25 OKTOBER 2023
UKRAINE
Mengenang Kembali Acara Pembaptisan 30 Tahun yang Lalu di Ukraine
Pada 7 Ogos 1993, sebanyak 7,402 saudara saudari telah dibaptis semasa Konvensyen Antarabangsa Saksi-Saksi Yehuwa yang bertema “Ajaran Tuhan” di Kyiv, Ukraine. Ini merupakan rekod jumlah pembaptisan yang terbanyak dalam satu konvensyen dalam sejarah moden umat Yehuwa. Acara yang bersejarah itu terpahat dalam minda dan hati mereka yang dibaptis pada hari tersebut.
Antara mereka yang dibaptis ialah Saudara Volodymyr dan isterinya, Alla. Ini ialah konvensyen pertama yang mereka telah hadir. Pada masa itu, terdapat hampir 65,000 orang dari 16 negara yang hadir ke konvensyen tersebut. Mengenang kembali masa itu, mereka berkata, “Konvensyen itu di Kyiv membuktikan bahawa persaudaraan sedunia kita adalah nyata dan bukan sekadar apa yang kita baca dalam buku dan majalah kita. Setiap konvensyen yang kami hadir sejak masa itu memberi kami peluang untuk mengenali lebih ramai saudara saudari. Teladan mereka mengajar kami bahawa jika kami mengutamakan Yehuwa dalam kehidupan kami, kami akan benar-benar gembira.”
Saudara Oleksandr, dari Kyiv, telah dibaptis bersama lebih daripada 50 orang dari sidangnya. Dia ingat kembali suasana pada masa itu dan berkata, “Saya menitiskan air mata semasa melihat kasih dan perpaduan antara saudara saudari. Saya yakin bahawa saya mempunyai sebuah keluarga rohani yang pengasih. Sekarang, saya masih mempunyai perasaan itu semasa menghadiri konvensyen.”
Semasa mengenang kembali hari pembaptisannya dan konvensyen itu, Saudari Liudmyla kata, “Program konvensyen itu telah membantu saya bertumpu kepada matlamat rohani saya. Saya bertekad untuk menceburi khidmat sepenuh masa dan saya telah berjaya mencapai matlamat itu. Kini, saya telah berkhidmat sepenuh masa kira-kira 28 tahun dan sepanjang masa ini, Yehuwa selalu menyokong saya.”
Sememangnya, Konvensyen Antarabangsa “Ajaran Tuhan” di Kyiv pada 1993 ialah peristiwa yang tidak dapat dilupakan. Sejak masa itu, jumlah penyiar di Ukraine telah meningkat hampir tiga kali ganda. Hari ini, Yehuwa terus memberkati saudara saudari kita di Ukraine yang membaktikan diri kepada-Nya dan dibaptis, serta menyembah-Nya dengan setia dan berani.—Keluaran 32:26.