan demi berita baik, kita akan menerima seratus kali ganda.”

Semasa Maksat dalam penjara, dia sering kali merasai betapa cepat Yehuwa menjawab doanya dan membuka jalan untuk mengatasi kesusahan. Maksat kerap kali ingat ayat di Yosua 1:9, yang berbunyi, “Hendaklah engkau berani dan teguh. Janganlah berasa takut atau gentar kerana Aku, Yehuwa, ialah Tuhanmu yang akan menyertaimu ke mana sahaja engkau pergi.”

Sebelum perbicaraan kedua, Maksat bertekad untuk ikut hati nuraninya yang dilatih menurut prinsip Bible. Dia berkata, “Meskipun saya perlu dipenjarakan buat kali kedua, saya yakin Yehuwa akan bantu saya tidak kira apa jua situasi yang berlaku. Nasihat di Filipi 4:6, 7 menggalakkan saya untuk tetap berani dan tenang.”

Semoga kita sentiasa berdoa untuk saudara kita, Maksat, serta para saudara muda kita yang berani membuat pendirian demi menyokong kedaulatan Yehuwa. Kami yakin bahawa Yehuwa akan memberkati dengan melimpah kesetiaan saudara saudari kita yang dipenjarakan.—Wahyu 2:10.