4 JANUARI 2024
UKRAINE
Penerbitan Majalah Menara Pengawal Bahasa Ukraine selama 100 Tahun
Januari 2024 merupakan ulang tahun ke-100 sejak majalah Menara Pengawal diterbitkan dalam bahasa Ukraine. Pada 1891, berita baik mula disebarkan di Ukraine dan ramai orang telah menerimanya dengan hati yang terbuka. Bertahun-tahun kemudian, lebih ramai orang Ukraine telah memeluk kebenaran. Namun, disebabkan situasi politik di Ukraine sekitar awal tahun 1900, banyak orang yang menuturkan bahasa Ukraine berpindah ke negara lain, terutamanya ke Amerika Syarikat dan Kanada.
Ibu bapa Saudara Emil Zarysky yang berasal dari Ukraine adalah antara mereka yang telah berpindah ke Kanada. Semasa Saudara J. F. Rutherford melawat Kanada pada 1923, dia menjemput Emil untuk membantu menterjemahkan majalah Menara Pengawal ke dalam bahasa Ukraine. Pada masa itu, Emil baru mula berkhidmat sebagai seorang peneraju (perintis) dan penyelia lawatan. Bukan itu sahaja, dia dan isterinya Mariya mempunyai lima orang anak. Meskipun demikian, dia telah menerima jemputan Saudara Rutherford. Hasilnya, majalah Menara Pengawal bahasa Ukraine yang pertama telah diterbitkan pada Januari 1924. Selama 40 tahun, Emil telah berkhidmat sebagai seorang penterjemah dengan setia. Anak perempuannya Rose kata, “Saya selalu ingat bunyi mesin taip ayah bergema dalam rumah.”
Pada 1964, Emil melatih Saudara Maurice Saranchuk dan isterinya Anne untuk melakukan kerja penterjemahan. Maurice dan Anne bekerja keras untuk menterjemahkan Menara Pengawal ke dalam bahasa Ukraine. Kadangkala, mereka melakukannya di dalam kereta semasa waktu rehat kerja mereka. Selepas itu, aturan telah dibuat untuk mereka melakukan kerja penterjemahan di Dewan Perjumpaan. Pada 1977, mereka telah dijemput untuk pergi ke Bethel Kanada. Tidak lama kemudian, orang lain yang menggunakan bahasa Ukraine di cawangan itu telah dilatih untuk menterjemahkan majalah Menara Pengawal dan bahan bacaan Bible yang lain.
Pada hujung 1940-an, kegiatan Saksi-Saksi Yehuwa di Kesatuan Soviet telah diharamkan. Maka, para saudara harus menggunakan pelbagai cara untuk menyeludup Menara Pengawal dan bahan bacaan Bible ke kawasan itu. Setelah para saudara di Kesatuan Soviet menerima bahan bacaan itu, mereka akan menghasilkan lebih banyak salinan dan mengedarkan makanan rohani itu kepada saudara saudari lain. Selepas kejatuhan Kesatuan Soviet pada 1991, saudara saudari di Ukraine bebas beribadat semula. Pada kemudian hari, satu kumpulan penterjemahan bahasa Ukraine telah ditubuhkan di pejabat cawangan Jerman. Selepas itu, kumpulan ini berpindah ke Poland dan kemudian ke pejabat cawangan Ukraine yang baharu pada 2001. Seorang penterjemah bahasa Ukraine yang telah berkhidmat selama 30 tahun berkata, “Saudara saudari yang bertungkus lumus menterjemah, menyalin, dan mengedarkan Menara Pengawal pada zaman dulu telah menyumbang kepada perkembangan organisasi Yehuwa hari ini. Apabila saya fikir tentang semangat mereka, saya didorong untuk terus berkhidmat dengan bersungguh-sungguh.”
Hari ini, jutaan orang yang menuturkan bahasa Ukraine di seluruh dunia sedang memanfaatkan Menara Pengawal dalam bahasa mereka. Kini, terdapat 541 sidang dan 67 kumpulan bahasa Ukraine di negara itu. Selain itu, ada juga kumpulan dan sidang bahasa Ukraine di Amerika Syarikat, Austria, Belgium, Britain, Croatia, Ireland, Itali, Jerman, Kanada, Perancis, Poland, Republik Czech, Sepanyol, Slovakia, dan Sweden.
Kita melaungkan kesyukuran kepada Yehuwa atas kurniaan majalah Menara Pengawal bahasa Ukraine. Pemberian ini telah membantu ramai orang untuk lebih “yakin kepada Tuhan.”—Mazmur 78:7.