Lompat ke kandungan

Saudara Ruslan Artykmyradov

11 JANUARI 2021
TURKMENISTAN

Saudara Ruslan Artykmyradov Mungkin Dijatuhkan Hukuman Penjara Lagi kerana Menolak Khidmat Tentera

Saudara Ruslan Artykmyradov Mungkin Dijatuhkan Hukuman Penjara Lagi kerana Menolak Khidmat Tentera

Keputusan Mahkamah

Sebuah mahkamah tentera Turkmen akan mengumumkan keputusannya tidak lama lagi a dalam kes yang melibatkan Saudara Ruslan Artykmyradov. Dia telah ditahan sejak 15 Disember 2020 kerana menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Inilah kali kedua dia didakwa dan mungkin dipenjarakan sehingga dua tahun.

Profil

Ruslan Artykmyradov

  • Tahun Lahir: 2000 (kampung Alpan Gengeshlik)

  • Biografi: Dibesarkan di luar bandar. Bekerja di kedai mekanik. Pelajar yang baik dan gemar bermain bola sepak

    Belajar hidup mengikut prinsip Bible daripada ibunya. Kasih dan perpaduan Saksi-Saksi Yehuwa menyentuh hatinya dan dia dibaptis pada tahun 2015 semasa berusia 15 tahun. Kasihnya kepada Yehuwa mendorongnya untuk menolak khidmat tentera

Sejarah Kes

Pada 13 Ogos 2018, Saudara Ruslan Artykmyradov, yang ketika itu berusia 18 tahun, telah dijatuhkan hukuman penjara selama setahun kerana menolak khidmat tentera. Pada 12 Ogos 2019, setelah selesai menjalani hukumannya, dia dibebaskan.

Menurut undang-undang Turkmen, orang muda boleh didakwa sebanyak dua kali atas alasan enggan menyertai khidmat tentera. Jadi, pada November 2020, Ruslan telah diarahkan untuk melaporkan diri bagi khidmat tentera.

Sekali lagi, Ruslan menolak khidmat tentera walaupun dia sedar bahawa dia mungkin akan dipenjarakan sekali lagi. Pada 15 Disember 2020, dia ditahan sementara menunggu perbicaraan mahkamah.

Ruslan bertekad untuk tetap setia kepada Yehuwa. Semasa menceritakan perbicaraannya yang pertama, dia berkata, “Saya tidak rasa takut biarpun saya tahu saya akan menghadapi kesusahan dan dilayan dengan tidak adil. Saya tidak akan menggadaikan sukacita dan hubungan saya dengan Yehuwa.”

Pengalaman Ruslan di penjara memang sukar. Keadaan di situ teruk dan dia sering kali dilayan dengan buruk. Tetapi dia sentiasa merasai bantuan Yehuwa. Ruslan mengenang kembali: “Semasa di penjara, Yehuwa sentiasa menyokong saya ketika saya dibelasah. Contohnya, apabila dipukul kali pertama, saya rasa sakit. Tetapi, saya tidak rasa sakit lagi selepas pukulan-pukulan yang seterusnya.” Selain itu, sokongan yang pengasih daripada saudara saudari bukan sahaja menguatkannya malahan memberi kesaksian kepada orang di sekelilingnya.

Walaupun Ruslan mungkin dipenjarakan untuk kali kedua, dia tetap beriman kepada Yehuwa. Dia berkata, “Saya benar-benar yakin Yehuwa akan memberkati saya. . . . Jika kita mempunyai harapan yang teguh, kita akan terus bersukacita. Jika kita bersukacita, kita akan tetap kuat dan terus bertabah. Dan jika kita tetap kuat, kita tidak akan menyerah meskipun ditentang.”

Kita amat menghargai teladan baik Ruslan dan muda-mudi yang berani. Mereka membuktikan bahawa Yehuwa akan selalu menguatkan kita untuk menghadapi apa jua cubaan dengan sukacita. Yehuwa pasti memberi ganjaran kepada mereka yang menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Kerajaan-Nya.—Ibrani 11:6.

a Tarikh keputusan mahkamah belum diumumkan.