18 JULAI 2022
UKRAINE
TERKINI #11 | Kasih Persaudaraan Tetap Membara Saat Krisis di Ukraine Berlanjutan
‘Terus Berbuat Baik’ di Negara yang Ada Perang
Di seluruh Ukraine, saudara saudari bersukacita kerana dapat menginjil di tempat awam sekali lagi dan mendapat pengalaman baik. Penyelia litar dan penatua tempatan melaporkan bahawa ramai orang gembira melihat rak mudah alih kami sekali lagi. Orang umum kata mereka rindu melihat Saksi-Saksi Yehuwa di kawasan mereka.
Tatiana daripada Sidang Serhiivka di Wilayah Odesa, memutus untuk mengunjungi orang yang dia hubungi sebelum pandemik. Dia menjelaskan, “Dari awal lagi, saya dapat lihat berkat Yehuwa atas usaha kami untuk kembali menginjil.” Pernah sekali, dia mengunjungi seorang wanita yang menolak pembelajaran Bible sebelum pandemik. Kali ini, wanita itu gembira untuk bincang topik Bible dan dengan segera setuju untuk belajar Bible. Tatiana menyimpulkan, “Saya perlu kunjungi semua kunjungan kembali saya yang dahulu dan tawarkan pembelajaran Bible kepada setiap seorang!”
Yevheniy dan Lilia ialah penyiar yang terpaksa melarikan diri dari Mariupol. Kini mereka berada di tempat yang lebih selamat di Ukraine. Mereka menginjil secara tetap. Mereka jelaskan bahawa kerja penyebaran telah membantu mereka berhenti fikirkan masalah mereka. Mereka kata, “Kami tahu hidup kami tidak dapat kembali seperti dulu. Memang susah untuk mula kehidupan baharu, tapi kami ingat Yehuwa akan sentiasa bantu umat-Nya. Kami ada kuasa suci Tuhan dan saudara saudari yang sudi bantu kami mulakan kehidupan di tempat baharu.”
Di kawasan lain di Ukraine, saudara saudari memberikan kesaksian dengan berbuat baik. Misalnya, sekumpulan saudara di bandar Mykolaiv telah membantu sebuah organisasi bantuan kemanusiaan antarabangsa untuk membaiki dan mengatur gudang yang digunakan untuk simpan bekalan bantuan mangsa. Para saudara membaiki sistem perairan, menyediakan rak-rak, dan menyusun beberapa tan barangan. Semasa wakil organisasi itu melihat hasil kerja para saudara, dia mula menangis. Dia kata, “Saya tak sangka hasilnya begitu baik sekali.”
Walaupun rakan seiman kita di Ukraine hadapi banyak cabaran, mereka rasai sukacita kerana tetap aktif menginjil dan ‘terus berbuat baik.’—Galatia 6:9.
Setakat 13 Julai 2022, berikut ialah jumlah yang dilaporkan dari Ukraine. Angka-angka ini berdasarkan laporan yang disahkan oleh para saudara tempatan. Namun, angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi kerana adalah susah untuk tetap berhubung dengan semua wilayah negara itu.
Kesan terhadap Saudara Saudari
42 penyiar meninggal
97 penyiar tercedera
28,683 penyiar melarikan diri dari rumah ke tempat yang lebih selamat
524 rumah musnah
588 rumah alami kerosakan besar
1,554 rumah alami kerosakan kecil
5 Dewan Perjumpaan musnah
10 Dewan Perjumpaan alami kerosakan teruk
36 Dewan Perjumpaan alami sedikit kerosakan
Bantuan yang Dihulurkan
27 Jawatankuasa Bantuan Bencana (DRC) sedang beroperasi di Ukraine
52,947 penyiar dibantu secara langsung oleh DRC untuk mencari tempat tinggal yang lebih selamat
23,863 penyiar melarikan diri ke negara lain dan dibantu oleh saudara saudari Kristian