Lompat ke kandungan

Saudara Oleksandr Tretiak

28 DISEMBER 2020
UKRAINE

ECHR Membuat Keputusan yang Berpihak kepada Saudara Oleksandr Tretiak yang Dipukul kerana Imannya

ECHR Membuat Keputusan yang Berpihak kepada Saudara Oleksandr Tretiak yang Dipukul kerana Imannya

Pada Khamis 17 Disember 2020, Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) membuat keputusan yang berpihak kepada Saudara Oleksandr Tretiak dalam kes Tretiak lwn. Ukraine. Sewaktu Saudara Tretiak sedang pulang daripada kerja penyebaran pada 26 November 2013, dia telah dibelasah dengan teruk oleh tiga orang. ECHR memutuskan bahawa kerajaan Ukraine gagal menyiasat kes itu dengan teliti dan mengarahkan agar Saudara Tretiak dibayar pampasan sebanyak 7,500 euro (RM 37,000).

Saudara Tretiak dibelasah dengan begitu teruk sehingga dia berada di hospital selama hampir sebulan. Pihak polis hanya memeriksa tempat kejadian itu selepas tiga bulan. Mereka tidak menganggap Saudara Tretiak cedera teruk dan bahawa serangan itu dilakukan atas dasar kebencian agama. Kemudian, pihak polis mengklasifikasikan serangan ini sebagai jenayah kecil. Selain itu, hanya satu daripada tiga orang itu dituduh melakukan jenayah ini. Namun, dia telah melarikan diri ke luar negara. Antara dua orang lagi, seorang merupakan pegawai polis. Mereka hanya dianggap sebagai saksi kepada kejadian itu. Tiada orang yang dihukum. Kejadian ini serta tindakan kerajaan Ukraine yang tidak adil mendorong Saudara Tretiak untuk memfailkan kesnya kepada ECHR pada tahun 2015.

Dalam keputusan itu, ECHR menyimpulkan bahawa “kerajaan [Ukraine] gagal untuk menjalankan siasatan yang terperinci mengenai serangan ke atas mangsa.” Hal ini melanggar Konvensyen Hak Asasi Manusia Eropah.

Kita berharap bahawa keputusan ini akan melindungi kebebasan beribadat saudara saudari kita di Ukraine dan negara-negara lain. Kita juga sangat bersyukur kepada Yehuwa yang membantu menegakkan keadilan.—Ratapan 3:59.