4 MEI 2022
UKRAINE
Rela Berkorban kerana Kasih
“Itu Sepatutnya Kali Terakhir Dia Pergi Ke Sana”
Semasa konflik di Wilayah Donetsk di Ukraine bertambah teruk, Saudara Mykola Bozhedomov telah kembali beberapa kali ke Kramatorsk untuk membantu sebanyak mungkin saudara saudari melarikan diri.
Tetapi pada 8 April 2022, Saudara Mykola yang berumur 58 tahun telah dibunuh semasa stesen kereta api di Kramatorsk, Wilayah Donetsk, dibom.
Akibat letupan itu, lebih daripada 50 orang terkorban dan lebih daripada 100 orang tercedera. Selain daripada Mykola, seorang saudari juga terkorban. Seorang saudara pula tercedera. Para Saksi yang terselamat semasa serangan itu menceritakan bahawa selepas dua letupan yang membingitkan, serpihan bom berterbangan ke merata-rata.
Nina, isteri Mykola yang berumur 32 tahun, berkata, “Suami saya selalu mendahulukan kepentingan orang lain. Dia terutamanya ingin membantu saudara saudari yang tua dan sakit. Tetapi setiap kali dia pulang ke Kramatorsk, dia dapat melihat bahawa situasinya semakin bahaya. Jadi itu sepatutnya kali terakhir dia pergi ke sana.”
Mykola dan Nina dibaptis pada tahun 1997. Mykola berkhidmat sebagai seorang penatua selama bertahun-tahun. Saudara saudari sedang menguatkan Nina dan terus menunjukkan bahawa mereka mengasihinya. Dia berkata, “Kata-kata mereka melegakan hati saya dan membantu saya untuk mengharungi masa yang susah ini.”
Nina juga dilegakan semasa membaca Bible, terutamanya ayat di Yesaya 40:28-31. “Yehuwa membantu saya menjadi kuat lagi,” kata Nina. “Sebelum ini saya tidak pernah merasai kasih Yehuwa seperti yang saya rasai sekarang. Dulu, saya hanya membaca tentangnya di dalam bahan bacaan kita, tetapi sekarang saya merasainya sendiri.”
Kita terus berdoa untuk Nina dan semua saudara saudari yang kehilangan orang tersayang akibat perang ini. Kita yakin Yehuwa akan terus menguatkan mereka.—Mazmur 20:2.