Lompat ke kandungan

Kerven Kakabayev—dijatuhkan hukuman penjara selama satu tahun kerana menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani

28 MAC 2018
TURKMENISTAN

Turkmenistan Mengabaikan Hak Kebebasan Hati Nurani

Turkmenistan Mengabaikan Hak Kebebasan Hati Nurani

Pada Januari 2018, Arslan Begenjov dan Kerven Kakabayev dijatuhkan hukuman penjara selama satu tahun kerana dituduh mengelakkan diri daripada menjalani khidmat tentera. Kedua-dua pemuda ini adalah Saksi-Saksi Yehuwa dan mereka menolak khidmat tentera atas sebab kepercayaan agama mereka. Walaupun mereka sudi melakukan khidmat awam alternatif, kerajaan Turkmenistan masih tidak mengakui hak asasi mereka untuk menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani dan tidak menyediakan apa-apa alternatif kepada khidmat tentera.

Ditangkap, Disabit, dan Dipenjarakan

Pihak berkuasa telah menangkap Encik Begenjov pada 2 Januari dan menahannya sehingga kesnya dibicarakan di mahkamah. Pada 17 Januari, dia disabit bersalah kerana mengelakkan diri daripada menjalani khidmat tentera, dan dia dijatuhkan hukuman penjara selama satu tahun. Encik Begenjov telah membuat rayuan atas hukuman yang tidak adil ini.

Encik Kakabayev juga ditangkap pada Januari dan dijatuhkan hukuman penjara selama satu tahun pada 29 Januari. Hukuman ini tidak adil, kerana mahkamah tidak membenarkan Encik Kakabayev untuk mengemukakan keputusan Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB yang menyokong pendiriannya semasa perbicaraan dijalankan. Malangnya bagi Encik Kakabayev, dia mungkin hilang peluang untuk membuat rayuan atas keputusan ini. Para pegawai penjara telah menahan dokumen rayuan Encik Kakabayev yang disediakan oleh peguamnya. Akibatnya, dia tidak dapat menandatangani dokumen itu dalam waktu 10 hari sejak hukuman dijatuhkan, seperti yang ditetapkan undang-undang.

Ini merupakan kali kedua Encik Kakabayev dihukum kerana menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Pada Disember 2014, dia dijatuhkan hukuman untuk melakukan kerja sebagai buruh paksa selama dua tahun, dan diwajibkan untuk menyerahkan 20 peratus daripada gajinya kepada Negara selama jangka waktu itu.

“Tetap Enggan Mengakui Hak Menolak Khidmat Tentera atas Dasar Hati Nurani”

Kerajaan Turkmenistan menyatakan bahawa mereka menghormati hak asasi rakyatnya. Tetapi, mereka tetap enggan mengakui hak menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani, biarpun sudah banyak kali disuruh untuk mematuhi standard antarabangsa.

Pada 2015 dan 2016, Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB mengeluarkan keputusan mengenai 10 aduan terhadap Turkmenistan yang dilaporkan oleh para Saksi yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Dalam keputusan tersebut, Jawatankuasa menegur Turkmenistan kerana menganiaya dan memenjarakan para Saksi yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Pada April 2017, Jawatankuasa menegur Turkmenistan sekali lagi kerana mereka “tetap enggan mengakui hak menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani, dan berulang kali menganiaya serta memenjarakan Saksi-Saksi Yehuwa yang enggan menjalani khidmat tentera yang diwajibkan.” Jawatankuasa mendesak Turkmenistan agar khidmat awam alternatif disediakan, menghentikan pendakwaan orang yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani, dan membebaskan mereka yang kini dipenjarakan kerana enggan menjalani khidmat tentera.

Dalam beberapa tahun yang lalu, kerajaan Turkmenistan telah mengubah cara mereka memperlakukan orang yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Sejak Disember 2014, kerajaan tidak lagi memenjarakan para Saksi, tetapi telah menahan 20 peratus daripada gaji mereka buat satu atau dua tahun sebagai hukuman (seperti yang dialami oleh Encik Kakabayev pada 2014), atau dalam beberapa kes, menjatuhkan hukuman bersyarat. * Pada Februari 2015, Saksi terakhir yang dipenjarakan kerana menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani telah pun dibebaskan. Malangnya, dalam kes Encik Begenjov dan Encik Kakabayev baru-baru ini, kerajaan Turkmenistan kembali kepada pendirian asal mereka yang keras, dan bukannya membuat kemajuan untuk mengakui hak menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani.

Para Saksi Juga Dipenjarakan atas Sebab Lain

Selain daripada Encik Begenjov dan Encik Kakabayev yang dipenjarakan baru-baru ini, pihak berkuasa juga masih memenjarakan Bahram Hemdemov kerana dia menjalankan haknya untuk beribadat. Sebagai seorang Saksi-Saksi Yehuwa, dia ditangkap dan dipenjarakan kerana mengadakan perjumpaan agama di rumahnya di Turkmenabad. Walaupun presiden Turkmenistan telah mengampunkan banyak orang dalam dua tahun yang lalu, Encik Hemdemov, yang merupakan bapa kepada empat orang anak, tetap dipenjarakan sejak 2015. Turkmenistan telah mengampunkan beribu-ribu orang tahanan, tetapi tetap mengabaikan permohonan agar Encik Hemdemov dibebaskan.

Saksi-Saksi Yehuwa menginginkan kelegaan bagi rakan seiman mereka di Turkmenistan. Mereka berharap bahawa Turkmenistan akan menghormati hak kebebasan hati nurani dan agama, serta menegakkan keadilan.

^ Hukuman bersyarat meletakkan seseorang di bawah pengawasan sebagai ganti daripada menjalani hukuman pemenjaraan.