Lompat ke kandungan

31 OKTOBER 2019
UKRAINE

Keputusan ECHR Membuka Jalan untuk Membina Dewan Perjumpaan di Ukraine

Keputusan ECHR Membuka Jalan untuk Membina Dewan Perjumpaan di Ukraine

Pada 3 September 2019, Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) mengeluarkan sebuah keputusan yang memihak kepada Saksi-Saksi Yehuwa di bandar Kryvyi Rih, Ukraine. Majlis bandar Kryvyi Rih dinyatakan bersalah oleh Mahkamah kerana sengaja tidak memberi kelulusan yang diperlukan oleh para saudara untuk membina Dewan Perjumpaan.

Saudara-saudara di hadapan hartanah di mana mereka ingin membina Dewan Perjumpaan, di bandar Kryvyi Rih, Ukraine

Menurut keputusan Mahkamah, majlis bandar perlu membayar 7,000 euro (kira-kira 31,968 Ringgit Malaysia) kepada dua sidang yang memiliki hartanah tersebut sebagai ganti rugi serta kos mahkamah. Majlis bandar didapati telah melanggar hukum antarabangsa, iaitu Artikel 9 (yang melindungi kebebasan pemikiran, hati nurani, dan agama) dan Artikel 1 dari Protokol No. 1 (yang menjamin hak hartanah) dalam Konvensyen Hak Asasi Manusia Eropah. Kerajaan Ukraine diberi masa tiga bulan untuk mencabar keputusan ini dengan merujuknya ke Dewan Agung, iaitu mahkamah tertinggi ECHR.

Dua sidang ini di Kryvyi Rih telah memohon untuk membina Dewan Perjumpaan sejak lebih daripada 15 tahun lalu. Pada 9 Ogos 2004, mereka membeli sebuah rumah yang terletak di atas tanah yang diurus oleh majlis bandar. Kemudian, mereka memohon untuk menyewa tanah itu selama lima tahun untuk membina sebuah Dewan Perjumpaan. Majlis bandar memberikan kelulusan awal pada 28 September 2005. Selain itu, majlis bandar mengingatkan saudara-saudara kita bahawa cadangan projek mereka perlu diperiksa oleh beberapa lembaga negara tertentu, sebelum kelulusan terakhir diberikan.

Pelan yang disediakan telah mendapat kelulusan setelah diperiksa oleh lembaga negara yang terlibat, dan kemudian dihantar kepada majlis bandar pada 23 Ogos 2006 untuk mendapat kelulusan terakhir. Menurut hukum, majlis bandar diwajibkan untuk mengeluarkan keputusan dalam masa satu bulan. Tetapi mereka gagal membalas permohonan saudara-saudara kita. Biarpun setelah mahkamah tempatan menyatakan bahawa tindakan majlis bandar melanggar hukum, mereka tetap enggan memberikan kelulusan terakhir. Memandangkan mahkamah lain tidak dapat berbuat apa-apa, maka para saudara pun membawa kes ini kepada ECHR pada 13 April 2010.

Kita bersukacita atas keputusan ECHR yang memihak kepada para saudara kita di Kryvyi Rih. Kita berdoa agar keputusan ECHR juga akan membuka jalan bagi saudara-saudara kita untuk membina rumah ibadat Yehuwa di kawasan lain yang kini menghadapi masalah seperti ini.—Mazmur 118:5-9.