Lompat ke kandungan

23 JUN 2022
UKRAINE

Perjalananku ke Tempat yang Lebih Selamat

Kisah dari Ukraine yang Diceritakan oleh Anastasia Khozyainova

Perjalananku ke Tempat yang Lebih Selamat

Pada pagi 24 Februari 2022, saya dikejutkan oleh bunyi yang kuat. Saya sangka itu bunyi guruh kerana masa itu hujan, tetapi sebenarnya itu ialah bunyi bom.

Rumah saya terletak di pusat bandar Mariupol, jadi saya perlu meninggalkannya. Hari berikutnya, saya pergi ke rumah nenek saya Iryna, yang terletak di luar bandar. Kemudian, ibu saya, Kateryna, juga datang ke rumah nenek dan tinggal bersama saya, nenek saya, dan sepupu saya. Pada masa itu, rumah nenek memang selamat, tetapi kami terpaksa tidur di bilik bawah tanah untuk beberapa hari.

Tidak lama kemudian, sebutir bom jatuh di kebun sayur semasa kami berada di bilik bawah tanah. Bunyi letupannya membingitkan telinga. Saya berdoa kepada Yehuwa dengan bersungguh-sungguh. Selepas seminggu, kami tahu rumah nenek tidak lagi selamat. Jadi kami membuat keputusan untuk kembali ke pusat bandar dan mencari jalan untuk melarikan diri. Saya merayu kepada Yehuwa untuk menjaga kami sehingga kami dapat meninggalkan Mariupol.

Pada pagi 4 Mac, kami tidak dapat menaiki kereta api untuk meninggalkan Mariupol kerana bandar itu telah dikepung. Jadi, kami berlindung di sebuah teater bersama ratusan orang lain untuk 10 hari yang berikutnya. Tempat itu begitu sesak dengan orang sehingga kami terpaksa tidur di atas lantai. Keadaan di situ sangat kotor, dan sangat susah bagi kami untuk mendapat makanan dan air panas. Kami perlu beratur selama berjam-jam.

Suatu hari, sebutir bom meletup tidak jauh dari teater itu. Impaknya begitu kuat sehingga banyak cermin tingkap pecah. Akibatnya, angin yang sejuk dari luar masuk ke dalam bangunan.

Anastasia bersama neneknya, Iryna dan sepupunya Andrii

Apakah yang membantu saya sepanjang masa yang susah itu? Kisah Ayub. Semasa saya melihat banyak orang panik akibat letupan bom, saya akan buka Bible dan baca kisah Ayub. Hal itu melegakan hati saya. Saya rasa Ayub seolah-olah ada di sisi saya, dan saya memberitahunya, “Sekarang saya lebih faham situasi kamu!” Ayub kehilangan segala-galanya: Keluarganya, kesihatannya, dan hartanya. Tapi saya hanya kehilangan harta. Saya masih ada keluarga saya dan kami semua masih sihat dan selamat. Masa itu saya rasa lebih lega kerana sedar situasi saya tidak begitu teruk.

Pada 14 Mac, kami diberitahu bahawa sekumpulan orang berjaya meninggalkan bandar. Jadi kami pun membuat keputusan untuk meninggalkan Mariupol. Bersama beberapa orang lain daripada teater, kami bertolak selepas berjaya mendapat pengangkutan.

Konvoi kami terdiri daripada 20 buah kenderaan. Kami menaiki sebuah van kargo, dan terdapat 14 orang yang berhimpit di belakang van itu. Sepanjang perjalanan, kami dapat mendengar bunyi letupan bom di sekeliling kami. Saya asyik berdoa. Sebaik sahaja kami berjaya keluar dari Mariupol, pemandu kami menghentikan kenderaan, keluar, lalu mula menangis teresak-esak. Dia terharu kerana berjaya mengelakkan semua periuk api di jalan. Kami diberitahu bahawa dua hari selepas kami meninggalkan Mariupol, teater itu dibom dan sekurang-kurangnya 300 orang terkorban.

Selepas 13 jam, kami sampai di Zaporizhia. Pada pagi berikutnya, kami menaiki kereta api yang menuju ke Lviv. Terdapat 16 orang dalam gerabak kereta api yang kami naiki. Biasanya hanya empat orang yang dapat muat dalam gerabak itu dengan selesa. Saya berdiri di koridor sepanjang perjalanan kerana itulah satu-satunya tempat yang ada peredaran udara. Pada 16 Mac, kami sampai di Lviv. Kami disambut dengan ramah oleh saudara saudari di sana. Kami tinggal di Dewan Perjumpaan untuk empat hari yang berikutnya. Kasih dan bantuan saudara saudari sangat menyentuh hati saya sehingga saya menitiskan air mata. Mereka sememangnya kurniaan daripada Yehuwa.

Pada 19 Mac, kami membuat keputusan untuk meninggalkan Ukraine dan pergi ke Poland. Apabila kami sampai di Poland, sekali lagi saya, nenek, ibu, dan sepupu saya dialu-alukan oleh rakan seiman. Mereka menjaga segala keperluan kami. Kami rasa sangat dikasihi.

Saya hanya berumur 19 tahun, tetapi selepas mengharungi cubaan ini, saya sedar pentingnya membina iman yang kuat sebelum cabaran yang besar timbul. Imanlah yang dapat membantu kita selamat. Jika saya tidak membuat pembelajaran peribadi sebelum perang, saya mungkin tidak berjaya mengharungi cabaran ini dengan tabah.

Yehuwa ialah Bapa kita yang pengasih. Sepanjang masa ini, saya berasa seolah-olah Yehuwa sedang memegang tangan saya dan membimbing saya. Tidak mungkin saya dapat membalas segala kebaikan Yehuwa terhadap saya.—Yesaya 41:10.