Lompat ke kandungan

22 SEPTEMBER 2014
TURKMENISTAN

Seorang Ibu Dibebaskan dari Penjara di Turkmenistan

Seorang Ibu Dibebaskan dari Penjara di Turkmenistan

Bibi Rahmanova dan keluarganya

Pada 2 September 2014, jam 8:00 malam, Bibi Rahmanova telah dibebaskan dari penjara. Namun, dakwaan palsu yang dilontarkan terhadapnya masih belum dibatalkan. Pada hari itu, hakim-hakim di Mahkamah Wilayah Dashoguz telah menerima rayuan Bibi. Memandangkan Bibi ialah seorang ibu yang mempunyai anak kecil (berumur 4 tahun) dan tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini, para hakim mengubah hukuman penjara selama empat tahun kepada hukuman bersyarat. * Kemudian, Bibi telah dibebaskan dengan serta-merta.

Bibi telah membuat rayuan selepas disabitkan bersalah atas tuduhan palsu pada 18 Ogos. Dia dituduh “menyerang seorang anggota polis” dan “mengganggu keamanan.” Pada 5 Julai, pihak polis telah menghampiri Bibi dan suaminya Vepa semasa berada di stesen kereta api di Dashoguz. Pada masa itu, mereka baru mengambil bagasi mereka yang mengandungi beberapa bahan bacaan Kristian. Biarpun dakwaan terhadap Vepa telah dibatalkan, isterinya Bibi telah dimasukkan ke penjara pada 8 Ogos. Semasa di penjara, Bibi telah didera dengan teruk.

Ketidakadilan yang Berlaku di Turkmenistan

Peguam Bibi menyatakan bahawa salah satu sebab Bibi dapat dibebaskan adalah kerana hukuman penjara yang tidak adil itu telah mendapat perhatian pihak antarabangsa.

Kejadian ini bukanlah hal yang luar biasa bagi Saksi-Saksi Yehuwa di Turkmenistan. Hak asasi para Saksi sering dicabuli dan terdapat lapan orang Saksi yang kini dipenjarakan hanya kerana menjalankan ibadat mereka. Enam orang daripada mereka dipenjarakan kerana enggan menyertai khidmat tentera, dan dua orang lagi dipenjarakan atas tuduhan palsu. Keadaan hidup di penjara sangat teruk dan mereka juga didera.

Walaupun para hakim Mahkamah Wilayah Dashoguz telah membebaskan Bibi, mereka gagal menghentikan ketidakadilan yang berlaku. Kita berharap agar Turkmenistan akan mengambil kira hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa, serta menjunjung kebebasan beragama di negara mereka.

^ Hukuman bersyarat ini akan berkuat kuasa selama empat tahun yang merangkumi tempoh pengawasan selama tiga tahun. Dalam tempoh tiga tahun itu, dia harus mengekalkan kelakuan yang baik dan tidak dibenarkan meninggalkan bandarnya atau berpindah dari situ, melainkan dia mendapat izin daripada pihak berkuasa.