Lompat ke kandungan

16 NOVEMBER 2022
UKRAINE

TERKINI #13 | Kasih Persaudaraan Tetap Membara Saat Krisis di Ukraine Berlanjutan

Kembali Menginjil dari Rumah ke Rumah

TERKINI #13 | Kasih Persaudaraan Tetap Membara Saat Krisis di Ukraine Berlanjutan

Pada Ogos 2022, pengumuman telah dibuat bahawa kerja penyebaran dari rumah ke rumah akan disambung semula di kawasan yang selamat di Ukraine. Saudara saudari kita tidak sabar-sabar untuk ambil bahagian. Mereka dapati ramai orang ingin mendengar mesej Bible. Salah seorang yang setuju untuk belajar Bible kata, “Selepas melihat kedahsyatan dan penderitaan akibat perang yang berlanjutan, memang jelas hanya Tuhan yang dapat selesaikan masalah manusia.” Berikut ialah beberapa pengalaman semasa menginjil.

Ruslan dari Sidang Lanivtsi rasa sikit gementar untuk kembali menginjil dari rumah ke rumah. Dia dan isteri berdoa kepada Yehuwa untuk memberi keberanian dan membantu mereka mencari orang yang dahagakan harapan masa depan yang lebih baik. Pasangan itu teruja apabila dalam masa dua jam pertama menginjil, mereka berbual dengan lapan orang dan semuanya bersetuju untuk mengadakan pembelajaran Bible.

Semasa Olha dari Sidang Kremenets menginjil, seorang lelaki lari ke arah dia dan rakan menginjilnya. Lelaki itu tanya sama ada mereka sedang bercakap dengan orang tentang Firman Tuhan. Kemudian, dia menjelaskan, “Saya merokok dan ketagih alkohol. Saya tahu, tidak lama lagi Tuhan akan menghakimi saya. Pada masa itu, saya mahu jadi orang yang lebih baik daripada sekarang.” Aturan telah dibuat agar saudara di kawasan itu dapat belajar Bible dengannya.

Ketika menyebarkan berita baik di sebuah kampung bersama kumpulan menginjilnya, Vasyl dari Sidang Lviv-Riasne-Skhidnyi masih ingat rumah seorang wanita yang pernah dia kunjungi bertahun-tahun yang lalu. Dia ingat bahawa wanita itu pernah marah dan enggan bercakap dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Namun, dia pilih untuk ketuk pintu itu dan tawarkan pembelajaran Bible. Saudara itu terkejut apabila wanita yang sama membuka pintu dan kata dia ingin memahami Kitab Suci. Dia setuju untuk belajar Bible dan aturan dibuat agar seseorang belajar dengannya.

Serhii, yang merupakan sebahagian daripada Sidang Illintsi, dibaptis pada 2021. Dia tidak pernah menginjil dari rumah ke rumah. Dia rasa gementar, jadi dia pun luangkan masa untuk buat persiapan. Serhii kata, “Saya menonton video cadangan penyampaian banyak kali. Selepas itu, saya hanya perlu keberanian.” Syukurlah, rasa bimbangnya diganti dengan sukacita yang besar kerana dia berpeluang untuk mengongsi berita baik dengan orang lain.

Begitu juga dengan Nikol dari Sidang Rozdil yang menjadi penyiar belum dibaptis pada Ogos 2022. Dia menceritakan, “Saya sangat gementar dan bahkan takut menginjil secara bersemuka. Tapi selepas melakukannya, saya alami betapa seronoknya untuk berbual tentang Yehuwa secara bersemuka!”

Dua saudari menginjil dari rumah ke rumah

Setakat 11 November 2022, berikut ialah jumlah yang dilaporkan dari Ukraine. Angka-angka ini berdasarkan laporan yang disahkan oleh para saudara tempatan. Namun, angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi kerana adalah susah untuk tetap berhubung dengan semua wilayah negara itu.

Kesan terhadap Saudara Saudari

  • 46 penyiar meninggal

  • 97 penyiar tercedera

  • 12,569 penyiar melarikan diri dari rumah ke tempat yang lebih selamat

  • 590 rumah musnah

  • 645 rumah alami kerosakan besar

  • 1,722 rumah alami kerosakan kecil

  • 6 Dewan Perjumpaan musnah

  • 19 Dewan Perjumpaan alami kerosakan teruk

  • 63 Dewan Perjumpaan alami sedikit kerosakan

Bantuan yang Dihulurkan

  • 27 Jawatankuasa Bantuan Bencana (DRC) sedang beroperasi di Ukraine

  • 53,948 penyiar dibantu secara langsung oleh DRC untuk mencari tempat tinggal yang lebih selamat

  • 25,983 penyiar melarikan diri ke negara lain dan dibantu oleh saudara saudari Kristian