Lompat ke kandungan

3 NOVEMBER 2020
TURKMENISTAN

Saudara Petrosov Dibebaskan setelah Dipenjarakan selama Satu Tahun di Turkmenistan

Saudara Petrosov Dibebaskan setelah Dipenjarakan selama Satu Tahun di Turkmenistan

David Petrosov ialah seorang saudara yang berusia 19 tahun. Dia tinggal di Turkmenistan. Meskipun dia masih muda, imannya telah diuji. Dia telah dijatuhkan hukuman penjara selama setahun kerana menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Dia dibebaskan pada 30 September 2020.

Saudara Petrosov berkata, “Kadangkala, saya berasa sangat sedih di dalam penjara, tetapi Yehuwa melegakan hati saya melalui Firman-Nya. Saya tergerak untuk berdoa kepada Yehuwa kerana saya tahu Dia memahami perasaan saya dan bersedia untuk melegakan hati saya. Ayat-ayat Bible membantu saya menghadapi pelbagai cabaran, tetapi ayat yang saya selalu ingat ialah Filipi 4:13.”

Saudara Petrosov dilahirkan di Ashgabat, ibu kota Turkmenistan. Sejak kecil lagi, dia belajar main gitar. Dia suka menggubah lagu dan melakukan aktiviti di luar rumah, seperti bermain bola sepak, menjelajah kawasan pergunungan, dan berenang di tasik.

Selepas mempelajari Bible dengan seorang rakan kelas yang merupakan Saksi-Saksi Yehuwa, dia dibaptis pada tahun 2019. Meskipun tiada ahli keluarganya yang menjadi Saksi-Saksi Yehuwa, mereka menghormati kepercayaan dan imannya kepada Tuhan.

Tidak lama selepas dia dibaptis, dia dibawa ke mahkamah kerana enggan menyertai khidmat tentera. Tiada aturan untuk melakukan khidmat awam alternatif di Turkmenistan. Oleh itu, pihak berkuasa memenjarakannya selama satu tahun.

Sepanjang masa dia dipenjarakan, Yehuwa menguatkannya. Dia berkata, “Semasa di dalam penjara, ibu saya mengirim salam daripada saudara saudari yang tidak dapat melawat saya. Dia kata mereka selalu berdoa untuk saya. Hal ini buat saya sangat gembira.”

Menurut undang-undang Turkmenistan, David tahu bahawa dia boleh disuruh untuk menyertai khidmat tentera buat kali kedua. Jika undang-undang ini dikuatkuasakan, dia mungkin akan disabitkan bersalah dan dipenjarakan buat masa yang lebih lama.

David berkata, “Tiada orang yang mahu balik ke penjara, tetapi saya tidak takut. Saya mendapat keberanian dan keyakinan daripada Yehuwa, saudara saudari, dan lagu-lagu rohani kita.”

Kita yakin bahawa Yehuwa akan terus menguatkan iman David dan memberinya keberanian. Kita juga berdoa bagi pihak 10 orang saudara yang masih dipenjarakan di Turkmenistan kerana menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Kita yakin bahawa Yehuwa mengasihi, mengingati, dan menyokong mereka.—Mazmur 69:33.