24 NOVEMBER 2020
TURKMENISTAN
Saudara Taganov Dibebaskan selepas Dipenjarakan selama Setahun di Turkmenistan
Selepas dibebaskan daripada penjara pada 3 Oktober 2020, Saudara Selim Taganov berkata, “Apabila saya berdoa kepada Yehuwa, Dia bantu saya untuk bertenang.” Selim, yang berusia 19 tahun, telah dipenjarakan selama setahun kerana menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani.
Selim dilahirkan di Ashgabat, ibu kota Turkmenistan. Sejak kecil, dia seorang pelajar yang baik. Dia suka muzik, menggubah lagu, menyanyi, dan bermain gitar. Keluarganya dan sahabatnya berkata bahawa dia baik hati, lemah lembut, dan ceria. Sebelum dia disabitkan bersalah, peguam belanya berkata, “Dia seorang budak baik yang baru tamat sekolah. Dia tidak merokok atau menyalahgunakan alkohol. Jika dia dipenjarakan, masa depannya akan hancur.”
Walaupun Selim menghadapi cabaran di penjara, dia menjelaskan, “Sewaktu saya dipenjarakan, hubungan saya dengan Yehuwa semakin erat. Saya ingat ajaran Bible yang pernah saya belajar, dan mula memahaminya dengan lebih mendalam. Ayat Bible seperti Yesaya 41:10, 11 menggalakkan saya.
“Apabila saya berada di pusat tahanan sementara, saya tidak dapat beritahu orang lain tentang kerisauan saya. Jadi saya berdoa kepada Yehuwa. Selepas itu, banduan dan pengawal yang dahulunya melayan saya dengan buruk mula menggalakkan saya. Hal ini membuat saya merasai sokongan daripada Yehuwa.”
Selim juga menerima galakkan daripada saudara saudari tempatan. Dia berkata, “Apabila saya berada di penjara, ramai saudara saudari mengirim salam dan mengongsi kata-kata yang menggalakkan. Saya berusaha untuk menghafal kata-kata itu, dan mengulanginya. Hal ini membawa kelegaan kepada saya.”
Menurut undang-undang Turkmenistan, Selim boleh diminta untuk menyertai khidmat tentera sekali lagi. Jika dia menolak, dia akan dijatuhkan hukuman penjara yang lebih lama. Dia berkata, “Yehuwa telah bantu saya mengharungi cubaan ini, jadi saya tidak lagi berasa takut. Saya berasa berani dan yakin kerana Dia menyokong saya.”
Kita mungkin akan menghadapi kesusahan pada masa depan, maka Selim menggalakkan kita, “Bagi mereka yang akan hadapi cabaran seperti saya, ingatlah kata-kata di Yesaya 30:15: ‘Jika kamu bertenang dan percaya kepada-Ku, kamu akan dikuatkan.’”