Lompat ke kandungan

Saudara Eziz Atabayev selepas dibebaskan dari penjara

14 JANUARI 2021
TURKMENISTAN

“Saya Mengharungi Cabaran Ini dengan Bantuan Yehuwa”

“Saya Mengharungi Cabaran Ini dengan Bantuan Yehuwa”

Saudara Eziz Atabayev telah tabah mengharungi dua tahun penjara di Turkmenistan dan tetap setia kepada Yehuwa. Dia dipenjarakan kerana menolak khidmat tentera atas sebab kepercayaan agamanya. Pada 19 Disember 2020, dia telah dibebaskan. Selama 10 tahun yang lalu, 46 saudara dipenjarakan di Turkmenistan kerana enggan menyertai khidmat tentera atas dasar hati nurani.

Kisah Saudara Atabayev bermula pada 2016 apabila dia disuruh melaporkan diri untuk khidmat tentera. Dia menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Kesnya dirujuk kepada pejabat pendakwa raya di bandar. Selepas hampir dua tahun, Eziz diarahkan untuk menghadap mahkamah. Pada 19 Disember 2018, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun atas Saudara Atabayev.

Eziz berkata, “Sebelum saya dipenjarakan, saya bercakap dengan ramai saudara yang dihadapkan ke mahkamah atau yang telah dipenjarakan kerana menolak khidmat tentera. Mereka membantu saya memahami apa yang mungkin berlaku di mahkamah dan di penjara. Saya juga membaca kisah hidup dalam bahan bacaan kita dan kata-kata yang menggalakkan dalam Bible.”

“Pada pagi perbicaraan saya, seorang saudara menunjukkan ayat di Yesaya 30:15, yang berbunyi, ‘Jika kamu bertenang dan percaya kepada-Ku, kamu akan dikuatkan.’ Ayat ini sentiasa membantu saya tetap tenang dan bergantung pada Yehuwa dalam segala hal. Dengan merenungkan ayat ini, saya dibantu untuk bertabah sepanjang tempoh saya dipenjarakan.”

Biarpun keadaan di penjara memang sukar, cabaran terbesar Eziz ialah terpisah daripada keluarganya. Dia berkata, “Saya lebih mengenali saudara-saudara rohani yang dipenjarakan bersama saya. Mereka menjadi sahabat sejati saya dan merupakan penawar bagi kerinduan saya kepada keluarga dan kawan.”

Eziz juga menggunakan peluang yang terbuka untuk mengongsi kepercayaannya. Dia menjelaskan, “Pada mulanya, sesetengah banduan menentang saya kerana mengongsi kepercayaan saya. Tetapi, setelah masa berlalu, mereka mula mendengar. Apabila banduan baharu yang tidak kenal saya tiba, mereka juga menentang semasa saya mengongsi kebenaran. Tetapi banduan lama yang saya pernah menginjil itu mula berpihak kepada saya, dan mengongsi apa yang mereka pelajari kepada banduan baharu.”

Untuk bantu kita menghadapi cabaran masa depan, Eziz berkata, “Saya mengesyorkan pembelajaran peribadi yang mendalam dan komunikasi yang terbuka dengan Yehuwa melalui doa. Anda perlu beritahu semuanya kepada Yehuwa tentang diri anda, ketakutan anda, dan perasaan anda. Anda perlu beritahu Yehuwa segala-galanya.”

Eziz menambah, “Saya mengharungi cabaran ini dengan bantuan Yehuwa. Saya benar-benar yakin bahawa Yehuwa akan menyokong saya pada masa depan. Jadi, saya tidak takut menghadapi cabaran baharu.”—Mazmur 118:6.