Lompat ke kandungan

Aibek Salayev, Matkarim Aminov, dan Bahram Shamuradov adalah antara Saksi-Saksi yang diberikan amnesti

13 NOVEMBER 2014
TURKMENISTAN

Turkmenistan Membebaskan Saksi-Saksi Yehuwa yang Dipenjarakan kerana Iman Mereka

Turkmenistan Membebaskan Saksi-Saksi Yehuwa yang Dipenjarakan kerana Iman Mereka

Presiden Gurbanguly Berdimuhamedov telah memberikan amnesti kepada lapan orang Saksi-Saksi Yehuwa yang dipenjarakan di Turkmenistan kerana iman mereka. Mereka dibebaskan bersama tahanan lain pada 22 Oktober 2014. Enam Saksi dipenjarakan kerana menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani mereka dan dua Saksi yang lain pula dipenjarakan atas dakwaan palsu.

Merdan Amanov dan Pavel Paymov

Mereka yang menolak khidmat tentera ialah pemuda dalam lingkungan umur 18 hingga 23 tahun. Mereka ditahan di Penjara Seydi Labor, di gurun Turkmen. Empat daripada mereka ditahan di penjara biasa tetapi Matkarim Aminov dan Dovran Matyakubov ditahan di penjara kawalan ketat kerana mereka pernah disabitkan bersalah atas tuduhan yang sama. Semasa di penjara, saudara-saudara muda ini dilayan dengan kejam dan terpaksa hidup dalam keadaan yang sangat teruk.

Dua Saksi lain yang ditahan atas dakwaan palsu ialah Aibek Salayev, 35 tahun, dan Bahram Shamuradov, 42 tahun. Pihak berkuasa telah mendakwa mereka kerana menemui bukti yang telah diletakkan oleh pihak lain. Mereka ditahan di Seydi dan dijatuhkan hukuman penjara selama empat tahun. Mereka bukan sahaja didakwa atas tuduhan palsu itu, tetapi juga menderita kerana dilayan dengan sangat teruk semasa di penjara.

Amirlan Tolkachev

Sekarang di Turkmenistan, masih ada seorang Saksi sahaja yang ditahan di penjara, iaitu Ruslan Narkuliev. Dia dijatuhkan hukuman kerana menolak khidmat tentera beberapa minggu sebelum amnesti diberikan. Nampaknya, namanya tidak sempat dimasukkan dalam senarai Saksi yang mendapat amnesti. Peguamnya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa agar dia dapat dibebaskan.

Presiden Berdimuhamedov telah membuat keputusan yang terpuji dengan memberikan amnesti kepada lapan orang saudara kita. Semua yang menjunjung kebebasan beragama berharap agar keputusan itu ialah tanda awal bahawa pihak berkuasa di Turkmenistan bakal mengubah pendirian mereka. Kita berharap agar Saksi-Saksi Yehuwa diizinkan untuk menjalankan ibadat mereka dengan bebas dan tanpa ancaman penjara atau penganiayaan.