4 JULAI 2022
UKRAINE
TERKINI #10 | Kasih Persaudaraan Tetap Membara Saat Krisis di Ukraine Berlanjutan
Mereka “Berani, Prihatin, dan Dapat Diharapkan”
Saudara saudari kita di Ukraine terus memberikan sokongan dan menunjukkan kasih sejati kepada rakan seiman mereka.
Saudari Olena berusia 81 tahun. Pada 6 Jun, sebutir bom telah meletup beberapa meter dari rumahnya. Bom itu memusnahkan rumah jirannya dan mengakibatkan lubang sedalam tujuh meter. Letupan itu begitu kuat sehingga rumah Saudari Olena mengalami kerosakan teruk.
Saudari Olena berkata, “Saya sedang tidur, dan tiba-tiba dinding rumah roboh berdekatan kepala saya. Cermin dan batu berterbangan, dan saya diselubungi habuk tebal. Saya bersyukur kepada Yehuwa kerana saya masih hidup.” Saudara saudari telah datang ke rumah Saudari Olena beberapa minit selepas letupan itu. Rumah seorang saudara juga mengalami kerosakan teruk, tapi dia juga datang untuk melawat Saudari Olena. Saudari Olena berkata, “Apabila saudara saudari tiba, mereka terdiam semasa melihat keadaan rumah saya. Tetapi kehadiran mereka sudah pun menggalakkan saya. Saya bersyukur kerana mereka ada di sisi saya.”
Serhii, seorang penatua yang sering membawa anak-anak muda di sidang untuk melawat Saudari Olena, berkata, “Semasa saya mendapat berita tentang bom yang meletup dekat rumah Saudari Olena, saya sangat takut dan risau. Selepas saya melihat dengan mata sendiri bahawa dia hanya mengalami kecederaan ringan, barulah saya tidak risau. Yang menariknya, selepas letupan itu, benda pertama yang Saudari Olena minta ialah bahan bacaan yang diterimanya beberapa hari sebelum itu.”
Saudara-mara Saudari Olena telah membantunya mencari rumah yang baru. Saudara saudari di sidang terus memberinya bantuan praktikal, dan para penatua menghubunginya setiap hari. Saudara saudari juga membantunya mendapatkan alat bantu dengar supaya dia dapat mendengar program perjumpaan. Saudari Olena berkata, “Kadangkala saya rasa tidak berdaya. Tetapi perjumpaan memberi saya kekuatan. Rakan seiman saya juga sering menghubungi saya, dan saya sangat bersyukur.”
Sepasang suami isteri menceritakan pengalaman mereka semasa berlindung di bilik bawah tanah sebuah Dewan Perjumpaan bersama 200 orang penyiar yang lain. Isterinya menulis, “Saya sangat tersentuh dengan jagaan para penatua yang pengasih. Mereka mengingatkan saya tentang Daud yang sanggup mengorbankan nyawanya untuk melawan singa dan beruang untuk menyelamatkan biri-birinya. Para penatua yang ada bersama kami di bilik bawah tanah itu terpaksa berdepan dengan maut untuk mendapatkan makanan dan air bagi kami dan juga petrol agar kami ada lampu. Oleh sebab pengorbanan mereka, kami dapat mengadakan perjumpaan, termasuk perjumpaan sebelum kerja penyebaran. Biarpun ada banyak letupan di luar, para penatua ini sering melawat saudara saudari yang berada di rumah mereka, dan bahkan membawa makanan dan minuman serta melegakan hati mereka. Saya sangat menghormati para penatua ini. Sebelum ini, saya anggap para penatua sebagai pengajar dan penginjil, tetapi kini saya memandang mereka sebagai gembala yang dapat dipercayai. Saya sangat bersyukur kerana mereka berani, prihatin, dan dapat diharapkan!”
Usaha saudara-saudara yang mengambil pimpinan dalam kerja memberikan bantuan sangat dihargai. Dalam sepucuk surat kepada pejabat cawangan Ukraine, para penyiar sebuah sidang di Ukraine menulis, “Hati kami melimpah dengan kesyukuran. Kami sangat kagum semasa melihat bagaimana Yehuwa menjaga kami melalui rakan seiman. Kami telah melihat betapa benarnya kata-kata Yesus ini: ‘Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamulah murid-muridku.’”—Yohanes 13:35.
Setakat 21 Jun 2022, berikut ialah jumlah yang dilaporkan dari Ukraine. Angka-angka ini berdasarkan laporan yang disahkan oleh para saudara tempatan. Namun, angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi kerana adalah susah untuk tetap berhubung dengan semua wilayah negara itu.
Kesan terhadap Saudara Saudari
42 penyiar meninggal
83 penyiar tercedera
31,185 penyiar melarikan diri dari rumah ke tempat yang lebih selamat
495 rumah musnah
557 rumah alami kerosakan besar
1,429 rumah alami kerosakan kecil
5 Dewan Perjumpaan musnah
8 Dewan Perjumpaan alami kerosakan teruk
34 Dewan Perjumpaan alami sedikit kerosakan
Bantuan yang Dihulurkan
27 Jawatankuasa Bantuan Bencana (DRC) sedang beroperasi di Ukraine
52,348 penyiar dibantu secara langsung oleh DRC untuk mencari tempat tinggal yang lebih selamat
23,433 penyiar melarikan diri ke negara lain dan dibantu oleh saudara saudari Kristian