Lompat ke kandungan

Liudmyla Mozul dan Kateryna Rozdorska kehilangan suami mereka akibat perang di Ukraine. Sokongan daripada Yehuwa dan saudara saudari bantu mereka bertabah

22 APRIL 2022
UKRAINE

“Malam Itu, Yehuwa bukan saja Pegang Tangan Saya malahan Dukung Saya dalam Dakapan-Nya”

Janji-Janji Yehuwa Kuatkan Dua Saudari Balu di Ukraine

“Malam Itu, Yehuwa bukan saja Pegang Tangan Saya malahan Dukung Saya dalam Dakapan-Nya”

Dengan bantuan Yehuwa, Saudari Liudmyla Mozul dan Saudari Kateryna Rozdorska masih bertabah walaupun dalam kesakitan dan kesedihan akibat perang. Suami mereka, Petro Mozul dan Dmytro Rozdorskyi, merupakan antara Saksi-Saksi Yehuwa pertama yang meninggal akibat perang di Ukraine. Sedih sekali, setakat ini, seramai 34 saudara saudari yang terkorban akibat konflik peperangan itu.

Petro dan Liudmyla Mozul

Petro dan Liudmyla dibaptis pada 1994. Pasangan ini telah berkahwin selama 43 tahun.

Liudmyla kata, “Setiap hari, saudara saudari luahkan kata-kata yang melegakan hati saya. Mereka terus telefon saya. Semasa terima surat dari pejabat cawangan di Ukraine, hati saya tersentuh dan air mata mengalir kerana kata-kata simpati mereka.”

Pada 24 Februari 2022, perang bermula. Pada 1 Mac 2022, Petro (pembantu sidang dalam sidang bahasa isyarat), telah terbunuh semasa dia dan keluarga cuba melarikan diri daripada pengeboman yang teruk di Kharkiv.

Pada hari itu, selepas pengeboman selama beberapa hari, bunyi jet pejuang bergema di udara dan bandar itu mula diserang oleh jet. Keluarga itu bawa beberapa barang keperluan dan melarikan diri dalam masa 30 minit. Petro dan Liudmyla dalam satu kereta manakala anak mereka, Oleksii, dan isterinya, Maryna, dalam kereta yang lain. Liudmyla kata, “Petro sedang memandu di kawasan perumahan semasa jet pejuang mula mengebom sekeliling kami. Kereta kami bergegar akibat letupan bom itu.”

Petro, yang berumur 67 tahun, membelok keretanya dengan tiba-tiba untuk mengelak daripada melanggar kereta Oleksii. Dia cedera teruk lalu dibawa ke hospital bersama Liudmyla. Kemudian, Petro meninggal di sana. Kaki dan perut Liudmyla pula tercedera kerana serpihan logam daripada bom. Syukurlah, Oleksii dan Maryna tidak tercedera. Tiga hari kemudian, Liudmyla mendapat tahu kematian Petro selepas keluar dari hospital.

Liudmyla kata, “Semakin saya fikir tentang kebaikan hati Yehuwa dan tujuan-Nya yang menakjubkan, semakin saya rasai kedamaian batin. Saya pasti akan bertemu semula dengan suami saya. Saya dah tak sabar-sabar menantikan detik yang gembira itu.”

Kateryna dan Dmytro Rozdorksyi

Dmytro dan Kateryna telah berkahwin selama lapan tahun. Semasa di tempat kerja, kata-kata terakhir Dmytro kepada isterinya ialah, “Saya akan balik nanti.”

Beberapa jam kemudian, pada 8 Mac 2022, rakan sekerja telefon Kateryna dan beritahu bahawa Dmytro terpijak periuk api dan telah dibawa ke hospital. Dia meninggal lima jam selepas pembedahan.

Selepas dengar berita kematian Dmytro, Kateryna kata, “Malam itu, Yehuwa bukan saja pegang tangan saya malahan dukung saya dalam dakapan-Nya. Saya dapat rasai betapa dekatnya Yehuwa kepada saya.”

Dmytro (28 tahun), telah dibaptis pada 2006 dan berkhidmat sebagai penatua di Wilayah Donetsk, Ukraine.

Sejurus selepas pengebumian Dmytro, Kateryna membuat 12 jam perjalanan ke tempat yang lebih selamat di Ukraine. Dia kata, “Saya telah terima galakan daripada saudara saudari di Ukraine dan negara lain. Mereka buat saya rasa sangat disayangi dan ini menjadi penawar bagi kesedihan saya.”

Dia menyambung, “Saya juga dapat kelegaan semasa menginjil. . . . Apabila keadaan semakin susah bagi saya, saya mengulangi ayat-ayat Bible seperti di Filipi 4:6, 7.”

Kita yakin bahawa Yehuwa akan terus menjadi sumber kekuatan dan kelegaan hati kepada saudara saudari dikasihi yang telah kehilangan orang tersayang akibat konflik perang di Ukraine.—Mazmur 61:1-3.