Lompat ke kandungan

20 NOVEMBER 2020
UKRAINE

ECHR Membuat Keputusan yang Menyebelahi Saksi-Saksi Yehuwa di Ukraine

ECHR Membuat Keputusan yang Menyebelahi Saksi-Saksi Yehuwa di Ukraine

ECHR mengutuk kegagalan Ukraine untuk menghukum orang yang melakukan jenayah kebencian agama

Pada 12 November 2020, Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) membuat keputusan yang menyebelahi Saksi-Saksi Yehuwa dalam tiga buah kes di Ukraine. Kes-kes itu ialah Zagubnya and Tabachkova lwn. Ukraine, Migoryanu and Others lwn. Ukraine, dan Kornilova lwn. Ukraine. Ketiga-tiga kes ini dikemukakan kepada ECHR pada tahun 2014 dan 2015. Dalam setiap kes, pihak berkuasa tidak mengambil tindakan setelah menerima aduan daripada Saksi-Saksi Yehuwa yang telah menjadi mangsa keganasan. ECHR mengumumkan bahawa kerajaan Ukraine tidak melindungi hak saudara saudari kita dan menyuruh mereka untuk membayar pampasan sebanyak 14,700 euro (RM 72,200).

Zagubnya and Tabachkova lwn. Ukraine: Pada 20 April 2009, Saudari Zagubnya dan Tabachkova sedang menginjil dari rumah ke rumah di kampung Novi Mlyny. Di situ mereka bertembung dengan Mykola Lysenko, seorang paderi daripada sebuah gereja tempatan (Trinity Orthodox Church). Paderi itu telah mengambil sebatang kayu lalu memukul kepala dan belakang mereka dengan teruk. Tetapi, paderi itu tidak dihukum walaupun dia mengakui bahawa dia ingin “menakutkan” saudari-saudari kita supaya mereka “berhenti menginjil.”

Migoryanu and Others lwn. Ukraine: Pada 5 April 2012, seramai 21 Saksi-Saksi Yehuwa dan beberapa orang tetamu berkumpul untuk memperingati kematian Yesus Kristus. Tiba-tiba perjumpaan mereka diganggu oleh sekumpulan perusuh yang diketuai Paderi O. Greku daripada sebuah gereja tempatan (Moscow Patriarchate Orthodox). Perusuh itu menjerit kata-kata kesat dan mengugut para hadirin, termasuk kanak-kanak dan wanita tua.

Selepas kejadian itu, paderi dan kumpulan perusuh terus menyerang saudara saudari kita. Mereka memukul para saudara, membakar kereta seorang saudara, dan membaling bom botol ke dalam rumah Saksi semasa mereka sedang tidur. Saudara saudari kita melaporkan kes-kes ini kepada pihak polis dan mengemukakan bukti untuk menyokong dakwaan mereka. Mereka bahkan mempunyai rakaman video yang menunjukkan siapa yang bertanggungjawab. Tetapi pihak polis enggan menganggap kes ini sebagai jenayah kebencian agama dan mendakwa bahawa mereka tidak dapat mengenal pasti individu dalam video itu. Akhirnya, baik paderi itu mahupun rakan subahatnya tidak dihukum.

Kornilova lwn. Ukraine: Pada 7 Mac 2013, di bandar Nosivka, Saudari Kornilova dan Serdiuk sedang menjemput orang untuk menghadiri sambutan Peringatan kematian Kristus. Seorang lelaki mula memarahi mereka dengan kasar dan menghina agama mereka. Kemudian dia menyerang mereka dan menumbuk muka Saudari Kornilova dengan kuat. Akibatnya, saudari kita mengalami kecederaan di kepala dan dimasukkan ke hospital selama 11 hari. Pihak polis tidak mahu menganggap kes ini sebagai jenayah kebencian agama dan berkata bahawa saudari kita diserang kerana “permusuhan peribadi.” Mahkamah mengenakan saman yang kecil kepada lelaki itu.

Banyak Saksi-Saksi Yehuwa diserang dan menjadi mangsa jenayah kebencian agama di Ukraine antara tahun 2009 hingga 2013. Antaranya (dari kiri ke kanan) Saudari Tetyana Kornilova, Saudari Tetiana Zagubnya, Saudari Maria Tabachkova, dan Saudara Vasyl Migoryanu

Wakil daripada pejabat cawangan Ukraine berunding dengan banyak pegawai tempatan, kebangsaan, dan antarabangsa tentang isu penganiayaan ini tetapi mereka menemui jalan buntu. Oleh itu, mereka mula memfailkan kes-kes ini dengan ECHR pada tahun 2014. Yang menariknya, pada tahun 2013, sebilangan pegawai Ukraine sudah tahu tentang kejadian jenayah kebencian agama di negara mereka. Sebuah laporan yang dikeluarkan oleh Ombudsman Ukraine menyatakan, “Jika polis tidak menyiasat kes-kes jenayah kebencian agama, para pesalah akan berfikir bahawa mereka boleh meneruskan perbuatan mereka.” Tambahan lagi, pada tahun 2013, Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu membuat laporan tentang Ukraine. Jawatankuasa itu menyatakan bahawa mereka risau kerana jenayah kebencian, termasuk penganiayaan Saksi-Saksi Yehuwa, dianggap sebagai jenayah yang ringan di Ukraine. Jawatankuasa itu menyimpulkan bahawa kerajaan Ukraine harus “menggiatkan usaha mereka untuk memastikan agar jenayah kebencian disiasat dengan teliti, dan para pesalah dibicarakan di mahkamah . . . dan jika disabitkan bersalah, mereka akan dijatuhkan hukuman dan mangsa menerima pampasan yang sesuai.”

Baru-baru ini, kerajaan Ukraine mengambil langkah untuk memperbaik keadaan di negara itu. Walaupun Saksi-Saksi Yehuwa mempunyai kebebasan beragama di Ukraine, kita berharap agar tiga keputusan ECHR ini akan mendorong pihak berkuasa di Ukraine dan negara lain untuk terus melindungi kebebasan beragama saudara saudari kita. Kita menantikan masanya Yehuwa akan bertindak dengan saksama dan mengakhiri penganiayaan yang dihadapi penyembah-Nya.—Ulangan 32:4.